Wednesday, July 5, 2017

JENAKA INDUKSI 6 : TEMBOK BESAR CHINA

Pertama kali mendapat kelas ganti Sejarah . Melangkah masuk ke kelas dengan yakin dengan bahan yang dibekalkan guru Sejarah. Ringkas padat lembaran kecil bahan KBAT Sejarah....tertera ungkapan :
  Setiap negara bertamadun akan meninggalkan monumen atau bangunan ikon termasuk   
  tamadun China.  Jelaskan kenapa monumen itu dibina?.

Pelajar membincangkan bersama rakan sekelas, sebelum membentangkan dalam kelas.
Pelbagai huraian dijelaskan yang mengikut skrip jawapan, namun dengan alasan KBAT seorang pelajar menjelaskan - tujuan membina tembok China adalah untuk menghalang serangan makluk asing. Merujuk kepada huraian saiz badan manusia, teknologi peperangan zaman itu, saiz tembok besar China ada logiknya hujah tersebut yang disokong cerita lagenda "The Great Wall of China".

Berfikiran panjang - perlunya kita merealistik isi pelajaran dengan realiti serta pengaruh media perlu digarap sempurna oleh guru masa kini.

Friday, June 23, 2017

SELUMBAR

Selumbar di kaki yang menyakitkan memang menyakitkan. Sakitnya pedih terasa 
biarpun halus tidak kelihatan di mata namun saraf merasainya. Selumbar sonsang lagi payah dikeluarkan dari tapak kaki. Jika ingin mengeluarkan selumbar, ada masanya kaki perlu ditoreh luas hingga berdarah, lagi sakit terasa. Ingin dibiarkan tetap terasa sakit di kaki dan tidak selesa. Namun selumbar kecil tidak berbahaya kepada kita yang sihat tetapi sekiranya kita pengidap diabetes perlu berjaga-jaga.

Usahlah hanya kerana selumbar yang kecil itu kita potong keseluruhan kaki.
Inilah pergolakan kehidupan kita hari ini - ekonomi, politik dan budaya.

Wednesday, June 14, 2017

SUIT ( BLAZER ) : LAMBANG STATUS ATAU MASIH DIKEKANG PENJAJAH...

Amalan pemakaian suit ( blazer ) menjadi lambang kekemasan, status , 'prestage' dan ketrampilan bagi kelompok elit dalam negara kita. Namun ada masanya kita melihat tetamu negara asing tetap berpakaian mengikut budaya negara asal mereka. Namun bagi negaraku Malaysia dengan iklim tropika dan kini menjangkau angka kematangan kemerdekaan yang selangkah lagi meniti ke-60 iaitu kini dengan penuh kebanggaan kita menyambut kemerdekaan ke-59.

Aku Negara ku - mesej ditiup kencang bagi menyuntik jiwa patriotik dalam generasi muda. Namun apakah maknanya jika pemalu gendang patriotik masih teguh bersadur budaya kebaratan. Pelbagai program simbollik Aku Negara ku seperti penyerahan kenderaan, peralatan perang dan sebagainya, yang dilancarkan di bawah mentari terik yang menyinari tanah air tercinta. Kita masih berbangga , rasa berstatus dan ketrampilan dengan pemakaian suit ( blazer ) di tengah mentari terik.

Aku Negara ku - Marilah perteguhkan jiwa patriotik dengan meninggikan simbol budaya negara tercinta. Songket, batik, baju Melayu memerlukan gabungan unsur kemodenan untuk meningkatkan martabat bangsa. Seperti contoh iklan produk rakan di seberang, kain pelikat - resmi pun boleh.

Pengukuhan industri songket, batik, baju Melayu, baju kurung dengan asimilasi kemodenan bukan sahaja menjana ekonomi dan industri tekstil tempatan malah melahirkan pereka yang berteraskan budaya bangsa

Saturday, May 20, 2017

JENAKA INDUKSI 5 : 10 SEN UNTUK MISS TAN

Hujan masih renyai-renyai hari ini. Dengan baju yang sedikit basah Nor masuk ke kelas sambil meletakkan payung kertas di belakang. Kelas hari Bahasa Inggeris Miss Tan memang  dinantikan dalam tiga rasa -  " dinantikan" bagi pelajar yang dikategori pangai BI , "diharapkan tidak masuk" bagi yang sukar menerima BI dan "dalam ketakutan" bagi pelajar sederhana BI yang masih ingin belajar BI.

"Dalam ketakutan" -  ianya perasaan spontan kerana soalan pasti akan hadir secara rawak, yang paling menakutan mesti semua mesti bertutur dalam BI, jika tidak  denda menanti.

" 10 cents for single word", remind Miss  Tan. Sekelas semua diam akur tanda faham atau mungkin buat- buat tak faham.

Hujan makin lebat, cuaca sejuk....ditambah lagi dengan baju yang sedikit basah, terasa lagi sejuk. Miss Tan berjalan-jalan sekeliling kelas meronda pelajar yang tekun membelek kamus.
Tiba-tiba Nor bangun dengan kelam kabut menuju ke hadapan kelas.

"What do you want? " , tanya Miss Tan. Maklumlah pelajar yang kurang petah berbahasa Inggeris, Nor menjawab dengan tergagap- gagap.

" I want to go to to...to...... tandas ( toilet ) ", tergagap-gagap jawapannya dam terus meletakkan syiling 10 sen di atas meja guru dan terus berlari keluar kelas ke tandas.
Dalam tergesa-gesa masih mampu teringat untuk membayar denda " one word ten cent".

Masa berlalu, dalam kepayahan atau keterpaksaan pembelajaran Bahasa Inggeris masih berterusan hari ke hari. Tabung "One word ten cent" semakin penuh kerana Miss Tan akan membawa setiap hari ke kelas.

Dan masa terus berlalu, peperiksaan akhir tahun berjalan lancar dan pada hari yang dinantikan pelajar 1P menunggu helaian lembaran keputusan termasuklah juga Nor. Menerima keputusan peperiksaan akhir tahun dengan markah 40 amat membanggakan.

Apa yang paling mengejutkan bersama hadiah bungkusan yang cantik hanya untuk pelajar yang mencapai markah 40 yang sebelum ini sentiasa gagal.
Sebuah kamus mini berwarna hijau dengan catatan " One word Ten Cent....Everyday One Word Make You Learn Better" itulah pesanan hikmah Miss Tan.

Barulah kami mengerti denda 10 sen tersebut dikembalikan kepada kami semula dalam bentuk ilmu. Lazimnya yang lemah banyak didenda dan perlukan bantuan. Selepas itu kami berazam untuk terus gigih, dan selepas 5 tahun ramai yang lulus B.Inggetis SPM termasuk Nor walau hanya mampu capai gred lulus berbanding kepujian subjek lain.

Thanks you Miss Tan  for ten cent.

Nota:
Menjadi kebanggaan guru jika pelajar mencapai gred cemerlang A tetapi lebih berkesan di hati pelajar seandainya guru itu mendorongnya untuk lulus atau meningkatkan pencapaian. Pelajar hendaklah redha dengan aturan pendidikan guru yang mahu terbaik untuk kita biarpun perit.

Friday, May 19, 2017

EVOLUSI MAINAN BERPUTAR

Dari penutup botol berputar ke mainan "spinner".

Zaman dulu anak-anak mengunakan penutup botol untuk dijadikan mainan. Dari teknik jentik kepada diikat benang dan berputar, dinaiktaraf kepada baling-baling . Kanak-kanak zaman itu membinanya sendiri dan menggunakannya. Unsur kreativiti telah diajar secara tidak lansung.

Zaman telah berubah, fenomena kini beralih kepada mainan "spinner" yang mungkin benar ada elemen fokus, saintifik dan terapi autisme. Konsep asas tetap sama - putaran. Namun kegilaan fenomena "spinner" tetap menjadikan anak-anak kini hanya pengguna bukannya perekabentuk.

Friday, May 12, 2017

JENAKA INDUKSI 4 : SEPERTI KERA MENDAPAT BUNGA

Pelajar tidak teruja untuk mengikuti topik pembiakan tumbuhan berbanding pembaikan manusia yang sedia ada tarikan tersendiri. Bersyukurlah kelas sebelum ini adalah kelas Bahasa Melayu. Masih tercatat di papan putih kelas berkongsi peribahasa Melayu - " seperti kera mendapat bunga".

Semasa perjalanan ke Makmal Sains seperti biasa pelajar telah diminta membawa beberapa kuntum bunga yang dipetik di persekitaran sekolah atau dari rumah. Beberapa pelajar sedang mencarik-carik bunga yang ada di meja makmal. Teguran diberi lalu disambut oleh beberapa pelajar lain dengan niat mengejek Mamat yang mencarik-carik bunga.

"Seperti kera mendapat bungalah kamu ni Mamat", tegur rakannya sambil merujuk kepada erti peribahasa dalam kelas Bahasa Melayu tadi. Akibat ejekan antara rakan-rakan suasana kelas agak tegang, tambahan pula kumpulan Mamat tadi adalah kumpulan yang agak aktif biarpun pencapaian agak sederhana.

Cikgu Rie melangkah di antara kelompok pelajar tersebut, sambil menunjukkan beberapa jambak bunga lalu berkata " betullah seperti kera mendapat bunga", pelajar lain seolah-olah gembira terasa seakan cikgu Rie menyokong ejekannya kepada kumpulan Mamat.

"tapi.... sebenarnya kera itu sedang menjalankan kajian saintifik ke atas bunga" , sambung cikgu Rie. Semua pelajar terkejut dan ada yang tertanya-tanya.

"Bunga tersebut perlu dipotong, dicerai dan dicarik teliti untuk melihat organ pembiakan dalam tumbuhan", sambil menunjukkan slaid teknik 'menbedah' bunga untuk memahami organ pembiakan dalam tumbuhan.

Pembelajaran hari ini berjalan dengan lancar dan penuh rancak sekali. Syukurlah manipulasi elemen merentas kurikulum dari Bahasa Melayu - peribahasa 'seperti kera mendapat bunga' menceriakan suasana.

"Terima kasih cikgu...." ucapan pengakhiran kelas hari ini. "Tapi cikgu..... kita bukanlah kera,   kita ni bakal saintis mengkaji bunga" sapa Mamat semasa keluar dari makmal. Cikgu Rie tersenyum puas kerana tahu mereka semua telah belajar sesuatu hari ini.

Friday, May 5, 2017

JENAKA INDUKSI 3 : BERGANTUNG PADA BUKU

Peperiksaan pertengahan tahun telah selesai. Kelas berlangsung seperti biasa, mengusung ikatan kertas jawapan ke kelaa suatu fenomena biasa selepas peperiksaan.

"Yeessss...... kita dapat markah hari ini" seronoknya Ann , pelajar ini memang menunggu markahnya kerana kebiasaannya sentiasa menjadi "top scorer".

Bagi Farid, juga seronok menunggu hasilnya peperiksaan kali ini. " Dapat salin skema jawapan " bisiknya, biarpun kertas peperiksaannya seringkali putih bersih.

Bersemangat semua pelajar kelas Harmonian ni, itulah sikap pelajar sepatutnya sentiasa ghairah dengan keberhasilan.

Cikgu AZXN  mengedarkan skrip jawapan kepada semua pelajarnya. Proses perbincangan jawapan amat penting dalam proses untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Memperbaiki kelemahan jawapan amat penting agar menepati skrip atau kehendak LPM itulah seringkali pesanan penceramah skema peperiksaan.

Jawapan dibaca, dibincang , kesilapan diperbaiki. Tekunnya pelajar Harmonian membetulkan kertas jawapan. " Rajin juga pelajar ku ini" bisikan hati cikgu AZXN

Sampai soalan ke-7, ruangan jawapan agak panjang, 3 baris tercatat 3 markah, telah dianalisa Cikgu AZXN mendapati kebanyakan hanya skor 1 markah. 

Jawapan dibacanya..
"Apabila saiz atom bertambah , jarak antara petala valens semakin berjauhan, tarikan antara nukleus dengan elektron valens semakin lemah, elektron mudah didermakan, maka ia semakin reaktif",  laju bacaannya seperti lajunya jika cikgu AZXN berjalan di sekolah.

"Cikgu ....ulang, kami tak sempat salin" minta Fareez sambil mengangkat kad merah dengan simbol masam 😟😟. Elemen PA21 katanya. " Tulis di papan atau papar di lcd" minta rakannnya Rizal.

Menyedari ketidakfahaman kelas, cikgu AZXN menulis jawapan di papan kelas, dengan tiga patah perkataan  iaitu saiz, petala valens, mudah dilepaskan.

"Cikgu pendeknya tadi cikgu baca panjang" tanya Fareez.
" Ya... 3 point untuk 3 markah... ayat kamu buat sendiri" jelas cikgu AZXN.
" Kami mahu salin ayat cikgu tadi, sama seperti dalam buku skema tu" minta Jalil pelajar kumpulan Fareez.

" Gunakan 3 point itu....buat ayat sendiri untuk dapat 3 markah..... kamu perlu ingat point...bukan hafal skrip macam pelakon drama atau terlalu bergantung pada buku. Perlu jawab ayat sendiri ikut isi utama...baru boleh bina keyakinan diri" , ceramah cikgu AZXN.

"Oklah bergantung pada buku.... " sampuk Napi.
"Mana boleh...." tegas cikgu AZXN melihatkan pelajarnya belum faham hasrat hatinya.
Lalu memanggil seorang pelajar itu ke hadapan kelas sambil cikgu AZXN  mengangkat buku ke atas agak tinggi tetapi masih boleh dicapai tangan. " cubalah bergantung pada buku ni..boleh atau tidak" mintanya pada Napi.

Memang tidak boleh. Seluruh kelas ketawa....cikgu buat lawak saintifik.
Akhirnya mereka dijelaskan, " buku, skema, skrip tidak boleh dibawa ke dalam dewan peperiksaan. Kefahaman dan isi utama perlu diyakini...biarkan neuron bersambung dengan bantuan DHA dan AHA...... dengan itu kamu akan YAKIN DIRI".

Kini semua pelajar faham bahawa perlunya keyakinan diri dalam pembelajaran bukannya bergantung atau menyalin skrip jawapan dalam buku. Itulah kisah jenaka induksi bergantung pada buku yang memberikan ikatan akrab pengajaran dan pembelajaran.

"Lawak ke aku ni....orang cakap aku ni garang , payah senyum" bisik hati cikgu AZXN dengan doa moga pelajar Harmonian berjaya dunia akhirat semasa turun dari tingkst 7 kelas,