Friday, December 29, 2017

MRT : Orang kampung nak juga

Syukur padaNya dapat merasai nikmat kebanggan negara MRT Kajang - Sungai Buloh. Selesa dan tambangnya agak murah serta bebas kesesakan jalanraya. Namum hentiannya di gedung mahal ibukota yang kebiasaannya tidak mampu untuk golongan sederhana. 

Damansara  - IKEA, eCurve, IPC, 1Utana bukan nya kawasan lazim kita berbelanja. Ia  jalan TAR, GM, ChowKit atau pasar larut malam yang menawarkan pilihan harga murah dan berjimat.






Syukur penduduk bandar merasai nikmatnya. Kembali ke kampung, menunggu bas henti ke bandar amat sukar. Teksi masih menggunakan konsep pajak tanpa meter, khidmat kereta sapu masih ada biarpun bukan UBER atau GRAB.
Penantian bas henti antara desa masih menjenuhkan.  

Moga ada nikmat untuk penduduk desa pada masa akan datang. Pengangkutan awam yang cekap di desa atau penurunan harga kereta atau subsidi pemilikan kereta negara untuk golongan ini perlu difikirkan atau bas sekolah percuma mungkin baucer petrol kerana lazimmnya mereka penyokong tegar pimpinan negara.


Wednesday, December 13, 2017

BAJU .....

BAJU...
Melambangkan budaya bangsa 

BAJU dan KENANGAN 
Baju menjadi pilihan ramai untuk mengabadikan kenangan atau tanda telah menghnjungi sesuatu tempat. Seringkali baju menjadi pilihan simbol kennagan... 

BAJU dan PELAJAR
Kekemasan baju pelajar masa kini sering menjadi topik utama sebagai perlambangan disiplin pelajar masa kini....

Trend pelajar berusaha mencetak pelbagai baju untuk mengabadikan kenangan kelas dan sekolah menjadi budaya yang subur masa kini. Bila memberi idea agar membuat pilihan lain selain baju. Rata-rata tidak mendapat sambutan. Meskipun baju yang dibuat masa persekolahan itu pasti akan lusuh, saiz tidak lagi sesuai  dan akhirnya menjadi buangan atau pun pengelap kaki.....

Bila diteliti trend ini bukanlah baru dikalangan pelajar. Ini apabila direnung kembali pada tahun 1998  pelajar telah memulakannya dan mungkin lebih awal dari itu.  Kini tahun 2018 trend itu masih menjadi kegemaran pelajar  setelah 20 tahun berkalu. 

Ini menunjukkan perkembangan minda pelajar  masih lagi kekal sama tiada kelainan atau trend baru. Hakikatnya pelajar tetap pelajar biarpun berdekad sekalipun naluri masih sama 





Tuesday, December 5, 2017

REZEKI DIKONGSI TANPA TEKNOLOGI

Syukur padaNya ... 
CBB6267 Proton Iswara yang menjadi kebanggaan negara masih gagah menabur khidmat setelah 17 tahun meneruskan penerokaan .

Jeruk Pak Ali - asam terkenal seluruh negara terutana di utara telah meluaskan pasarannya setelah melangkah 32 tahun lalu. Ramai yang mengenali jenama tersebut meskipun tidak mengenali pemiliknya.

Pasarannya semakin luas seharusnya seiringan dengan perkembangan teknologi makanan. Pengalaman melawat ke kilangnya menyaksikan puluhan wanita kampung menghiris buah-buahan dengan pisau di tangan bagi menghasilkan produk terkenal. 

Terdetik pertanyaan di hati, mengapakah pengusaha berpengalaman tidak mengaplikasi teknologi bagi meningkatkan produktiviti. 

Rasa terharu .... mendengar penjelasan penyelia di situ. Mengekalkan teknik tradisi bagi memberi peluang penduduk kampung berdekatan mendapat pekerjaaan untuk meningkatkan pendapatan keluarga. Inilah yang dikatakan kemajuan dan rezeki yang dikongsi.

Dewasa ini kita sering mendengar paluan gendang pembangunan dan teknologi seiring dengan kemajuan. Namun apalah erti semua itu sekiranya masyarakat setempat tidak dapat mengecapinya malah lebih malang lagi sekiranya kehilangan hak..... 






Friday, December 1, 2017

RESEPI TRADISI YANG HILANG

Menyelurusi utara semenanjung, rasa dan perasaan ketara dirasai. Dari deretan kota batu hinggalah kejihauan saujana mata memandang. Kepenatan perjalanan dilunaskan dengan santapan tradisi yang jarang ditemui masa kini. 

Sambal tempoyak hirisan daun-daun campuran seperti daun kaduk, daun kunyit, daun ubi kayu dan rencahan daun mangun pasti mengamit rasa. Kepedasan menghilangkan kepenatan apabila peluh menitis di dahi.

Merasai hidangan urat keting bakar cicah air asam bersama dengan gulai batang pisang lebih enak bersama ulam petai bakar cicah sambal tempoyak.

Tidak dapat dilupakan kelembutan gulai belulang resepi warisan bonda bersama ikan haruan bakar cicah santan segar bersama lada hitam.

Anak-anak zaman sekarang tidak lagi mengenali hidangan tradisi. Mereka lebih manja disajikan dengan ketulan ayam, pizza, tokayaki dan sebagainya.

Luangkan masa agar generasi kita mengenali hidangan tradisi yang mengukuhkan jati diri.





Tuesday, November 28, 2017

KERJA MASA CUTI : KEPERLUAN ATAU KEGAGALAN PENGURUSAN MASA....

,CUTI MEMANG DINANTIKAN.....
semua pihak menantikan cuti dengan pelbagai rancangan bersama keluarga. Ini masa yang paling berharga dan perlu dihabiskan secara berkualiti. Perancangan bersama keluarga , melancong, merehatkan minda dan sebagainya sentiasa diatur.

Kepenatan bertugas dan peluang menenangkan fikiran untuk mencemerlangkan tugas pada tahun mendatang amat penting. Hingga ada yang tidak berpeluang bercuti akhirnya motivasi diri menurun dan prestasi kerja merosot hinggakan organisasi terjejas. Namun ada juga yang bercuti sehingga menjejaskan organisasinya sekiranya tempoh itu tidak sepatutnya bercuti.

Itulah hakikat cuti.... Ia menjadi dorongan semua lapisan tanpa mengira herakinya dalam organisasi. Pelajar, pekerja binaan, pekerja swasta, pekerja kilang, pengawal, jururawat, doktor, peguam hinggakan menteri dan ketua tertinggi dalam organisasi pun menantikan masa cuti. Tersilap catur menanganinya menjadikan hubungan dalam organisasi terjejas dan akhirnya kemerosotaan prestasi organisasi.

KERJA  MASA CUTI :  LAMBANG KECEMERLANGAN ORGANISASI ATAU KEGAGALAN PENGURUSAN SUMBER....
Tidak kurang juga dalam tempoh bercuti, masih ada yang dipanggil bertugas untuk menghabiskan tugasan belum selesai, membuat perancangan tahun akan datang atau persediaan untuk keperluan organisasi. Mungkin atas keperluan tersebut, ada yang dipanggil bertugas masa cuti ataupun permohonan cutinya tidak diluluskan.

Namun masih belum ada kajian empirikal dan saintifik untuk memberi justifikasi sama ada kerja masa cuti ini lambang pengorbanan, tanda kecemerlangan, simbol kerja gigih dan ada yang menyatakan ia lambang budaya kerja cemerlang sesuatu organisasi. Inilah persoalan yang belum terungkai....

Ia mungkin lambang kecemerlangan organisasi yang dizahirkan dengan pengorbanan, kesungguhan, budaya gigih,  memandang ke hadapan dan seumpamanya.

Dari sudut lain ( ... mungkin golongan pemikiran ini sering dianggap tidak sedia berkorban, tidak kuat kerja, kurang berdaya maju ) bertugas masa cuti juga melambangkan kelemahan diri yang gagal menyempurnakan tugas mengikut rangka kerja yang ditetapkan, juga mungkin kegagalan pengurusan sumber tenaga yang menyebabkan kerja tertimbun hingga perlu dilunaskan, mungkin penugasan sumber tidak cekap, perancangan awal tidak menjadualkan perancangan tahun datang dalam rangka kerja. Benar atau tidak ..... bersama berfikir.

Apa pun juga...
Syukur padaNya kerana dapat bercuti
Sabar dugaanNya kerana bertugas semasa cuti
Terima kasih kepada yang bertugas semasa cuti kerana membolehkan kita bercuti.
Hanya satu....
Tiada cuti mencari redhaNya.

Kota Kinabalu - KLIA - Kajang - Sungai Perak - Sungai Petani - Temerloh

Friday, November 24, 2017

PERJALANAN PENDIDIKAN SAINS KITA....


Perjalanan pendidikan kita sentiasa berubah.....
Jika tidak mampu mengejarnya pastikan kita mengekorinya ....

Menoleh sejarah alam persekolahan ( bagi penulis era80an ),  pembelajaran itu menang menarik terutama bagi aliran Sains terutama adanya aktiviti makmal. Biarpun segulung pita detik habis pun .... guru tetap menekankan .... buat eksperimen.... belah katak.... tanam musang dapatkan rangka.... walaupun waktu itu kita tidak faham kenapa guru ajar begitu. Mungkin belum ada PAK21 tetapi tetap seronok. Impian semua pelajar ketika itu.... kelas amali yang seronok  walaupun ada masanya gagal ujian. Peperiksaan amali sains paling menyeronokan..... bagi pelajar..... seronok mengintai peralatan makmal menjelang Oktober.

Apabila diri sendiri menjadi guru sains.... barulah faham rupanya cabaran 60:40 masih jauh.. ketika itu masih mentah .... belum sedar erti PISA, TIMSS, yang ada kemahiran berfikir kreatif dan kritis (  KBKK )  dan  KPS berkesempatan melaksanakan amali Sains. Biarpun baru.... tapi sana sini ada kursus dari daerah, negeri ...bersama dibimbing menimba ilmu dari Guru Cemerlang ( istilah mula didengar tahun 90an ) .... walaupun tidak menjadi guru cemerlang tetapi gembira dibimbing guru cemerlang ....hingga di hentian bas menuntut ilmu ( terima kasih Tn Hj Hamzah Othman  ) .... berkhidmat di  desa pun masih merasai denyutan perubahan terkini.  Perkongsian ilmu  amat rancak pada semua peringkat.

Kecenderungan golongan yang  mengkomersialkan ilmu perlu diatasi bagi menyebarluas segala kemahiran untuk dikongsi bersama guru-guru peringkat pelaksanaan. Namun masih ramai yang tulus ikhlas berkongsi ilmu dengan semangat tinggi seorang GURU - penyebar ilmu 

Gelombang PEKA Sains telah merubah segalanya.... hinggakan pelajar ketika itu ada yang kurang mahir amali Sains tetapi cantik laporannya juga banyak A penskorannya. Mungkin berbantukan buku pasaran . Golongan inilah yang kita telah merata menjadi guru sekarang. Terbantut amali Sains mungkin faktor kos... PEKA menjadi keluhan. Rentak masih sama hasrat 60:40 tetap masih jauh dari sasaran.

Ledakan PPSMI memberikan impak besar.... ada positif dan negatifnya. Apa yang nyata komputer, projektor yang ada dibekalkan tiada kesinambungan....menjadi usang....sekali lagi sasaran 60:40 tersasar terutama golongan luar bandar. Renjatan PPSMI dikurangkan dengan DLP dengan harapan minat terhadap sains melonjak.

Ledakan perbandingan GPS antara sekolah menjadikan kian parah. Input berbeza output diharapkan sama. Membanding antara sekolah memberi tekanan kepada pentadbir apabila pihak atasan hanya ingin mendengar irama merdu 100% dan GPS yang terbaik. Ranjau , halangan, keluhan bawahan dianggap tidak produktif. Maka strategi 'kotor' mula diaplikasikan dengan pengurangan pelajar yang mengambil matapelajaran sukar seperti Sains Tulen dan Matematik Tambahan. Kebanyakan sekolah mengurangkan bilangan aliran sains dengan hanya menumpukan yang menjamin 100% dan GPS yang baik. Tumpuan kepada mata pelajaran yang mempunyai kerja kursus yang telah menjamin 50% kelulusan sebelum peperiksaan awam. Langkah ini berkesan melonjakkan pencapaian GPS dan peratus lulus...  Namun penguncupan ketara dalam landasan 60:40 berterusan.

Syukur mulai UPSR 2017 dimensi baru melihat keputusan pentaksiran dan peperiksaan, semoga dasar ini kekal untuk mermartabatkan ilmu.

Semoga dengan pendekatan baru dasar STEM dan PAK21 akan merancakkan keseronokan pengajaran dan pembelajaran. Mungkin generasi lama agak kaku menyerap perubahan ini namun tetap mengejarnya secara tekun. Keseronokan pembelajaran dan pemudahcaraan terasa bahangnya. Namun mungkin ada igauan tekanan peperiksaan menghantui tetapi yang jelas memberi keseronokan kepada pelajar - generasi pewaris. Semoga usaha ini akan melonjakkan perkembangan ilmu dan dasar 60:40 akan menjadi realiti. Asalkan kita berpegang ilmu perlu disebarkan dan bukan semua yang kita ingin jadikan doktor atau jurutera tetapi kemahiran saintifik menjadi teras intelek.

Nota :
Penulis dulunya adalah pelajar aliran sains, menjadi guru muda sains dan kini kelompok pentadbir aliran sains walaupun hampir menuju zon penamat namun siap siaga menempuh perubahan - jika tidak mengejar pasti mengekori agar tidak ketinggalan.




Thursday, November 23, 2017

UPSR 2017 : Anjakan Paradigma

UPSR2017 : Anjakan Paradigma
Kelainan terasa dari kebiasaan apabila tidak lagi mengutamakan perbandingan antara sekolah dalam pencapaian UPSR 2017.

Meraikan yang berjaya dan mendakapi yang kurang berjaya untuk menjadikan semua dihargai. Langkah permulaan ini pastinya janggal kerana selama ini kita telah disajikan dengan pengumuman kecemerlangan 6A, 5A tetapi kini berubah.

Moga nilai ilmu dihargai dan kecemerlangan juga tidak diketepikan. Namun apa yang ingin dinanti adakah dasar ini akan berterusan atau berhenti di pertengahan jalan nanti .....



Friday, November 10, 2017

RESTU ILMU : Restuilah selamanya......

Peperiksaan SPM / STPM telah bermula. Sebelum itu semua sekolah mengadakan majlis restu ilmu, ada yang mengabungkan dengan graduasi yang belum 'graduate'. Tidak kurang juga yang menjenamakan dengan istilah menyentuh hati seperti titisan ilmu, restu kasih guru dan seumpama dengannya.

Hari itu kita melihat tangisan yang lahir dari keikhlasan hati seorang guru dan tautan kasih pelajarnya. Ketika itu pelajar yang cemerlang berharap restu guru untuk kecemerlangan berterusan. Manakala pelajar yang agak nakal dan lemah, linangan air mata untuk memohon restu dan kemaafan atas kekhilafannya terhadap insan bergelar guru. Hati manusia yang lembut kini terusik......namun ada juga yang masih keras.

Peperiksaan bukanlah penamat segalanya.... Restuilah mereka untuk mengharungi pentas hidup sebenarnya. Agar mereka mengharungi hidup ini dengan doa dan restu guru. Moga ilmu yang diberi sama ada dari sukatan pelajaran, mungkin teguran kecil yang lebih berkesan untuk kehidupan menjadi penyuluh hidup anak didik kita. Restulah mereka agar tidak menjalani hidup dengan penuh bimbingan. Hakikat ada yang cemerlang tergelincir dalam perjalanan tetapi tidak kurang juga yang gagal namun lurus landasan hidupnya.

Restuilah selamanya....


Thursday, October 26, 2017

GRADUASI BAGI YANG BELUM GRADUATE

Trend masa kini....semua sekolah sibuk dengan Majlis Graduasi yang dilaksanakan secara gemilang mengikut kemampuan dan menjadi lambang status sekolah.  Kewajarannya dengan alasan motivasi dan meningkatkan keyakinan diri. Semua yang bakal tamat tingkatan 5 diraikan setara konvo atau ada yang lebih meriah dari konvo. Hakikatnya mereka ini belum pasti lulusnya , mungkin sekolah elit jaminan 100% lulus.

Mungkin dibelenggu pemikiran klasik.... dahulu kita tidak akan menyarung jubah konvo melainkan selayaknya. Mungkin lebih tepat jika penamaan semula Graduasi dengan yang lebih sesuai dengan ertinya....mungkin sedikit kesabaran dilaksanakan selepas keputusan SPM / STPM sebenarnya dicapai.

Mungkin yang tidak sependapat mengatakan pemikiran klasik dan ketinggalan.
Namun moga agar kita bertepatan dengan makna dalam semua kamus utama. Apakah makna Graduasi....

Kini graduasi yang belum pasti graduate...

Friday, September 22, 2017

PUSAT SIBER : Masihkah relevan ....

Awal tahun 90-an galakan akses internet bagi yang kurang mampu. Inisiatif ini memberi peluang golongan sederhana mendapat akses internet untuk pelbagai urusan. Kini tahun 2000 akses internet lebih mudah dengan penggunaan telefon pintar dengan pelbagai pakej yang ditawarkan oleh penyedia rangkaian. Perkembangan ini telah menjadikan pusat siber bukan lagi mengutamakan aspek maklumat. Unsur hiburan dan permainan dalam talian menjadikan pusat siber sarang pelajar ponteng atau menbuang masa, tambahan dengan galakan pertandingan. Mungkin perlunya kita membuat semakan terma pusat siber selaras untuk membezakannya ianya pusat ilmu digital atau hiburan atau permainan senata-mata.

Friday, September 8, 2017

PEMAKANAN PEPERIKSAAN

Peperiksaan awam - UPSR, PT3, SPM, STPM bakal menjelang.
Selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar. Semoga beroleh kejayaan.
Pakar motivasi di kaca tv menyarankan pemakanan khusus seperti madu lebah, epal, kurma, anggur dan sehingga ada yang mencadangkan buah berry yang sukar diperolehi.

Memang tidak dapat disangkal kebenarannya yang telah dikaji dan dibuktikan secara saintifik. Namun kebanyakannya buah-buahan import yang sukar didapati secara segar atau agak mahal bagi golongan sederhana.

Apakah tidak ada buah-buahan atau makanan tempatan yang mempunyai fungsi setara dengan pemakanan import. Inilah tanggungjawab para saintis tempatan mengkaji sumber tempatan yang berkhasiat. Cabarannya besar tetapi ia akan memberi manafaat yang tinggi kepada masyarakat dan ekonomi.

Friday, August 11, 2017

JENAKA INDUKSI 7 : TERUP ION

Menunggu kelas tambahan yang bakal bermula jam 2.00 petang, rasa mengantuk merupakan cabaran utama. Harmonian memang bersatu dan berpadu untuk mengalas cabaran SPM.  Namun Harmonian juga pelajar biasa yang ada cerita nakalnya.
Sebahagian rakan Harmonian , mengisi masa terluang dengan bermain kad daun terup.
Asyik bermain , latihan dibekal terabai. ..... suka , geram , marah tapi menjadi kenangan terindah.

Langkahnya memang sepantas kilat, muncul tanpa diduga, hadirnya dengan seribu idea.
Marah dengan sikap membuang masa bermain daun terup, lalu semua daun terup dirampas semua. Tiga pelajar diarah ke bilik HEM, dalam fikiran Harmonian pasti surat amaran atau hukuman bakal menanti.

15 minit berlalu.... dengan penuh debaran Harmonian menunggu khabar 3 rakannya yang ditahan di bilik HEM. Suatu kejutan, kembalinya mereka dengan daun terup Harmonian kini berubah wajah menjadi Kad Anion Kation. "Jadikan semua permainan suatu pembelajaran menyeronokan pasti Harmonian tidak akan stress menghadapi peperiksaan.

Geram, marah, sakit hati merupakan rencah perjalanan seorang Harmonian. Segalanya kini menjadi kenangan terindah bila mengatur langkah ke kuliah kejuruteraan kimia, perubatan, biokimia, genetik botani dan semuanya itu dari hukuman kreatif daun terup yang menjadi Kad Anion Kation.

Di manakah cikgu yang sepantas kilat, muncul tanoa diduga.....?


Wednesday, July 5, 2017

JENAKA INDUKSI 6 : TEMBOK BESAR CHINA

Pertama kali mendapat kelas ganti Sejarah . Melangkah masuk ke kelas dengan yakin dengan bahan yang dibekalkan guru Sejarah. Ringkas padat lembaran kecil bahan KBAT Sejarah....tertera ungkapan :
  Setiap negara bertamadun akan meninggalkan monumen atau bangunan ikon termasuk   
  tamadun China.  Jelaskan kenapa monumen itu dibina?.

Pelajar membincangkan bersama rakan sekelas, sebelum membentangkan dalam kelas.
Pelbagai huraian dijelaskan yang mengikut skrip jawapan, namun dengan alasan KBAT seorang pelajar menjelaskan - tujuan membina tembok China adalah untuk menghalang serangan makluk asing. Merujuk kepada huraian saiz badan manusia, teknologi peperangan zaman itu, saiz tembok besar China ada logiknya hujah tersebut yang disokong cerita lagenda "The Great Wall of China".

Berfikiran panjang - perlunya kita merealistik isi pelajaran dengan realiti serta pengaruh media perlu digarap sempurna oleh guru masa kini.

Friday, June 23, 2017

SELUMBAR

Selumbar di kaki yang menyakitkan memang menyakitkan. Sakitnya pedih terasa 
biarpun halus tidak kelihatan di mata namun saraf merasainya. Selumbar sonsang lagi payah dikeluarkan dari tapak kaki. Jika ingin mengeluarkan selumbar, ada masanya kaki perlu ditoreh luas hingga berdarah, lagi sakit terasa. Ingin dibiarkan tetap terasa sakit di kaki dan tidak selesa. Namun selumbar kecil tidak berbahaya kepada kita yang sihat tetapi sekiranya kita pengidap diabetes perlu berjaga-jaga.

Usahlah hanya kerana selumbar yang kecil itu kita potong keseluruhan kaki.
Inilah pergolakan kehidupan kita hari ini - ekonomi, politik dan budaya.

Wednesday, June 14, 2017

SUIT ( BLAZER ) : LAMBANG STATUS ATAU MASIH DIKEKANG PENJAJAH...

Amalan pemakaian suit ( blazer ) menjadi lambang kekemasan, status , 'prestage' dan ketrampilan bagi kelompok elit dalam negara kita. Namun ada masanya kita melihat tetamu negara asing tetap berpakaian mengikut budaya negara asal mereka. Namun bagi negaraku Malaysia dengan iklim tropika dan kini menjangkau angka kematangan kemerdekaan yang selangkah lagi meniti ke-60 iaitu kini dengan penuh kebanggaan kita menyambut kemerdekaan ke-59.

Aku Negara ku - mesej ditiup kencang bagi menyuntik jiwa patriotik dalam generasi muda. Namun apakah maknanya jika pemalu gendang patriotik masih teguh bersadur budaya kebaratan. Pelbagai program simbollik Aku Negara ku seperti penyerahan kenderaan, peralatan perang dan sebagainya, yang dilancarkan di bawah mentari terik yang menyinari tanah air tercinta. Kita masih berbangga , rasa berstatus dan ketrampilan dengan pemakaian suit ( blazer ) di tengah mentari terik.

Aku Negara ku - Marilah perteguhkan jiwa patriotik dengan meninggikan simbol budaya negara tercinta. Songket, batik, baju Melayu memerlukan gabungan unsur kemodenan untuk meningkatkan martabat bangsa. Seperti contoh iklan produk rakan di seberang, kain pelikat - resmi pun boleh.

Pengukuhan industri songket, batik, baju Melayu, baju kurung dengan asimilasi kemodenan bukan sahaja menjana ekonomi dan industri tekstil tempatan malah melahirkan pereka yang berteraskan budaya bangsa

Saturday, May 20, 2017

JENAKA INDUKSI 5 : 10 SEN UNTUK MISS TAN

Hujan masih renyai-renyai hari ini. Dengan baju yang sedikit basah Nor masuk ke kelas sambil meletakkan payung kertas di belakang. Kelas hari Bahasa Inggeris Miss Tan memang  dinantikan dalam tiga rasa -  " dinantikan" bagi pelajar yang dikategori pangai BI , "diharapkan tidak masuk" bagi yang sukar menerima BI dan "dalam ketakutan" bagi pelajar sederhana BI yang masih ingin belajar BI.

"Dalam ketakutan" -  ianya perasaan spontan kerana soalan pasti akan hadir secara rawak, yang paling menakutan mesti semua mesti bertutur dalam BI, jika tidak  denda menanti.

" 10 cents for single word", remind Miss  Tan. Sekelas semua diam akur tanda faham atau mungkin buat- buat tak faham.

Hujan makin lebat, cuaca sejuk....ditambah lagi dengan baju yang sedikit basah, terasa lagi sejuk. Miss Tan berjalan-jalan sekeliling kelas meronda pelajar yang tekun membelek kamus.
Tiba-tiba Nor bangun dengan kelam kabut menuju ke hadapan kelas.

"What do you want? " , tanya Miss Tan. Maklumlah pelajar yang kurang petah berbahasa Inggeris, Nor menjawab dengan tergagap- gagap.

" I want to go to to...to...... tandas ( toilet ) ", tergagap-gagap jawapannya dam terus meletakkan syiling 10 sen di atas meja guru dan terus berlari keluar kelas ke tandas.
Dalam tergesa-gesa masih mampu teringat untuk membayar denda " one word ten cent".

Masa berlalu, dalam kepayahan atau keterpaksaan pembelajaran Bahasa Inggeris masih berterusan hari ke hari. Tabung "One word ten cent" semakin penuh kerana Miss Tan akan membawa setiap hari ke kelas.

Dan masa terus berlalu, peperiksaan akhir tahun berjalan lancar dan pada hari yang dinantikan pelajar 1P menunggu helaian lembaran keputusan termasuklah juga Nor. Menerima keputusan peperiksaan akhir tahun dengan markah 40 amat membanggakan.

Apa yang paling mengejutkan bersama hadiah bungkusan yang cantik hanya untuk pelajar yang mencapai markah 40 yang sebelum ini sentiasa gagal.
Sebuah kamus mini berwarna hijau dengan catatan " One word Ten Cent....Everyday One Word Make You Learn Better" itulah pesanan hikmah Miss Tan.

Barulah kami mengerti denda 10 sen tersebut dikembalikan kepada kami semula dalam bentuk ilmu. Lazimnya yang lemah banyak didenda dan perlukan bantuan. Selepas itu kami berazam untuk terus gigih, dan selepas 5 tahun ramai yang lulus B.Inggetis SPM termasuk Nor walau hanya mampu capai gred lulus berbanding kepujian subjek lain.

Thanks you Miss Tan  for ten cent.

Nota:
Menjadi kebanggaan guru jika pelajar mencapai gred cemerlang A tetapi lebih berkesan di hati pelajar seandainya guru itu mendorongnya untuk lulus atau meningkatkan pencapaian. Pelajar hendaklah redha dengan aturan pendidikan guru yang mahu terbaik untuk kita biarpun perit.

Friday, May 19, 2017

EVOLUSI MAINAN BERPUTAR

Dari penutup botol berputar ke mainan "spinner".

Zaman dulu anak-anak mengunakan penutup botol untuk dijadikan mainan. Dari teknik jentik kepada diikat benang dan berputar, dinaiktaraf kepada baling-baling . Kanak-kanak zaman itu membinanya sendiri dan menggunakannya. Unsur kreativiti telah diajar secara tidak lansung.

Zaman telah berubah, fenomena kini beralih kepada mainan "spinner" yang mungkin benar ada elemen fokus, saintifik dan terapi autisme. Konsep asas tetap sama - putaran. Namun kegilaan fenomena "spinner" tetap menjadikan anak-anak kini hanya pengguna bukannya perekabentuk.

Friday, May 12, 2017

JENAKA INDUKSI 4 : SEPERTI KERA MENDAPAT BUNGA

Pelajar tidak teruja untuk mengikuti topik pembiakan tumbuhan berbanding pembaikan manusia yang sedia ada tarikan tersendiri. Bersyukurlah kelas sebelum ini adalah kelas Bahasa Melayu. Masih tercatat di papan putih kelas berkongsi peribahasa Melayu - " seperti kera mendapat bunga".

Semasa perjalanan ke Makmal Sains seperti biasa pelajar telah diminta membawa beberapa kuntum bunga yang dipetik di persekitaran sekolah atau dari rumah. Beberapa pelajar sedang mencarik-carik bunga yang ada di meja makmal. Teguran diberi lalu disambut oleh beberapa pelajar lain dengan niat mengejek Mamat yang mencarik-carik bunga.

"Seperti kera mendapat bungalah kamu ni Mamat", tegur rakannya sambil merujuk kepada erti peribahasa dalam kelas Bahasa Melayu tadi. Akibat ejekan antara rakan-rakan suasana kelas agak tegang, tambahan pula kumpulan Mamat tadi adalah kumpulan yang agak aktif biarpun pencapaian agak sederhana.

Cikgu Rie melangkah di antara kelompok pelajar tersebut, sambil menunjukkan beberapa jambak bunga lalu berkata " betullah seperti kera mendapat bunga", pelajar lain seolah-olah gembira terasa seakan cikgu Rie menyokong ejekannya kepada kumpulan Mamat.

"tapi.... sebenarnya kera itu sedang menjalankan kajian saintifik ke atas bunga" , sambung cikgu Rie. Semua pelajar terkejut dan ada yang tertanya-tanya.

"Bunga tersebut perlu dipotong, dicerai dan dicarik teliti untuk melihat organ pembiakan dalam tumbuhan", sambil menunjukkan slaid teknik 'menbedah' bunga untuk memahami organ pembiakan dalam tumbuhan.

Pembelajaran hari ini berjalan dengan lancar dan penuh rancak sekali. Syukurlah manipulasi elemen merentas kurikulum dari Bahasa Melayu - peribahasa 'seperti kera mendapat bunga' menceriakan suasana.

"Terima kasih cikgu...." ucapan pengakhiran kelas hari ini. "Tapi cikgu..... kita bukanlah kera,   kita ni bakal saintis mengkaji bunga" sapa Mamat semasa keluar dari makmal. Cikgu Rie tersenyum puas kerana tahu mereka semua telah belajar sesuatu hari ini.

Friday, May 5, 2017

JENAKA INDUKSI 3 : BERGANTUNG PADA BUKU

Peperiksaan pertengahan tahun telah selesai. Kelas berlangsung seperti biasa, mengusung ikatan kertas jawapan ke kelaa suatu fenomena biasa selepas peperiksaan.

"Yeessss...... kita dapat markah hari ini" seronoknya Ann , pelajar ini memang menunggu markahnya kerana kebiasaannya sentiasa menjadi "top scorer".

Bagi Farid, juga seronok menunggu hasilnya peperiksaan kali ini. " Dapat salin skema jawapan " bisiknya, biarpun kertas peperiksaannya seringkali putih bersih.

Bersemangat semua pelajar kelas Harmonian ni, itulah sikap pelajar sepatutnya sentiasa ghairah dengan keberhasilan.

Cikgu AZXN  mengedarkan skrip jawapan kepada semua pelajarnya. Proses perbincangan jawapan amat penting dalam proses untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Memperbaiki kelemahan jawapan amat penting agar menepati skrip atau kehendak LPM itulah seringkali pesanan penceramah skema peperiksaan.

Jawapan dibaca, dibincang , kesilapan diperbaiki. Tekunnya pelajar Harmonian membetulkan kertas jawapan. " Rajin juga pelajar ku ini" bisikan hati cikgu AZXN

Sampai soalan ke-7, ruangan jawapan agak panjang, 3 baris tercatat 3 markah, telah dianalisa Cikgu AZXN mendapati kebanyakan hanya skor 1 markah. 

Jawapan dibacanya..
"Apabila saiz atom bertambah , jarak antara petala valens semakin berjauhan, tarikan antara nukleus dengan elektron valens semakin lemah, elektron mudah didermakan, maka ia semakin reaktif",  laju bacaannya seperti lajunya jika cikgu AZXN berjalan di sekolah.

"Cikgu ....ulang, kami tak sempat salin" minta Fareez sambil mengangkat kad merah dengan simbol masam 😟😟. Elemen PA21 katanya. " Tulis di papan atau papar di lcd" minta rakannnya Rizal.

Menyedari ketidakfahaman kelas, cikgu AZXN menulis jawapan di papan kelas, dengan tiga patah perkataan  iaitu saiz, petala valens, mudah dilepaskan.

"Cikgu pendeknya tadi cikgu baca panjang" tanya Fareez.
" Ya... 3 point untuk 3 markah... ayat kamu buat sendiri" jelas cikgu AZXN.
" Kami mahu salin ayat cikgu tadi, sama seperti dalam buku skema tu" minta Jalil pelajar kumpulan Fareez.

" Gunakan 3 point itu....buat ayat sendiri untuk dapat 3 markah..... kamu perlu ingat point...bukan hafal skrip macam pelakon drama atau terlalu bergantung pada buku. Perlu jawab ayat sendiri ikut isi utama...baru boleh bina keyakinan diri" , ceramah cikgu AZXN.

"Oklah bergantung pada buku.... " sampuk Napi.
"Mana boleh...." tegas cikgu AZXN melihatkan pelajarnya belum faham hasrat hatinya.
Lalu memanggil seorang pelajar itu ke hadapan kelas sambil cikgu AZXN  mengangkat buku ke atas agak tinggi tetapi masih boleh dicapai tangan. " cubalah bergantung pada buku ni..boleh atau tidak" mintanya pada Napi.

Memang tidak boleh. Seluruh kelas ketawa....cikgu buat lawak saintifik.
Akhirnya mereka dijelaskan, " buku, skema, skrip tidak boleh dibawa ke dalam dewan peperiksaan. Kefahaman dan isi utama perlu diyakini...biarkan neuron bersambung dengan bantuan DHA dan AHA...... dengan itu kamu akan YAKIN DIRI".

Kini semua pelajar faham bahawa perlunya keyakinan diri dalam pembelajaran bukannya bergantung atau menyalin skrip jawapan dalam buku. Itulah kisah jenaka induksi bergantung pada buku yang memberikan ikatan akrab pengajaran dan pembelajaran.

"Lawak ke aku ni....orang cakap aku ni garang , payah senyum" bisik hati cikgu AZXN dengan doa moga pelajar Harmonian berjaya dunia akhirat semasa turun dari tingkst 7 kelas,

Wednesday, May 3, 2017

RESEPI KIMCHI BERULAM PETAI JUS BAMBANGAN

Hari ini meneliti minda remaja dalam melangkah ke hadapan bagi lepasan SPM lalu. Minggu ini lakaran langkah mereka bermula.... syukur dengan rezeki  yang diperolehi bagi yang berjaya ke universiti, kolej, matrikulasi, asasi , praU mahupun yang menempa laluan dalam alam kemahiran atau dunia pekerjaaan. Kita ucapan syabas dan diiringj doa agar menempa kejayaa. Biarkan senja berlalu dan izinkan subuh melakar harapan.

Apa pun perjalanan mereka tidak terlepas dari 'kepungan' pengaruh budaya 'kekoreaan' dari ulaman kimchi hingga santapan mee ramen dan hiburan K-pop serta fantasi cinta Pulau Nami. Semua itu menjadi belenggu dan mengepung remaja kini dalam melangkah ke hadapan. Fikiran menjadi tertutup , kelekaan, hiburan dan fesyen menjadikan mereka terperangkap.

Biarpun dalam dunia yang dikatakan tanpa sempadan namun remaja kini terperangkap dalam kecanggihan telefon pintar, yang hanya terhad kepada media sosial - WeeChat, Whatapps, Snapchat dan pelbagai lagi chat dan chit chat yang mungkin tidak difahami insan tua. Namun pemikiran mereka tidak menjangkaui globalisasi walaupun remaja dikatakan canggih, maklumat di hujung jari.

Mungkin ......terbelenggu dalam kepungan pengaruh kimchi dan tarikan pelbagai chat tersebut. Minda tetap terbelenggu walaupun pengikut ( follower ) beribu berjuta.

Melihat displin diri dan cara kerja warga Korea yang kita semua tidak mampu menafikan setaraf dengan budaya kerja produktif warga Jepun. Namun remaja kita tidak dapat menyelami budaya itu walaupun perut penuh dengan kimchi dan mee ramen. Mungkin perlu membentuk anjakan budaya baru - serapan budaya kerja Korea dengan penuh disiplin diri , inovatif dan produktif. Namun tidak melupakan jati diri - budaya kemelayuan nusantara. Biarlah hidangan makanan  kimchi bersama sambal petai itu lebih enak jika diminum bersama jus bambangan.

Bebaskan diri dari kepungan, biarlah senja berlalu dan izinkan subuh melakar harapan...

Saturday, April 29, 2017

JENAKA INDUKSI 2 : MAGIK JIRIM

Sukarnya pengajaran sains tanpa eksperimen. Namun tidak semua konsep dapat dijelaskan dengan mudah terutama bagi kelas akhir yang bijak kelakarnya. Menghafal agak payah, inilah idea magik jirim.

Cikgu AZ ke kelas Ikhlas seperti biasanya, pengajaran hari ini hanya 30 minit, waktu selepas rehat. Satu persatu pelajar masuk ke kelas. Cikgu AZ membuat garisan bulatan di hadapan kelas.

"Kita nak buat apa cikgu? " tanya Ikhmal.
Selamba jawab cikgu AZ, ' hari ini pertunjukkan magik jirim".

Kelas yang agak riuh diam seketika, mungkin berlegar-legar di fikiran murid "apalah cikgu ni'.

Cikgu AZ memanggil dua pelajar ke hadapan, berdiri di luar garisan bulatan itu. Dalam bulatan itu masih dibiarkan kosong. Sambil memusing-musing tangan dan meniup - niup mentera , cikgu AZ berkata "... lihat lah dalam bulatan ini... Kosong kosong kosong...... sebentar lagi akan muncullah Ikhmal".

Apa bila selesai ungkapan 'mentera' cikgu AZ muncullah Ikhmal duduk di tengah bulatan.

Menggunakan pembaris bagai tongkat sakti, cikgu AZ berkata " ting ruang kosong telah dipenuhi".

Ramai-ramai pelajar Ikhlas berkata " Kami tahu magik cikgu ..... Jirim memenuhi ruang ". Cikgu AZ senyum. Lantas memberi isyarat kepada kedua-dua pelajarnya yang di luar bulatan agar mengangkat Ikhmal keluar dari bulatan. "Beratnya ........" keluh dua pelajar yang diarah mengangkat Ikhmal yang bersaiz agar besar.

Itulah magik cikgu hari ini ...". Jirim memenuhi ruang dan mempunyai jiisim " , jelas cikgu AZ dan pelajar semua bertepuk tangan dan berkata "kami faham dah jirim tu apa"

Friday, April 28, 2017

JENAKA INDUKSI 1 : TAUGE KETAWA......

Minggu pertama pembelajaran di alam menengah aku dan Nasser amat teruju. Inilah kali pertama masuk ke makmal sains. Beratur di luar makmal suatu rutin biasa, sesekali menjenguk melihatkan radas kaca yang kecil dan comel.

Dengan senyuman manis. "Masuk....." arahan guru Sains ku yang menawan.
Setelah mendengar arahan keselamatan dengan penuh kesiapsiagaan, maklumlah aktiviti makmal sering dimomokan ada letupan, asid kuat oleh senior.

Mie selaku ketua kelas yang dedikasi, dipanggil cikgu Rahmah untuk mengedarkan satu bungkusan setiap meja. Aku juga menerima bungkusan kapas putih basah. Lalu aku dengan Nasser, membukanya.....lalu aku berkata...."tauge...."

Entah kenapa....tanpa diketahui sebabnya....aku dengan Nasser membelek-belek tauge bengkok. Ntah kenapa..tiba-tiba kami berdua ketawa terbahak-bahak. Seluruh kelas menyedari.... semua tertanya ...

Cikgu Rahmah menyedari tingkah laku kami lalu bertanya "kenapa...! apa yang lucu sangat ?". Manis senyumannya kini bertukar penuh kegarangan. Aku menjawab...."kenapa tauge ni kemetot.." Kebetulan aku murid yang paling kecil atau ketot istilah orang Chenor. Lalu kami terus ketawa hingga sakit perut tanpa henti.

" Apa lagi ketawa-ketawa.....cepat kamu berdua bangun....susun dan ukur ketinggian tauge. Plot graf ..." arahan cikgu Rahmah.

Itulah episod pertama penerokaan saintifik, yang kini telah telah sebati dalam diri ku sebagai guru beropsyen Biologi manakala Nasser terus maju sebagai akauntan, Mie pula terus melangkah dari ketua kelas meneraju jadi ketua pimpinan sekolah juga masyarakat

Thursday, April 27, 2017

BANGUNLAH PEJUANG BAHASA.....

Menghadapi cabaran globalisasi masa kini telah merubah minda dan keteguhan jati diri untuk menghadapi cabaran amatlah dituntut. Tidak menentang arus globalisasi, tidak bermakna harus kita hanyut dalam arus globalisasi, sehinggakan jati diri terkapai-kapai kelemasan.

Jati diri aspek budaya , pakaian, gaya hidup sedikit tercalar dengan arus globalisasi namun masih boleh dipertahankan oleh pejuang budaya. Ketara dalam kelemasan ialah jati diri aspek berbahasa Melayu kini dalam terkapai-kapai dihanyut arus masa kini. Istilah asing yang diserap seperti precint, bouelvard, parkir dan sebagainya menjadi serapan yang menambah kekayaaan berbahasa atau hakisan bahasa. Unsur slanga , bombastik, meletop, vaganza dan selainya menjadi kelaziman sehingga menjejas kosa kata. Singkatan bahasa Inggeris seperti ECRL, iThink,  NKRA , DLP dan pelbagai akronim yang seakan ketiadaan Bahasa Melayu yang lunak dan juga melambangkan kemajuan.

Bukan menafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai kelebihan era globalisasi seperti kelebihan berbahasa Cina dalam menghadapi cabaran "jalan sutera baru". Namun kekuatan institusi terjemahan mampu memberi kekuatan kepada bahasa kita dan seterusnya memperkayakan bangsa.

Bangunlah pejuang bahasa ku dalam kelantangan deringan 'gadget' masa kini....

Monday, April 10, 2017

BIAR JADI ANAK AYAM JANGAN ANAK BURUNG

Cabaran mendidik pelajar kini amatlah berat. Selain berhadapan dengan kandungan pelajaran yang mencabar, kita sebagai guru menghadapi persaingan dengan tarikan lain pelajar dalam pelbagai aktiviti.

Menyedari itu kita tidak dapat lari dari menghadapi cabaran, pelajar kita minta izin tidak masuk kelas tambahan untuk aktiviti lain yang diminatinya , yang juga memberi pendidikan dari sudut yang berbeza seperti drama, koir, bola sepak, muzik dan sebagainya. Rasa tidak sampai hati mematahkan bakat dan minat mereka, ada antaranya telah 3 beradik dari tahun sebelum ini meneruskan warisan bakatnya.

Namun demikian dalam pelajaran, kita mengharapkan mereka dapat mempelajari resmi anak ayam yang mampu mengais makanan makanan sendiri. Apabila menemuinya ia merujuk pada ibunya memohon bimbingan. Sentiasa merujuk kepada ibunya yang bertindak sebagai pembimbing sepanjang masa. Ia tidak pergi jauh. Hindarilah mereka ini mengikuti resmi anak burung yang hanya menunggu makanan di bawa ke sarang , apabila telah besar terus terbang bebas meninggalkan sarangnya dan ibunya juga...

Usahlah bersedih sekiranya ibu ayam itu disembelih atau ibu burung itu dilastik jatuh setelah anak-anaknya mengecapi kejayaan.

Wednesday, April 5, 2017

MENANTI SERPIHAN GADING .....

Saban hari kita disajikan pelbagai berita dari multisumber  - hanya menunggu kepintaran kita mencerna dan mencari kebenarannya. Hingga ada masa kita keliru dengan semuanya. Ada yang menyatakan itulah dugaan akhir zaman. Namun ketika dua pihak sedang bertarung - ibarat dua gajah perkasa sedang berjuang....kita tidak pasti kemenangan kepada siapa, apa yang nyata bumi yang dihentak semasa gajah berjuang itu... kancil yang kecil terhimpit di tengah-tengah, tikus berlarian, unggas berterbangan - semua akan terbelenggu dengan gegaran impak pertembungan. Hanya satu yang ditunggu semoga serpihan gading dari kedua-dua gajah yang berjuang akan menjadi suatu yang amat berharga buat semua

Thursday, March 16, 2017

REFLEKSI HARI KEPUTUSAN SPM KITA......

Refleksi Hari Keputusan SPM kita...

1. Tahniah kepada semua yg berusaha gigih, teruskan menebus kelemahan lalu
2. Walaupun agak terkilan masih ada calon gagal Kimia, mungkin ada kelemahan perlu dikaji, teknik perlu diperbaiki tapi pengajarannya walaupun mereka golongan pandai  mahupun berada jika terabai ketinggalan juga.
3. Namun gembira sebab tidak mensyorkan pelajar itu gugurkan subjek  atau syor agar TH - tidak hadir  demi untuk  menjaga  peratus dan gred
4. Namun terubat juga....bila kelas 5J kelas terakhir juga berjaya 18 lulus Sains dan hanya 1 gagal, itu petanda walaupun lemah, susah, masih berjaya dengan keprihatinan guru serta bantuan  pecutan kognitif Ayam T dan Modul Sains....isyarat terus timba ilmu meningkatkan kualiti pdp
5. Dalam kegembiraan, sedih mengenangkan ada calon yg nak ambil keputusan SPM...terlibat kemalangan depan sekolah...isu yang tiada modul atau gc yang mampu menangani

Wednesday, February 15, 2017

TERBANGNYA BANGAU..........

Kalau dulu di desa, kita dapat melihat bangau terbang bebas .....namun akhirnya hinggap di belakang kerbau.....makanan dan perlindungan diterima bangau dengan ihsan kerbau. Lalu bangau kembali terbang lagi.....hinggap kembali.....dan terbang lagi ....... lalu hinggap lagi   .....begitulah perjalanan kehidupan bangau....

Menjadi guru masa kini....perlukah kita memberi kebebasan kepada anak didik kita seumpama bangau... kita lepaskan bebas dan akhirnya ia tetap kembali kepada gurunya untuk mencari ilmu dan perlindungan.... cabaran pelajar masa kini.... tidak mahu disekat atau dikongkong tetapi dapatkah kita menjadi mereka umpama bangau, ingin terbang bebas tetapi kembali untuk mendapatkan ilmu , perlindungan dan nasihat dari gurunya...

Dugaan kini....kemanakah bangau ingin terbang bebas.......dan ingin kembali ke belakang kerbau, namun tiada lagi yang tinggal 'kerbau besi' kenderaan menuju lalu....di mana tidak ada makanan atau perlindungan lagi....tersilap hinggap terkorban diri....