Saturday, October 29, 2016

KEBERSIHAN : Suatu yang kita perlu pelajari.....

Kebersihan aspek utama yang menjadi salah satu didikan awal. Kemampuan semua mengamal kebersihan terutama PBT memang seringkali jadi perhatian awam. Ingin mempelajari bagaimana? Kita perlu mencontohi Sarawak. Bukan sahaja di Bandaraya Kuching amat bersih dari lorong hadapan mahupun belakang, kita dapat merasai kebersihannya.  Berpeluang ke Bandaraya Kuching beberapa kali yang sering dipuji kebersihannya, cuba meninjau pekan kecil seperti Bau dan Kota Samarahan, memang kelihatan PBT mematuhi amalan kebersihan yang sama. Hingga ke pekan yang kecil di Lundu dan Sematan kita dapat melihat amalan dan keberkesanan PBTmenjagsa kebersihan. Ini berbeza jika kita lihat Kuantan dan Temerloh bersih tetapi pekan kecil Awah dan Jengka seakan cara kerja PBT berbeza, begitu juga Kota Kinabalu,  Papar, Keningau, Nabawan, Sipitang berbeza. Bagaimana kita mempelajarinya....

Tuesday, October 18, 2016

BICARA NANG RINDOK : GST vs RASUAH....


CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN
Pembentangan belanjawan kembali menarik perhatian pelbagai pihak. Isu GST juga akan menjadi bualan kembali. Menyorot kembali iklan GST di kaca media seketika dulu, dengan GST harga barangan bakal turun hanya menjadi drama sahaja dan segenap lapisan telah merasainya. Namun tidak siapa pun dapat menafikan hakikat bahawa GST menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. Pelbagai ragam kita lalui semasa permulaan GST dilaksanakan.... viral caj GST di mana-mana jua hingga resit caj menjadi bahan viral. Isu GST secara suka atau tidak menjadi tanggungan rakyat kini dan kita menantikan pengurusan kewangan mampan agar hasilan GST dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai insentif, peruntukan pembangunan, imbuhan , bantuan dan sebagainya yang kita nantikan penuh debaran. GST mengundang sokongan dan bantahan pelbagai lapisan masyarakat.

RASUAH
Menyedari bahawa kemungkinan GST yang telah menimbulkan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang kita lalui baru beberapa tahun. Namun kita hendaklah lebih memberi kesedaran bahawa rasuah adalah juga penyebab kenaikan kos apa juga. Menyorot kembali juga iklan pencegahan rasuah di kaca media yang menyatakan "nasi lemak sebungkus pun rasuah juga". Pemberi dan penerima rasuah juga adalah suatu kesalahan. Berbanding GST kutipan akan dimasukkan ke dana kerajaan dan boleh disalurkan kembali untuk kebajikan rakyat, namun rasuah hanya memenuhkan kantung yang terlibat. Kita akan "terikat" untuk melaksanakan tanggungjawab, kenaikan kos projek, ketirisan dan kerugian kepada semua. Namun berbeza dengan GST kita cenderung viral resit caj yang dikenakan dan kita mengeluh bila dikenakan GST dan viral ke media bahawa "saya dicaj GST".  Mengapakah kita tidak pula viral....ambil foto gulungan wang....."nak ini dia rasuah yang saya beri...." " atau terima". Kurang pula NGO yang menzahirkan bantahan penolakan ......

Bersama TAK NAK GST dan RASUAH.......

Saturday, October 8, 2016

GURU BIASA dan PENTADBIR

Syukur padaNya kerana kita ditakdir menjadi GURU.  Hikmah tersembunyi yang kita tidak sendiri tidak tahu, yang pasti jiwa guru halus dan tulus serta berpandangan jauh.  Dalam perkhidmatan perguruan pelbagai cabaran yang dihadapi berbilang bidang sama ada akademik, emosi, sosial dan pengurusan.

Semua guru akan bermula dengan guru biasa yang mengajar di bilik darjah dengan penuh ketekunan. Sebagai guru biasa seringkali dibelenggu dengan pelbagai tugas akademik, ko-kurikukum atau pentadbiran. Ini melahirkan tuntutan profesionalisme dan emosi yang inginkan sesuatu difahami oleh pentadbir dan juga guru yang lebih lama dalam perkhidmatan. Pertembungan atau ketidakselarian memberikan rasa tekanan tetapi semua itu mematangkan diri. Kehendaknya hanya satu difahami lapisan pentadbir agar dapat memberikan khidmat bakti penuh keikhlasan setulus hati. Ringkasnya jiwa guru peringkat ini ingin dibimbing , diberi galakan dan difahami akan hasrat dan wawasannya.

Kenaikan gred guru merupakan penghargaan tertinggi untuk memartabkan pendidikan negara. Seringkali kenaikan gred guru akan terpikulnya tanggungjawab yang lebih besar dan sumbangan yang lebih untuk peningkatan kecemerlangan pendidikan. Pengiktirafan ini seharusnya menjadi motivasi positif kepada rakan sejawat dan lebih inovatif dalam tugas.

Pentadbir adalah golongan peneraju dan pengerak dalam organisasi. Kewibawaannya menjadi sandaran untuk kecemerlangan. Telah menjadi lumrah, pentadbir ada masanya disenangi ada ketikanya tidak disenangi. Pentadbir yang unggul ialah pentadbir yang mampu mengalas wawasan organisasi disamping memahami kelompok bawahan. Semua lapisan guru biasa menanti pentadbir yang disenangi dan tidak menyusahkan. Benar golongan pentadbir bermula guru biasa seharusnya memahami nadi guru biasa. Namun hakikatnya guru biasa mungkin tidak menyelami nadi kerja pentadbir yang juga dibelenggu tekanan.

Hakikatnya apabila pentadbir memutuskan pegawai dicalonkan dalam anugerah kecemerlangan, seharusnya disusuli dengan komitmen berkekalan, lebih inovatif , mampu diteladani oleh rakan taulan

Tuesday, August 30, 2016

BAHASA MELAYU dan MERDEKA.....

MERDEKA......MERDEKA.....MERDEKA.....
Berada di ambang kemerdekaan ke-59 , jiwa rasa teruja dan lebih bersemarak lagi dengan suntikan semangat ucapan penuh patriotik oleh kepimpinan negara. Liputan media nasional meneroka ke pelusuk negara, meraikan kemerdekaan ke-59 dengan pelbagai acara dari segenap lapisan rakyat dari pelajar , rakyat dan pimpinan serta agensi. Bersemarak lagi dengan suntikan patriotik kepimpinan negara serta kemegahan mercu menara warisan. Membayangi semangat kental itu, pelbagai pergolakan dan isu yang menyelimuti perjalanan hidup rakyat Malaysia. Syukur pada Allah.....kita masih mampu menghirup bayu merdeka dengan keharmonian pelbagai bangsa, kaum dan agama yang saling menyayangi bahtera merdeka ini......

Sejenak menghayati berita dan ucapan merdeka yang penuh patriotik, tersentuh hati apabila tokoh syarikat telekomunikasi negara dan syarikat automotif negara yang mengumumkan peningkatan keuntungan dan kejayaan tempahan kenderaan yang menjadi kebanggaan negara. Namun agak sedih juga kerana setelah suntikan merdeka penuh patriotik ke-59, sidang media peneraju usahawan negara masih mengutamakan Bahasa Inggeris ketika berbicara kepada media dalam negara. Sedih terguris dalam kemegahan dan kebanggaan laungan Merdeka ke-59, Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan masih dipinggirkan........ Fikirkan .....Merdekakan Bahasa Kita.....

MERDEKA..........MERDEKA..........MERDEKA..........

Sunday, August 21, 2016

MENCARI GURU SEPENUH MASA.........

Seorang guru itu telah ditakdirkan menjadi seorang guru. Perbezaaannya cuma bagaimana dia menjadi guru? Sama ada memilih kerjaya guru.....atau .....dipilih menjadi guru.....mahupun terpaksa rela menjadi guru.... Semua itu tidak penting....apa yang utama setelah menjadi GURU hendaklah bertindak sebagainana seorang GURU......

Isu yang membelenggu atau dibelenggu....telah dibahas sejak berzaman....sebelum menjadi guru,...setelah menjadi guru....dan selepas menjadi guru.... Persepsi, lontaran idea, pekeliling dan seumpamanya tidak menjadi penyelesaian tuntas. Ada pihak menunding jari..... tidak kurang juga yang mendokong asal tugas terlaksana sebaiknya....anak didik terjaga...Namun sampai bilakah atau mungkinkah kita akan ada GURU SEPENUH MASA.....

Bukan satu kesalahan....namun menjadi igauan di fikiran ....melihat guru yang gagah megah mewah rupanya didokong dari pendapatan sampingan. Tidak mengira apa juga bidang dari jualan langsung, insuran, produk kesihatan, produk makanan dan sebagainya ....guru tetap gagah merentasi cabaran. Tanpa mengira sama ada guru biasa yang baru dan lama hinggalah yang berpangkat pengetua hinggakan mungkin lebih atasan lagi...Hampir semua pernah merasai, pernah memcari sumber rezeki selain guru, tak kiralah secara persendirian atau melalui proksi..

Itulah hakikat kehidupan......tidak siapa yang dipersalahkan cuma berlegar di fikiran, mungkinkah hakikat sejak berzaman masih sukar mencari guru sepenuh masa......

Thursday, August 18, 2016

KISAH 3 PELAJAR DI HATI KU......

Ingin diabadikan kisah 3 pelajar ini untuk dijadikan pedoman mahupun jenaka hiburan kala hari kerungsingan. Mungkin bagi sesetengah kita, tidaklah penting namun terkesan juga di hati......

Pelajar A:
Sentiasa berada di perpustakaan dan merupakan pelajar harapan dari kelas harapan. Dengan jawatan yang ada asyik di sofa sambil menggunakan telefon bimbit pelajar B untuk mengemaskini permainan Clash of Clan ringkasnya COC. Apabila telefon di tahan dan disoal barulah mengakui telefon milik rakannya pelajar B dan sedang bertugas. Ditanya lagi kenapa keluar dari program Bintang...ringkas jawapannya tak dapat ikut jadual balik lewat hanya hari tertentu sahaja berada di sekolah. Akhirnya dengan yakin pelajar ini menjelaskan ...memang tahu kesalahan bawa telefon , sebab itu guna telefon kawan kerana dah lebih dua minggu tak dapat kemaskini COC..Apabila diminta nombor penjaga....jawapan ringkas penuh adab tidak ingat...Akhirnya pelajar ini diarah kembali meneruskan tugas jawatannya.

Pelajar B:
Meskipun dari kelas yang terakhir yang seringkali tidak menjadi sandaran atau harapan juga berada di perpustakaan sambil membelek buku Bahasa Inggeris di atas sofa yang sama dengan pelajar A tadi. Mungkin tidak memahami kandungan buku tersebut tetapi pastinya saling memahami taktik dan teknik permainan COC. Oleh kerana pelajar merupakan pemilik sebenar telefon bimbit yang digunakan pelajar A tadi, ditanya kenapa balik lewat dan membawa telefon bimbit serta membenarkan rakan guna telefon bimbitnya. Dengan ayat yang kurang teratur perjelasannya..... selepas kelas tambahan nanti jam 230 dia akan terus ke gerai sayuran no 34 depan Rosegarden untuk berganti shif dengan ibunya menjual sayuran. Ibunya akan pulang dahulu untuk memasak makan malam kemudian barulah bapanya yang pulang kerja mengambilnya setelah menutup gerai malam nanti. Apabila diminta nombor telefon penjaga terus diberikan dengan tulus. Pengesahan penjaganya dengan ceritanya amat benar dan ibunya terus hadir ke sekolah untuk mengambil telefon dan anaknya....

Pelajar C:
Dalam keterikan matahari sambil minum air kelapa dan mencangkul tanah untuk diratakan sebagai projek kerja kursus. Dipelawanya juga....."cikgu nak minum panas ni..".. Setelah menolak pelawaan lalu ditanya pelajar C serta rakannya...." apa yang dicangkul ...untuk apa". Dengan gurauan tulus, pelajar C menjelaskan....."kami sedang menyediakan 5 kuburan". Walaupun mengetahui jawapan agak merapu maklumlah selalu dianggap kelas bukan harapan walau dah lima tahun persekolahan. Namun hati ingin tahu pemikirannya..lalu ditanya 5 kuburan untuk siapa.....? Dengan yakin juga penjelasannya... kuburan pertama dan kedua untuk rakan kami yang sering ponteng kelas sebab ramai tu, kuburan ketiga untuk rakan kami yang melawan guru dan suka menyusahkan guru, kuburan keempat untuk rakan yang kami benci. Kemudian ditanya lagi kuburan kelima untuk siapa?. Dijelaskan dengan rapi seperti seorang guru mengajar dalam kelas, kuburan kelima itu istimewa  dibuat jauh sedikit dari yang lain...itu untuk cikgu kami yang sering lewat atau tidak masuk kelas....( dalam hati memang terasa sepintas kurang ajar tetapi perbanyakkan bersabar ).... Diteruskan pertanyaan....ingin mengetahui kenapa dijauhkan....penjelasannya mudah... kami tak mahu masa rakan kami disiksa kerana nakal, ponteng, melawan nanti terkena guru kami, sebab walaupun dia lewat atau tak masuk ....mungkin dia ada kerja dan tetap sayang kami walau kami tak pandai...
Sambil beredar diberitahu seorang pelajar ...."kami bergurau aje cikgu....itu untuk projek laluan pejalan kaki bukan kuburan"...
Dengan senyuman beredar dari situ sambil di hati benarlah kita semua akan mati nanti..
Dalam perjalanan terbayang-bayang wajah pelajar A,B dan C...lalu berkata untungnya mendapat pelajar B dan C....

Thursday, June 16, 2016

RAMADHAN, RANCANGAN MASAKAN dan PERATURAN KESIHATAN

Syukur Ramadhan menjelang tiba...bulan barakah yang dinantikan oleh umat Islam. Semua pihak segenap lapisan meraikan kehadiran ramadhan dengan pelbagai agenda dan aturcara. Saluran TV pun tidak ketinggalan meraikan dengan memenuhi rancangan masakan dengan pelbagai teknik tetapi intipatinya rancangan masakan. Mengapakah budaya ini masih berkekalan hingga kini..... seolah-olah menjadikan ramadhan bulan makanan sedangkan ia sebaliknya. Apa yang paling menyedihkan kebanyakan ( hampir semua ) rancangan memasak di media tidak mematuhi peraturan kesihatan yang paling utama penyedia makanan perlu memakai apron, penutup kepala dan memastikan kuku pendek. Siapa pun tamu jemputan rancangan seharusnya mematuhi peraturan penyediaan makanan sebagai teladan. Jika pihak kesihatan sering memberi teguran kepada pengusaha gerai, kantin, penjual makanan ....seharusnya rancangan tersebut dijadikan pendidikan kesihatan memasak secara sihat selaras dengan peraturan kesihatan.

Sunday, May 8, 2016

MASYARAKAT CAKNA

Merungkai isu permasalahan remaja khususnya pelajar hari ini, kita tidak lepas gejala ponteng, rokok, pergaduhan dan mungkin gejala sosial yang lebih parah. Apabila berlaku insiden, dengan mudah kita akan menunjuk arah kepada sekolah dan guru di sekolah. Inilah peranan utama guru masa kini , dapat menangani segala situasi dan tekanan perkhidmatan.

Peranan mendidik itu tidak terhad dalam bilik darjah dan dengan itulah pemberatan bermula dari rumah serta memerlukan kerjasama masyarakat persekitaran. Budaya saling menegur dan  mendidik dalam masyarakat kini terkakis atau dibelenggu oleh 'budaya hal sendiri' dan 'tidak menjaga tepi kain'. Kesannya anak-anak kehilangan pemandu arah bila berada dalam masyarakat.

Friday, April 29, 2016

USAHAWAN DI SEKOLAH BUKAN SEKADAR NILAI RINGGIT

Sekolah mempunyai tarikan pasaran tersendiri buat pencebur bidang keusahawanan. Mungkin kerana tersedia pelanggan yang tetap dan hanya sedikit usaha dapat menjana keuntungan. Dengan itu pengusaha sentiasa bersaing untuk mendapatkan ruang peniagaan di kantin sekolah. Pelbagai janji manis dalam sebutharga dan harapan yang diberikan untuk menjadikan yang terpilih. Ada juga yang sanggup melibatkan diri dalam amalan rasuah sama ada sebagai perasuah atau dirasuah hanya untuk mendapatkan peluang dengan pelanggan tersedia. Namun ada yang berjaya memberikan khidmat terbaik disamping menjana keuntungan, ada juga sebaliknya.

Usaha mendidik pelajar dalam bidang keusahawanan dilaksanakan dalam kegiatan kokurikukum di sekolah melalui penubuhan koperasi sekolah, CoopMart  kelab usahawan, ProTune yang dijelmakan dari tunas niaga. Inisiatif yang amat sihat dalam menjana budaya usaha niaga. Ianya disemarakkan lagi dengan pelbagai anugerah dan pertandingan yang seringkali diukur dengan nilai ringgit yang berjaya dijana.

Dalam pertembungan ini, seringkali produk makanan menjadi bahan utama usahawan tersebut. Meninjau bagi yang proaktif menunjukkan usaha gigih sehingga berjaya menjelmakan ala pasar mini atau kedai runcit. Ia disemarakkan lagi dengan anugerah yang gilang gemilang yang seringkali dijadikan kayu pengukur pencapaian.

Mengapa dalam pertembungan ini , suasana persaingan sihat tidak diamalkan sepenuhnya dengan pematuhan kepada pekeliling sedia ada oleh semua pihak. Biar pasaran dan pelanggan yang menentukan pilihannya.

Harapan semua agar semua medan keusahawan yang tersedia di sekolah dapat melahirkan usahawan yang berilmu dan mengutamakan barakah serta tidak hanya semata-mata memenuhkan kantung nilaian ringgit.

Wednesday, April 6, 2016

TAKDIR PERKHIDMATAN

Saban tahun bulan mencabar adalah Jun dan Disember. Kebiasaannya permohonan pertukaran penjawat awam akan diproses dan akhirnya disampaikan sama ada disambut dengan kegembiraan atau kehampaan. Itulah hakikat takdir yang telah tersurat dalam perkhidmatan. Namun demikian kita hendaklah mengukuhkan niat kita dalam perkhidmatan. Ikhlaskan hati kita untuk berbakti demi kebaikan nusa bangsa. Andai kita berkhidmat di desa tempat tumpah darah kita curahkan dengan lebih lagi untuk kemajuan desa dan kebanyakanya ada talian darah, bukannya mencari helah untuk bersantaian. Mungkin yang berkhidmat di rantau orang, usahlah rasa terasing dan curahkan bakti yang terbaik walau mungkin ada sedikit cabaran penerimaan . Namun apa juga pun luruskan hati agar bakti diberkati.

Saturday, March 12, 2016

GURU FOKUS MENDIDIK BUKAN MENTADBIR

Saranan agar guru hanya fokus kepada mendidik yakni menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas telah lama  kedengaran. Ia sering didendang dialun dan didendang setiap kali perubahan pucuk pimpinan. Hari ini sekali lagi dendangan itu dialukan oleh TPM, meniup harapan baru yang disambut oleh serata guru yang dibebani kepelbagaian fungsi.

Antara saranan yang telah lama dinantikan dalam mengurangkan bebanan pentadbiran guru yang sentiasa diseru dipohon dinantikam;
i. Pembantu guru yang disaran telah lama tapi belum nyata jawatannya.
   Adakah anak muda menolak seperti sektor 3D.
ii. Warden asrama yang dilantik penuh juga pernah disarankan namun belum realiti.
iii. Tugasan perkeranian, kemasukan data, penyusun kertas dan tugas sokongan guru.

Namun kita mengharapkan dendangan indah itu menjadi kenyataan. Ini kerana guru telah kerapuhan emosi menjalani kepelbagaian fungsi - pengawal, tukang kayu, tukang paip, juru kimpalan, tukang masak, pemandu pelajar dan sebagainya yang telah lama terlaksana atas nama untuk anak murid untuk anak didik untuk kesempurnaan pendidikan.

Saturday, January 16, 2016

KEMBALI KE SEKOLAH

Awal Januari bermula, semua sibuk dengan persediaan kembali ke sekolah. Ibu bapa sibuk mengira-gira peruntukan untuk persekolahan dalam kesempitan kos sara hidup yang meningkat. Keperluan persekolahan yang juga tidak terlepas dari GST. Anak-anak girang ingin bertemu rakan yang lama bercuti. Bagi yang berjaya dalam UPSR , PT3 amat teruja untuk menunjukkan kepada rakan telefon bimbit baru hadiah kejayaan. Guru amat teruja dengan tugasan baru walaupun sedikit tertekan bila masih belum bersatu dengan ahli keluarga. Hinggakan peniaga sibuk meraih keuntungan dengan promosi kembali ke sekolah, bahkan ahli politik juga mengambil peluang mendekati rakyat melalui program kembali ke sekolah.