Sunday, February 27, 2022

JAGALAH PERMATA SMK KINARUT


Gilaplah sinaran Permata Di Gerbang Selatan….

 

Melangkah dalam cabaran mendidik bermula sebagai guru biasa hinggalah mendaki cabaran pentadbiran memberikan kesan mendalam. Mungkin pada awalnya menjadi penolong kanan HEM terasa terlalu berat dengan bebanan untuk melentur lebih 2500 pelajar. Kepahitan pada awalnya berhadapan dengan gelagat remaja yang seringkali mencari penyelesaian dengan pergaduhan serta dominasi pencapaian rendah yang dikaitkan dengan sosioekonomi.

 

Namun demikian setelah 15 tahun berlalu… benih kejayaan mula berhasil. Kenakalan semakin berkurangan jejak cemerlang mula dirintis. Bagaikan awan gelap yang menyelubungi minda pelajar yang selama ini dilabelkan lemah, kurang berdaya saing dan presepsi sosioekonomi yang dibayangi sosiobangsa bagaikan berakhir. Garapan slogan Permata Di Gerbang Selatan dapat menyentuh hati untuk merungkai kecemerlangan. Satu demi satu butiran permata kini bersinar menunjukkan gemerlapan bintang A, A+ dan semua A disebalik awan gelap yang berlalu. Syukur rungkaian kecemerlangan merentasi jiwa pelajar mahupun guru sehingga bersinar peringkat daerah, negeri , kebangsaan bahkan antarabangsa.

 

Sinar kejayaan ini telah membuktikan bahawa persepsi pelajar sosioekonomi rendah dengan sosiobudaya penempatan mampu mencapai kecemerlangan asalkan berjaya mengikis lumpur hitam dengan kegigihan. Namun umpama pengukir permata sesekali tangannya terguris namun hatinya terasa puas melihat gemerlapan sinaran permata ukirannya di jemari insan ternama. 

 

Dengan pesanan ketika serahtugas terakhir… pelihara dan jagalah permata di gerbang selatan ini selamanya 

 

InderaPutera AZRi

16 Mei 2019

No comments:

Post a Comment