Friday, November 18, 2011

SEMANGAT MEMBARA RM100 DIIRINGI PENCAPAIAN CEMERLANG 2012

TAHNIAH dan terima kasih atas bantuan RM100 bagi keperluan persekolahan 2012. Semoga sekolah menyaksikan pelajar dan ibu bapa penjaga bersemangat menerima bantuan tersebut dengan datang awal pagi ke sekolah. Semoga semangat itu dikekalkan dan ditunjukkan semasa masuk ke sekolah hari pertama 2012 dengan kelengkapan penuh dan dijelmakan dalam pencapaian akademik seterusnya. Mungkin satu kajian boleh dibuat untuk mengkali aliran perbelanjaan RM100 agar menepati dengan tujuan agihannya atau pun kajian sosiologi mengapakah semasa agihan bantuan kehadiran 100% tetapi semasa penyerahan keputusan peperiksaan atau pelaporan disiplin atau mesyuarat PIBG sasaran kehadiran sukar dicapai? Fikirkan bersama ! Didiklah bersama !

Saturday, November 12, 2011

GMP–PAGE : Pendidikan makin keliru

Perjuangan Gerakan Mansuh PPSMI ( GMP ) yang bertahun dengan sokongan pelbagai kini hanya baru mencapai ‘bau bacang’ hasilnya dan kelihatan dipinggirkan media perdana. Perjuangan PAGE yang baru bertapak ‘nampak berjaya’ melambatkan pemansuhan PPSMI. Semua bergerak atas alasan kepentingan pelajar – benarkah? Mungkin lebih relevan kalau dinyatakan sebenarnya perjuangan golongan yang senang berbahasa Melayu dengan golongan ‘lidah Melayu yang keras’ untuk bertutur bahasa sendiri. Mungkinkah ia akan melahirkan senario pendidikan zaman pra-kemerdekaan iaitu persekolahan dua aliran untuk pengajaran Sains dan Matematik. Segalanya makin menjadikan kekeliruan dan bagi seorang guru akhirnya apa yang ditanya bukanlah berapa peratus pengajaran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, cuma berapa peratus yang LULUS, berapa peratus A, berapa peratus peningkatan matapelajaran. Jika diingat zaman dulu ilmuan akan menterjemah karya apa juga bahasa kepada bahasa tempatan agar ilmu disebarluaskan kepada rakyat. Apakah ini hasil doktrin pendidikan yang menyanjung tinggi kelulusan luar negara atau kita belum cukup berani untuk bertutur Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita.

Thursday, October 13, 2011

BERTUAHNYA PELAJAR KINI…

Rezeki yang dikurniakan perlu disyukuri. Menjadi pelajar hari ini bertuah dengan pelbagai kemudahan dan akses kepada sumber ilmu. Namun demikian mungkin sebab terlalu mudah ada sikap kurang bersyukur dikalangan mereka. Jika 20 tahun lalu untuk mendapatkan buku Koleksi Kertas Peperiksaan Sebenar Peperiksaan Awam amatlah sukar. Pelajar yang berjaya mendapatkannya ibarat mendapat ‘senjata rahsia’ untuk peperiksaan. Namun kini akses kepada latihan dan soalan percubaan semua negeri boleh dicapai dihujung cari, cuma sayangnya semasa pengajaran dengan guru, pelajar seringkali ‘terlupa’ membawa bahan tersebut. Sekoga sikap ini perlu dikikis agar menjadi pelajar yang lebih berdikari dan menghargai. Kini tertanya-tanya apakah ganjaran RM100.00 yang bakal diterima pelajar nanti akan menjana ilmu atau mengalir ke syarikat telekomunikasi dengan dihabiskan membeli top-up kad.. Syukurilah nikmat ini dengan menimba selautan ilmu…

Thursday, October 6, 2011

SYARAT KELAYAKAN CALON SEKOLAH

Selaras dengan perlaksanaan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saban tahun pasti ada isu atau insiden pelajar ‘dinafikan hak’ menduduki peperiksaan tersebut. Serangan media pun berlaku dan pelbagai tindakan serta pandangan akan hangat diperbincangkan. Mungkin dengan merenungi sejenak, kita dapat memahami situasi ini dan mencari cara terbaik mengatasinya:

1.  Mungkin pihak sekolah berpendapat ada sebilangan calon peperiksaan yang hanya hadir ke sekolah pada awal bulan sahaja dan selepas mendaftar terus menghilangkan diri dari sekolah. Setelah pelbagai tindakan diambil mengikut lunas sedia ada, jika pelajar tersebut muncul pada hari peperiksaan – mereka tetap akan menduduki peperiksaan dan hasilnya mungkin akan mengecewakan pihak sekolah yang ‘dikejar’ dengan kehendak pencapaian sempurna.

2. Andainya kita dapat melaksanakan sistem syarat kelayakan calon peperiksaan dengan memberi syarat kehadiran misalnya 80% untuk melayakkan ia kekal sebagai calon sekolah. Ini akan menimbulkan keadilan kepada pihak sekolah, jika pelajar yang sentiasa hadir ke sekolah – berusaha dan berdisiplin , pasti tidak sepatutnya dinafikan hak sebagai calon sekolah. Seandainya kehadiran pelajar amat lemah dan suka ponteng, setelah tindakan mengikut peraturan sedia ada dilaksanakan, pihak sekolah seharusnya boleh dibenarkan untuk menukar status calon dari calon sekolah ke calon persendirian, pelajar masih boleh menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan kehendak pencapaian sekolah.

3. Syarat kelayakan calon peperiksaan misalnya mensyaratkan menpunyai jumlah kehadiran yang mencukupi misalnya 80% ke atas untuk layak sebagai calon sekolah amat baik. Ia akan memberi kesan positif kepada pelajar yang perlu bertanggungjawab untuk hadir ke sekolah dan pihak sekolah tidak akan menerima kesan dari calon ‘tengelam timbul’. Sistem ini diamalkan oleh kebanyakan pusat pengajian tinggi dan mungkin boleh diaplikasi di sekolah. Pertukaran status calon dari calon sekolah ke calon persendirian bagi memberi peluang kepada pelajar yang tersebut untuk mendapat ‘peluang dan hak’ menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan sasaran pihak sekolah. Ini memberi keadilan kepada pelajar dan pihak sekolah yang seringkali ‘terhimpit’ dengan kehendak peningkatan peratus peperiksaan.

Mungkin kita perlu menilai dan mentaksir kembali tanggapan masyarakat kejayaan dalam peperiksaan adalah suatu keagongan tetapi kita perlu ingat kegagalan dalam peperiksaan bukanlah penamat kepada kehidupan.  Dengan penambahbaikan dasar dan proses sedia akan pasti akan menghasilkan jalinan terbaik yang seiring antara pihak sekolah, guru, ibu bapa penjaga dan pelajar yang pasti akan mencetus kecemerlangan bersama.

Tuesday, October 4, 2011

BELANJAWAN DAN DIRI KITA.

Suatu ketika dahulu, ketika kali pertama menerima gaji pertama sebagai elaun guru ganti dengan bayaran sekadar RM800.00 sahaja. Mungkin tahun 1990an ketika itu banyak perkara dapat dilunaskan seperti membeli buku untuk meneruskan pengajian dan sebagainya. Agihan mencukupi untuk perbelanjaan ketika itu bahkan masih tersimpan untuk kegunaan bila kembali ke universiti selepas cuti semester. Ketika itu belum ada tuntutan bil ultiliti seperti telefon, telefon bimbit, internet dan sebagainya. Cukup sekadar tambang perjalanan – minyak motorsikal dan keperluan utama. Kini keadaan telah banyak berubah, jika kita melihat graduan yang baru bertugas sebagai pendidik pun mencapai gaji menghampiri RM2000.00 termasuk elaun. Namun demikian mungkin gaya masa kini dengan kecanggihan – telefon bimbit berpakej jalur lebar, komputer dan ultiliti yang lain, kita mendengar ada ada antara graduan baru merasakan pendapatan kurang mencukupi untuk keperluan kehidupan. Selain daripada itu mungkin mereka juga telah terikat dengan PTPTN yang perlu dilunaskan berbanding dahulu pinjaman diubah kepada biasiswa setelah lulus pengajian ataupun jika ada bayaran hanyalah sekadar 25% dari keseluruhan dari pinjaman.  Bersama kita merenungi kembali apakah keperluan masa kini atau kehendak masa kini. Dulu mereka yang baru bertugas akan bermula dengan membeli motorsikal sebagai kenderaan ke tempat kerja tetapi kini tidak lagi begitu. Bersama kita berfikir dan mengurus belanjawan kita.

Thursday, September 29, 2011

HALUAN PASCA PMR

Peperiksaan PMR bakal menjelang tiba dengan dasar kenaikan terus ke tingkatan 4, semua pelajar akan terus naik ke tingkatan empat tanpa mengira tahap prestasi. Mungkin ada baiknya kita merenungi dasar lama tetapi diperbaharui dan diperkemaskan.  Jika dahulu pelajar yang gagal SRP / PMR tidak meneruskan ke persekolahan biasa tingkatan 4. Memang ada kelemahan tetapi dengan memberi peluang mengikut minat pelajar ke aliran kemahiran perlu dipertingkatkan. Ini kerana kebanyakan pelajar yang gagal PMR kurang berminat dengan pengajian akademik. Mungkin syarat minima untuk ke aliran akademik perlu dipertimbangkan.

Tuesday, September 13, 2011

RESTORAN SEAFOOD HALAL : Keperluan Kifayah

Sama cuti yang lepas, puas berputar-putar mencari restoran makanan laut ( seafood ) yang diusahakan oleh pengusaha muslim sekitar Kota Kinabalu atau pun setidaknya mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM. Kita sedar mengetahui sama pelancong tempatan atau rakan niaga yang datang ke Sabah khususnya akan seringkali diraikan di mana-mana restoran terutama restoran seafood yang menjadi tanda niaga negeri ini. Adalah diharapkan akan ada pengusaha muslim untuk melestarikan pengzahiran restoran seafood halal sepenuhnya tanpa terlibat dengan penyajian minuman beralkohol. Harap kemunculannya akan menjadi kenyataan dan tanggungjawab bersama.

Tuesday, August 30, 2011

MERDEKA RAYA..

Selamat menyambut Aidilfitri dan Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54. Syawal dirai dan Merdeka dihayati.

1. Menyorot kepada program media elektronik tentang sambutan Aidilfitri – masih seperti dahulu hanya berteraskan hiburan dan keseronokan. Hanya beberapa slot sahaja yang menyayangkan hiburan, tayangan yang berunsurkan pengajaran. Dengan semangat merdeka semoga suatu masa nanti sambutan syawal berteraskan pengajaran selari dengan kehendak Islam.

2. Merdeka ke-54 hendaklah dihayati dengan penuh keinsafan dan berasaskan fakta bukan berlandaskan persepsi sahaja. Adalah terlalu tidak wajar jika ada ada pihak yang menafikan peranan Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam menuntut kemerdekaan walaupun dengan pendekatan yang berbeza iaitu dengan diplomasi bukan kekerasan. Namun demikian kita juga harus tidak menafikan secara buta tuli atas peranan generasi lepas yang menentang pemerintahan kerajaan British di Tanah Melayu sama ada penentangan terus kepada pihak British atau proksi pihak British. HAKIKATnya adalah gandingan kebangkitan pejuang kemerdekaan yang menentang British secara berterusan sama ada secara persenjataan dan kebijaksanaan diplomasi pemimpin masa itu melahirkan sinergi Kemerdekaan – itulah sebenarnya gabungan kedua-dua faktor kebijaksanaan diplomasi dan tekanan pejuang telah melahirkan KEMERDEKAAN.

Monday, August 22, 2011

BAJU MELAYU dan RAYA : Perlu menyerap kemodenan.

Aidilfitri menjelang tiba, semua pasti sibuk mencari pakaian baru untuk sambutan aidilfitri. Bagi kaum lelaki mulalah sibuk mencari baju Melayu untuk dipakai semasa hari raya. Alangkah baik kerana tradisi lama masih dikekalkan sehingga zaman berzaman hingga kini. Dalam pencarian baju Melayu ada beberapa persoalan yang perlu difikirkan agar rekaan baju Melayu menyerap unsur kemodenan dengan kehendak semasa.

1. Kebanyakan baju Melayu dipasangkan dengan seluar yang menggunakan getah tanpa tali pinggang dan poket belakang. Kita semua mengetahui kebanyakan kaum lelaki, pastinya menggunakan poket belakang untuk menyimpan dokumen penting. Seharusnya rekaan fesyen baju Melayu menyerap perubahan agar poket belakang disediakan untuk memudahkan penggunanya. Adalah tidak wajar untuk meletakkan dokumen atau dompet  di kenderaan apabila kita bertandang – aspek keselamatan perlu dipertimbangkan.

2. Mungkin tiba masaya pakar rekaan memberi nafas baru kepada rekaan baju Melayu agar dapat memenuhi keperluan pemodenan masa kini – bagaimana menyesuaikan diri dengan penggunaan poket belakang untuk meletakkan dompet atau mereka bentuk yang sesuai untuk menyimpan alat komunikasi masa kini. Sukarnya untuk mencari rekaan baju Melayu dengan rekaan seluar poket belakang kalau ingin dibeli jenis siap dijahit.

Semoga ada pencetus rekaan agar busana kebanggaan  kita akan terus menyerap kemodenan dan mampu merentasi zaman bak kata pepatah tak lapuk dek hujan…..

KEMERDEKAAN

1. Menghargai kemerdekaan lebih mudah dari mengisi kemerdekaan. Dewasa kini mungkin generasi muda kurang menghargai kemerdekaan tetapi bersedia mengisi kemerdekaan dengan pelbagai pencapaian dan wawasan yang dicapai.

2. Menyorot apa yang terjadi pada Libya – sama ada pembebasan atau penjajahan bentuk baru yang menanti pastinya belum dapat ditentukan. Ia berulang seperti di Iraq, pembebasan kononnya tetapi masih diselubungi penderitaan sehingga kini.

3. Pembentukan negara merdeka – SUDAN SELATAN, Isu pembebasan atau penjajahan bentuk bari di Libya seharusnya memberi pengajaran kepada kita semua agar sentiasa menghargai dan kemerdekaan dengan sebaiknya dan seadilnya kepada semua pihak.

Merdeka selamanya selagi dipayungi rahmat Illahi…

Tuesday, August 9, 2011

BUDAYA MERDEKA : MERCUN, PUASA dan AIDILFITRI

Sambutan Aidilfitri tahun ini bakal berkembar dengan sambutan Kemerdekaan. Namun kita masih berada pada tahap lama tidak dapat memerdekakan diri kita dan budaya kita dengan sebaiknya. Jika demikian apakah hasrat untuk membentuk budaya mengikut acuan Malaysia akan dapat direalisasikan sekiranya kita gagal memerdekakan ‘budaya warisan penjajah’ dalam kehidupan kita. Antara yang paling ketara sejak dari sebelum merdeka dan setelah 54 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih dibelenggu dengan budaya lama iaitu setiap kali ada perayaan budaya bermain mercun pasti menyelubungi suasana ramadhan dan aidilfitri.  Walaupun dengan jelas budaya tersebut hanya memberikan pembaziran wang ringgit malah adakalanya membawa kecederaan ataupun kehilangan harta benda mahupun nyawa. Persoalannya mengapakah kita belum merdeka dari budaya tersebut ataupun kita kurang bersungguh-sungguh untuk memerdeka diri dari belenggu budaya mercun. Mungkin langkah yang lebih efektif perlu diambil :

1. Semua media perlu melaksanakan kempen yang berkesan dalam mendidik rakyat dengan pembaziran bermain mercun tersebut dengan lebih rancak dan agresif sebagaimana kempen lain seperti cegah denggi, AIDS, penerangan kenaikan harga bahan api dan sebagainya.

2. Segenap lapisan pemimpin politik tanpa mengira parti dengan sokongan NGO perlu sentiasa menyebarkan mesej perubahan budaya ini seperti mana rancaknya segenap lapisan pemimpin politik dan NGO menyebarluaskan ideologi dan wawasan mereka.

3. Langkap pengkuatkuasaan perlu lebih tegas dan agresif dengan membenteras dari aspek bekalan dan penggunaan. Tindakan ini lebih mudah kerana golongan yang bermain mercun ini boleh dilihat dan didengar oleh pasukan peronda polis, RELA dan komuniti setempat. Dengan tindakan berterusan seperti kerancakan operasi benteras demonstrasi haram, mungkin akan menjimatkan wang jutaan  yang dibazirkan dengan budaya permainan mercun tersebut.

Semoga dengan roh ramadhan dan kemerdekaan, perjuangan membebaskan budaya yang menbazir ini akan dapat dihayati dan dilaksanakan oleh semua pihak.

Friday, July 29, 2011

PUASA, PERAYAAN & HARGA BARANG

Ramadhan menjelang tiba tidak lama lagi. Syukurlah pada-Nya kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Media rancak promosi jualan aidilfitri biarpun ramadhan belum bermula. Saban hari ada dinyatakan bekalan mencukupi dan kita dapat membendung kenaikan harga barangan sempena ramadhan dan perayaan. Itulah fenomena yang biasa setiap kali menjelang ramadhan dan musim perayaan.  Sesuatu yang menjadi kewajipan saban tahun ialah kenaikan harga barangan.  Sejak dulu sehingga kini fenomena kenaikan harga barangan musim ramadhan dan perayaan masih bergema hingga kini. Mengapakah tiada solusi atau sekadar menyatakan permintaan bertambah dan bekalan terhad? Mungkin Dasar Makanan Negara perlu dibentuk atau dilahirkan. Fikirkan bersama..

1. Perniagaan musim ramadhan memberi rezeki segera kepada peniaga. Semoga peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan alasan permintaan meningkat.  Keuntungan perlu dicapai tetapi bukannya keuntungan yang berlipat ganda. Mungkin sebahagian keuntungan berganda ditukar kepada sedekah ramadhan akan dapat menurunkan sedikit barangan. Mungkin ikhtibar ramadhan tahun lalu dengan kejadian ribut di banyak tempat pasar ramadhan telah memberi peringatan kepada kita bahawa disamping keuntungan unsur sedekah perlu dimurnikan.

2. Kenaikan harga barangan dengan alasan bekalan berkurangan dan terpaksa mengimport bekalan makanan dari luar akan menjana kenaikan harga. Ini pasti ditambah lagi dengan kenaikan bahan api, elektrik dan sebagainya yang turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna. Kini kita perlu mengambil langkah agar dasar bekalan makanan negara yang tidak bergantung kepada sumber luar perlu dipergiatkan.

3. Peranan agensi penguatkuasa dan pelbagai pihak perlu disepadukan dalam isu kenaikan harga barangan. Jika barangan di Kedai 1 Malaysia yang dikatakan berkualiti sama dapat dijual dengan harga yang rendah, mengapakah penurunan harga barangan lain tidak dilaksanakan dengan pemuafakatan semua pihak.

Friday, July 15, 2011

JIWA PATRIOTIK : HARIMAU MALAYA lawan LIVERPOOL

Renungan perlawanan antara Harimau Malaya melawan Liverpool nanti beberapa perkara yang boleh difikirkan :

1. Mengapa ribuan penonton penyokong Livepool memenuhi stadium dengan penuh semangat dengan pakaian merah walaupun sesi latihan menunjukkan betapa minatnya rakyat Malaysia terhadap bola sepak. Mungkin pakaian pasukan Liverpool lebih mudah diperolehi ( sama ada ori atau tidak ) berbanding dengan jersi kuning Harimau Malaya. Di sinilah medan untuk menzahirkan jiwa merdeka dan patriot dengan memberi sokongan penuh kepada pasukan kebangsaan.

2. Dalam keadaan pertembungan antara pasukan negara Harimau Malaya dengan Liverpool, sokongan kuat kepada Liverpool menunjukkan jiwa patriotik masih lemah kalangan rakyat. Sepatutnya sokongan padu kepada pasukan negara perlu diberikan walaupun dalam proses pembinaan untuk peningkatkan. Sokongan berlebihan terhadap Liverpool  menunjukkan jiwa masih di belenggu penjajah kerana dalam konteks pertandingan di medan sendiri penyokong lebih mengutamakan pasukan lawan dari segi sokongan. Memang tidak salah menyokong Liverpool sepenuhnya andainya perlawanan itu antara Liverpool dan Arsenal tetapi kini medan Liverpool dan pasukan Malaysia… berikan sedikit jiwa patriot anda.

3. Semoga pasukan Malaysia berjaya menunjukkan kecemerlangan dan menimba pengalaman berharga untuk meningkatkan kecemerlangan bola sepak negara. Sokongan perlu diberikan walaupun ketika menang atau sebaliknya. Bukannya menang dijulang bila jatuh dibuang. Selaras dengan kenyataan jurulatih negara Rajagopal pertemuan ini adalah medan yang terbaik untuk mengasah dan mempelajari sesuatu dan tidak wajar mengukur kemampuan pertembungan yang pada tahap keupayaan yang berbeda.

Saturday, July 2, 2011

MALAYSIA SYURGA MAKANAN

Kepelbagaian makanan Malaysia diserasikan dengan kepelbagaian kaum menjadikan makanan adalah daya penarik industri perlancongan di negara kita. Maka tidaklah asing jika kita lihat pelancong datang untuk menikmati rasa asli makanan Malaysia. Jika kita melihat di kaca tv , pelbagai rancangan masakan disajikan… asal ada saluran baru pasti ada rancangan masakan sama berbentuk demo atau pertandingan. Memang medan yang baik untuk mempromosi makanan Malaysia. Namum beberapa perkara perlu ditambah baik untuk memenuhi selera pelbagai kaum rakyat Malaysia disamping memeuhi kehendak penjagaan kesihatan.

1. Rancangan masakan hendaklah memberikan panduan pemakaian sihat untuk rakyat Malaysia. Resepi tradisional diberikan nafas baru selaras dengan kehendak tahap kesihatan agar rakyat diberi bimbingan untuk menyediakan makanan yang sihat – kurang kolestrol, garam, gula dan penambah rasa.

2. Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pelbagai cita rasa makanan. Seharusnya ada rancangan masakan yang menyediakan makanan pelbagai kaum yang ada – Melayu, Cina, India dan sebagainya. Asalkan semua menu yang disajikan mematuhi panduan HALAL dan citarasa. Mungkin ada kaum Melayu yang ingin mempelajari masakan  Cina dan India tetapi buku resepi di pasaran selalunya tidak menyediakan menu yang halal untuk dipelajari oleh mereka yang berminat disamping faktor bahasa. Ini dapat meningkatkan toleransi selaras dengan inspiriasi 1Malaysia.

Saturday, June 25, 2011

SUIT ( BLAZER ) atau BATIK MALAYSIA ….

Penampilan yang menarik dan kemas dalam acara rasmi akan menggambarkan imej organisasi yang berkenaan serta secara langsung menggambarkan tatarias budaya masyarakat. Sekadar untuk renungan bersama

1. Ilham untuk menaiktaraf batik Malaysia ( batik nasional ) yang dilaksanakan amat dipuji dan perlu diperkukuhkan oleh agensi kerajaan dan kakitangan awam dengan pemakaian baju batik nasional pada setiap hari khamis. Mungkin pemakaian ini boleh diperluaskan lagi dengan perlaksanaan dalam majlis rasmi negara atau menjadikan pakaian rasmi bagi ahli parlimen Malaysia. Ia akan memberi sentuhan budaya yang mendalam disamping menjana pendapatan rakyat. Pakar fesyen tempatan mampu menjana idea untuk menghasilkan rekaan batik terbaik dan eksklusif disamping pasti selesa dengan cuaca panas iklim negera kita.

2. Dalam suatu acara rasmi atau majlis yang berprestij, kita sering dipaparkan dengan imej kepimpinan berketrampilan dengan pemakaian suit lengkap. Alangkah baiknya jika kita menukar anjakan lama kepada fenomena baru dengan pemakaian batik nasional dalam acara yang berprestij.  Kadangkala kita terlihat di media, ada kepimpinan luar terutama benua Afrika yang melangkah keluar dari pesawat dengan pakaian rasmi yang melambangkan budaya dan identiti. Mungkin kita juga boleh memperkukuhkan warisan budaya dengan batik nasional yang diterima oleh semua warga negara pelbagai kaum bagi menggantikan penampilan suit mewah ala-barat bagi meningkatkan hasrat untuk melahirkan bangsa berbudaya beridentiti dan berketrampilan.

Thursday, June 23, 2011

KEDAI 1Malaysia atau PENURUNAN HARGA

1. Suatu kejayaan yang patut disambut baik oleh semua dengan pelancaran Kedai 1Malaysia di lokasi terpilih yang menawarkan pilihan harga barangan yang berkualiti dan murah. Semoga ia akan berkekalan dan diperluaskan ke seluruh negara kerana rakyat berpendapatan rendah juga berada di seluruh negara. Mungkin boleh diperluaskan melalui pengendalian oleh koperasi desa, JKKK atau agensi yang berkaitan.

2. Jika Kedai 1Malaysia dapat menawarkan barangan pengguna dengan harga yang lebih murah tetapi dalam kuanliti yang sama ( jika benar ) walaupun jenama berbeza. Mungkin ini menunjukkan bahawa pihak pengeluar dan peruncit boleh menurunkan semua harga barangan pengguna. Dengan penurunan harga ini pasti rakyat akan lebih berterima kasih dan manafaatnya dinikmati secara menyeluruh.

Monday, June 20, 2011

ANUGERAH KECEMERLANGAN SHELL 2011 : Setiap Pelajar Ada Potensi…

Tahniah kepada penerima Anugerah Kecemerlangan Shell 2011 bagi Zon Sabah. Walaupun saban tahun pihak SHELL MALAYSIA telah menyempurnakan penajaan Biasiswa dan Dermasiswa SHELL kepada pelajar yang berjaya dalam bidang akademik. Apa yang paling mengharukan apabila tiga orang pelajar OKU dari Sabah berjaya menerima Anugerah Kecemerlangan Shell 2011. Antara yang sempat disapa seorang pelajar OKU bernama Mohd Amirul Asraff dari SMK Madai merupakan penerima Anugerah Biasiswa Shell 2011. Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi – Biologi untuk satu tahun. Pencapaian ini seharusnya menjadi inspirasi kepada semua pelajar yang lebih bertuah untuk meraih kejayaan. Jika Amirul Asraff mampu meraih kejayaan cemerlang… pelajar lain pasti ada potensi untuk digilap.

Friday, June 17, 2011

PARLIMEN BELIA vs FORUM BELIA

Terkini media membicarakan penubuhan parlimen belia yang memberikan satu kejayaan dalam perubahan menjana idea. Idea ini disambut baik oleh pelbagai pihak terutama golongan belia. Dalam beberapa perbincangan dalam media berkisar kepada beberapa kerisauan.

1. Adalah parlimen belia bersedia mengumpul segenap lapisan belia walaupun memiliki fahaman politik yang berbeza. Kebimbangan parlimen belia dipengaruhi oleh stigma politik amat dirisaukan. Namun demikian apakah erti parlimen belia jika masih mengamalkan pemilihan kelompok yang pro kepada pihak tertentu sahaja. Sekiranya perkara ini masih berlaku parlimen belia hanyalah sekadar forum atau perbincangan yang tidak mencerminkan keseluruhan hasrat belia.

2. Penubuhan Parlimen Belia – jika dilaksanakan secara positif, menyeluruh dengan melibatkan semua pihak dan pelbagai fahaman tanpa melakukan penyisihan politikal adalah satu medium asuhan pemimpin yang baik. Sikap keterbukaan dan pendekatan analitikal perlu diamalkan dan mencakupi semua sudut pandangan, saling bersedia membahaskan idea semua pihak dengan pandangan berbeza budaya dan politik. seterusnya menjana idea terbaik hasil gabungan pemikiran pelbagai pihak, ini berteraskan konsep bahawa bukan semua pendekatan kerajaan perlu ditentang dan tidak semua pandangan pembangkang perlu ditolak. Parlimen belia seharusnya dapat menilai secara positif dan analitikal menghasilkan yang terbaik untuk kebaikan semua.

Wednesday, June 15, 2011

ASTRO ke-2 : ANTI MONOPOLI

Semakan harga pakej Astro menjadi liputan utama dalam Berita Terkini. Kebanyakan berpendapat adalah tidak wajar untuk kenaikan harga tersebut. Walaubagaimana pun dari sudut penyedia perkhidmatan kewajaran adalah perlu. Mungkin jalan penyelesaian perlu diambil bagi melindungi pengguna sedia ada terutamanya. Kenaikan harga pakej mungkin memberi isyarat telah tiba masanya kerajaan memberi lesen kepada pembekal ke-dua untuk memberikan saingan yang positif bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan hak pengguna. Mungkin juga mempermudahkan pengeluaran lesen cakera parabola seperti yang pernah dicadangkan lima tahun lepas dilaksanakan. Ini kerana pada masa kini monopoli hanya kepada syarikat tunggal pastinya akan merugikan pengguna. Harapan agar ada penyelesaian demi mencapai hasrat negara untuk menghasilkan rakyat bermaklumat, ini kerana ia perlu untuk semua dan bukan lagi satu kemewahan.

Monday, May 30, 2011

REFLEKSI MULU : KESAMAAN NUSANTARA

Kesempatan yang Allah berikan pada 28 – 30 Mei 2011 perjalanan ke Taman Negara Mulu memberikan pengertian yang membawa kepada beberapa refleksi kesamaan nusantara.

1. Penamaan gua batu kapur yang dikaitkan dengan lagenda tempatan menunjukkan kesamarataan dalam nusantara alam Melayu. Menjelajah ke Taman Negara Mulu, Sarawak  – aspek penamaan gua yang diberikan iaitu Gua Lang, Gua Angin (  Wind Cave ), Fair Lady Cave ( Gua Puteri ), Garden of Eden ( Gua Taman ) atau yang menggunakan nama binatang dan tokoh ketempatan. Suatu ketika semasa mejelajah gua batu Kapur di Gunung Senyum, Pahang, gua yang ada juga dinamakan dengan nama yang hampir sama. Ini menunjukkan kesamaan nusantara adalah unik kerana secara hakikatnya peneroka kedua-dua gua tersebut tidak mungkin bertemu. Itulah satu keajaiban ilmu yang dikurniakan Illahi.

2. Formasi batu kapur yang ada di Taman Negara Mulu – menunjukkan formasi yang amat unik dan yang paling penting ia tetap terpelihara dengan baik. Satu lagi keindahan ciptaan Allah yang patut dihargai kerana ianya adalah satu anugerah yang dikurniakan kepada alam ini dengan hikmah dan fungsi tersendiri.

Wednesday, May 25, 2011

SBT KOHORT2 : Pencapaian atau Penjenamaan Baru ?

Tahniah kepada 9 buah sekolah menengah yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2. Suatu pencapaian yang membanggakan warga pendidikan selaras dengan inspirasi hari guru : Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. SBT adalah suatu pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam pendidikan. Adalah diharapkan pencapaian SBT akan dapat melebarkan auranya ke sekolah berhampiran untuk menjana kecemerlangan.

Namun masih ada beberapa persoalan dibenak fikiran.

1. SBT yang terpilih menang disaring dari sekolah-sekolah premier atau sekolah berasrama penuh yang pelajar yang sedia terpilih dan telah disaring kualitinya. Pencapaian sekolah kawalan sejak dulu lagi telah menunjukkan kecemerlangan tersendiri dan pengiktirafan sebagai SBT adalah pencapaian yang amat membanggakan dan kesinambungan kecemerlangan. Semoga ia bukan sekadar penjenamaan baru dengan penukaran gelaran sekolah premier atau sekolah kawalan kepada sekolah berprestasi tinggi ( SBT ).

2. Menunggu kelahiran sebuah pencapaian sekolah harian biasa yang berjaya dibentuk, digilap, diasuh, dipimpin oleh kepimpinan berwibawa dan terbilang yang berjaya merubah dari sekolah harian biasa kepada sekolah berprestasi tinggi. Andai ini dapat dilaksanakan dengan penjelmaan sekolah harian biasa dijana menjadi SBT tanpa mengamalkan penyingkiran modal insan – maka ia adalah suatu pencapaian yang pastinya amat dibanggakan dan jika ia menjadi kenyataan, maka terbuktilah suatu transformasi pendidikan telah terhasil.

Bersama kita berusaha dan menyokong ke  arah penghasilan suatu sekolah berprestasi tinggi yang dari sekolah harian biasa dengan tanpa ada penyingkiran pelajar dari sekolah tersebut. Semua modal insan yang ada tanpa mengira asas nilai mulanya dibentuk, digilap, dijana dan ditransformasi menjadi kecemerlangan yang tiada bandingan. MAMPUKAH……?

Monday, May 9, 2011

ALKISAH 2 : KISAH BUKU GEOGRAFI

Kisah kali ini menceritakan kisah seorang pelajar yang berasal dari keluarga yang sederhana, walaupun begitu pelajar ini amat berpotensi dalam pelajaran. Setiap hari dia akan ke sekolah dengan pakaian lusuh dan bekalan makanan setiap hari bagi menggantikan wang saku. Pada suatu ketika, cikgu Hamid meminta semua pelajar dalam 3PD1 membeli buku kerja Geografi yang berharga kira-kira RM5.00 sebuah. Oleh kerana ketidakmampuan keluarga, ditambah lagi dengan saraan yang ramai, pelajar tersebut belum mampu mendapatkan buku tersebut walaupun dalam tempoh sebulan. Namun demikian, atas keperihatian rakan sekelas telah mengambil keputusan untuk memungut derma bagi membolehkan pelajar bernama Amat membeli buku tersebut. Akhirnya dapatlah pelajar itu memiliki sebuah buku kerja Goegrafi seperti yang diminta gurunya. Selaku pelajar yang menghargai atas sumbangan rakan, semua helaian buku terseout dijawab dengan sempurna, tanpa sedikitpun ketinggalan dan kurangnya kesalahan. Memang patut begitu kerana Amat merupakan pelajar yang gigih dan berpotensi walaupun dari keluarga yang sederhana.

Pada suatu hari rakan baik Amat yang bernnama Mamat ingin meminjam buku kerja Geografi tersebut. Dengan rasa murah hati dan menghargai Amat bersedia meminjamkan buku tersebut apatah lagi rakan sekelas yang sama-sama membantu menyumbang untuk dana buku tersebut. Mamat seorang pelajar yang sederhana tetapi baik. Mamat berulang-alik dari sekolah dengan menaiki bot untuk menyemberangi Sungai Pahang ke kampungnya. Apabila keesokan harinya, apabila bertemu di sekolah, Mamat ingin mengembalikan buku kepada Amat, tetapi setelah dicari-cari tidak dijumpai, barulah Mamat tersedar rupanya buku Geografi tersebut tertinggal di dalam bot semasa perjalanan balik. Amat sangat susah hati kerana buku tersebut merupakan buku kerja matapelajaran kegemarannya disamping hasil usaha bersama rakan-rakan untuk mendapatkan buku tersebut.

Atas rasa bersalah dan risau, apabila pulang Amat telah bergegas ke pengkalan bot bersama Mamat untuk mencari buku tersebut dalam bot yang tertinggal. Setelah sampai ke pengkalan bot dan berjumpa dengan tuan punya bot bertanyakan buku tersebut. Namun tidak dapat ditemui kerana tuan bot telah membuangnya bersama sampah-sampah lain di tempat longgokan sampah. Dengan tergesa-gesa dalam cuaca hujan renyai Amat tetap pergi mencari kembali buku tersebut di kawasan tong sampah. Syukurlah kerana hari hujan dan sampah tidak dpaat dibakar. Akhirnya buku kerja Geografi tersebut ditemui kembali walaupun keadaan agak basah. Rasa bersyukur dan amat gembira dengan usaha tersebut, buku tersebut terus dibawa pulang. Amat pulang dengan senang hati dan terasa puas kerana hasil pemberian rakan-rakan telah kembali kepadanya dan yang utama bukannya hilang sebuah buku tetapi isi ilmu dan nilai persahabatan.

Nota : Selamat Hari Guru kepada semua guru yang telah mendidik dengan penuh ketabahan.

JEJAK GURU BERINTEGRITI

Refleksi pengalaman tokoh terkemuka guru berintegriti berdasarkan sorotan pengalaman tokoh guru JUSA C yang telah melakarkan kejayaan cemerlang dalam bidang pendidikan. Menyorot pengalaman tokoh guru berkenaan antaranya Datuk Hj Sa’ari B Hassan, Pn. Hjh Khuzaimah Sulaiman dan Datuk Mary Yap Kain Chaing  dapat dirumuskan tiga ( 3 ) kunci utama seorang pendidik cemerlang ialah :

1. TULUS dan IKHLAS dalam melaksanakan tanggungjawab kepada semua pihak PELAJAR, GURU dan MASYARAKAT kerana KETULUSAN dan KEIKHLASAN akan menjadi ‘magnet’ dalam pengurusan dan ‘haruman’ yang menyegarkan dunia pendidikan.

2. GIGIH dan BERANI dalam melaksanakan PERUBAHAN yang ingin dicapai dengan HASRAT yang DIKONGSI BERSAMA akan menjadi segenap lapisan akan menyumbang ke arah kejayaan yang diimpikan. Setiap PERUBAHAN pasti akan mengundang CABARAN dan kemampuan menyerap cabaran adalah tanda KEGIGIHAN yang sejati.

3. GURU SURI TELADAN. Ungkapan GURU akan menjadi contoh teladan dalam semua aspek amat memberikan kesan yang mendalam kerana ia adalah satu AMANAH yang berat. Dalam “menyerap dan melengkap” diri menjadi seorang GURU SURI TELADAN memerlukan ketulusan jiwa yang sepenuhnya menghayati “PRINSIP dan ROH SEORANG PENDIDIK TULEN”.

Mungkinkah dari refleksi tersebut kita dapat memenuhi atau memiliki ketiga-tiga kunci tersebut dalam melahirkan pendidik yang bertranformasi. Cuma satu yang terlintas dan belum dapat ditemui, mampukah mana-mana sekolah yang merangkul status cemerlang dan terbilang dengan tanpa ada seorang pun anak murid yang disingkirkan dari sekolah tersebut, iaitu keseluruhan pelajar di sekolah tersebut dididik dan diasuh sehingga menjadi insan yang menyumbang dengan kebolehannya.

Wednesday, May 4, 2011

ALKISAH 1 : TEKNIK MEROKOK

Suatu hari seorang guru A mengajar kelas yang terhujung berkenaan tajuk pencemaran udara.  Dalam sesi pengajaran guru A, seorang pelajar bernama J bertanya “ adakah merokok juga mencemarkan alam sekitar”? Lantas jawab guru A “ benarlah sebab asap yang dikeluarkan mengandungi toksik dan racun maka berhentilah merokok”. Dalam pada itu pelajar bernama K pula bertanya, “ cikgu, masalahnya kami tak dapat nak berhenti merokok. Bolehkan cikgu terangkan bagaimana cara merokok yang tidak mencemarkan alam sekitar”. Sekadar untuk melayani pertanyaan pelajar kelas terhujung cikgu A bertanya kembali “ Apakah yang menyebabkan pencemaran bagi seorang perokok". Jelas pelajar H pencemaran disebabkan oleh puntung rokok dan asap rokok.

Dengan penuh keyakinan guru A menjelaskan teknik merokok yang tidak mencemarkan alam sekitar. “ Jika kamu ingin merokok, rokok jangan dibakar sebab tidak dibakar tidak ada asap yang mencemarkan alam sekitar, jika perlu dibakar juga pastikan kamu merokok dengan keadaan kepala dibalut dengan plastik sampah yang diikat dileher dan merokoklah dalam plastik itu kerana asap tidak akan terbebas dan bila telah habis merokok puntungnya dibuang terus ke plastik sampah”

Lalu pelajar S mencelah “logik juga teknik yang cikgu ajar tapi matilah kami lemas kerana asap rokok”. Dengan tersenyum sini guru A menjawab “itulah teknik merokok yang tidak mencemarkan alam dan tidak merbahayakan orang lain”. lalu beredar dari kelas itu. Manakala pelajar bertanya satu sama lain logik teknik yang diajar kerana saban hari guru A menyarankan walaupun pelajar kelas terhujung tidak pandai tetapi perlu logik dan bijak.

Sunday, May 1, 2011

SELAMAT HARI GURU….

16 Mei bakal menjelang dan kini telah 40 tahun sambutan Hari Guru diraikan untuk memartabatkan golongan pendidik di negara kita. Tahniah dan syabas kepada semua yang bergelar cikgu dan pendidik  yang telah bertungkus lumus dalam membina modal insan negara. Golongan pendidik merupakan golongan yang menyumbang secara diam tanpa gah dan glamor, pelbagai dugaan dan cabaran serta isu yang melingkari golongan ini untuk memacu ke arah lebih cemerlang. Tahniah atas kejayaan semua yang berjaya menjadi pendidik yang unggul dan bukan sekadar seorang guru…..

Sunday, April 17, 2011

INDEKS BMI PELAJAR

Pelajar obesiti berpunca dari amalan pemakanan yang tidak betul oleh ahli keluarga demikian. Pemantauan terhadap hidangan di kantin sekolah memang wajar agar kantin menyediakan makanan berkhasiat selaras kehendak kesihatan. Pengukuran indeks BMI pelajar pasti menjadi satu lagi senario yang memberi tugas tambahan kepada seorang guru. Persoalan cara pemakanan kurang berkhasiat ini seharusnya tindak bersepadu seharusnya dicapai:

1.Pemantauan kantin dan amalan makanan di sekolah hanya memberi pendidikan dan kesedaran serta kawalan sementara pelajar di sekolah, sedangkan pemakanan mereka selepas luar sekolah tidak dikawal. Tanggungjawab tidak seharusnya dibebankan dibahu pendidik sahaja.

2. Tindakan bersepadu antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan dan Pengguna agar makanan yang dipasarkan dipantau dari segi khasiatnya – kandungan gula, garam dan sebagainya. Mungkin tindakan pengharaman dan kawalan dari pasaran lebih berkesan dalam menghasilkan warga yang sihat. Harga makanan rencam yang murah menjadikan kegemaran golongan kanak-kanak termasuk pelajar. Seharusnya harga makanan sedemikian tinggi berbanding harga makanan berkhasiat misalnya harga minuman berkarbonat seharusnya lebih tinggi berbanding harga susu UHT.

3. Pemantauan oleh pihak KKM dalam memberi kelulusan pengeluaran makanan untuk warga negara perlu lebih ketat dan tegas agar pihak  pengeluar dapat mengeluarkan makanan yang berkhasiat bukan semata keuntungan.

Friday, April 15, 2011

PEMBELAJARAN MAYA

Segenap pelusuk negara rancak dengan program pengagihan netbook 1Malaysia dan pakej langganan jalur lebar kepada pelajar sekolah. Hasrat kerajaan untuk merealisasikan akses digtial dan internet kepada semua pelajar memang dialukan. Oleh yang demikian sebagai pengisian kepada capaian internet ini, pihak KPM seharusnya mengambil inisiatif untuk menyelaraskan pengisian kandungan pendidikan di alam maya. penggunaan laman blog, laman sosial dan interaktif perlu dipergiatkan agar kandungan akademik dimuatturun sepenuhnya seperti buku teks versi digital atau e-book dan laman pembelajaran intrektif . Program pendidikan maya haruslah dilaksanakan agar netbook 1Malaysia dan akses internet ini dimanafaatkan oleh pelajar sebagai medium untuk meningkatkan pembelajaran dan bukan sekadar menjadi ‘ruang lepak’ yang baru bagi pelajar. Prasarana telah tersedia hanya menunggu pengisiannya sahaja

Friday, April 8, 2011

DUA ISU : GURU PUKUL PELAJAR dan PELAJAR PUKUL GURU

Minggu ini media memaparkan dua isu pendidikan yang masih berulang. Pertamanya guru dikatakan memukul pelajar yang dikatakan mencuri sehingga menyebabkan kematian. Keduanya – pelajar menumbuk guru sehingga patah hidung. Apa yang perlu direnung dan difikirkan …

1. Hasrat guru mendidik pelajar sehingga menyebabkan melampau batas dan mendatangkan kecederaan memang diakui silap dan dipapar sensasi media sehingga mendapat perhatian dan komentar menteri berkaitan. Memang ada kesilapan dalam tindakan dan sering kali mendapat perhatian.

2. Insiden pelajar menumbuk guru semasa cuba membawa pelajar ke bilik  disiplin juga mendapat liputan media cuma sekilas, komentar pihak atasan dan suara pembelaan terhadap guru agak senyap. Peranan ibu bapa dan penjaga juga amat penting dalam membentuk sikap anak-anak

3. Rumusan kedua insiden berkenaan adalah gambaran bahawa cabaran pendidik masa kini amat berat. Kedua-dua situasi menunjukkan hasrat dan niat murni seorang guru ingin mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar dari terus melakukan kesilapan dan melakukan perbuatan yang melanggar disiplin. Kedua situasi adalah tanda guru yang prihatin dan ingin membetulkan kesilapan dan perlakuan pelajar – itulah tugas cabaran guru masa kini…

Thursday, March 31, 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

logo hari guru“ Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” – tema Hari Guru Tahun 2011 semestinya dihayati oleh semua warga guru / pendidik. Sejarah membuktikan bahawa guru / pendidik bukan sahaja telah mentransformasi pendidikan tetapi mampu melaksanakan transformasi kepada negara seperti zaman pra kemerdekaan. Sebelum mengupas transformasi yang global, sedikit kita merenung kepada transformasi peringkat asas yang memghasilkan impak yang berkesan…..

1.  Transformasi melihat kejayaan pendidikan bukannya dari hanya ukuran angka dan peratusan dalam pencapaian peperiksaan awam – bilangan A  atau 100% lulus. Kejayaan yang bersepadu dengan melihat dari semua aspek dalam diri anak didik yang digilap potensinya. Mampukah institusi sekolah / pendidikan melahirkan pencapaian terbaik tanpa perlu melakukan tindakan penyingkiran pelajar yang ‘berkeranah’ dari sekolah yang berkenaan itulah kejayaan yang sebenarnya.

2. Transformasi perubahan lanskap dan solusi kepada isu yang telah lama dan berulang-ulang sering disebut oleh pemikir pendidik, kesatuan guru atau media antaranya isu nisbah guru per pelajar dalam kelas, guru yang memainkan peranan sebagai insan berkemahiran pelbagai ( multiskill ) kerana guru juga sebagai jurulatih sukan, warden, kerani, tukang kebun, mengajar di kelas, pegawai kebajikan, pengawal, skim gaji guru dan kenaikan pangkat kepada guru yang seharusnya diberi perhatian dan sebagainya masih berlegar dalam lanskap dunia pendidikan. Transformasi menuntut guru menjadi fokus kepada urusan pengajaran dan peningkatan profesionalisme.

3. Transformasi pendidikan dengan menyerap segala elemen moden terutama ICT dan jaringan sosial – blog, facebook, twitter sebagai salah satu medium penyampaian ilmu dan interaktif antara guru pelajar disamping tidak meminggirkan elemen tradisional yang diakui terbukti dan melengkapi proses penyampaian ilmu dan mendidik anak bangsa.

Harapan yang utama agar transformasi pendidikan negara memberikan impak yang berkesan dan berkekalan bukannya hanya slogan yang selari dengan senario semasa….

Wednesday, March 23, 2011

PENCAPAIAN SPM : TAHNIAH KEPADA GURU, PELAJAR & IBU BAPA

Pengumuman  keputusan SPM 2010 oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata keputusan tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.  Bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009. Tahniah kepada semua pihak – guru, staff sekolah, pelajar , ibu bapa dan masyarakat kerana semuanya menyumbang kepada kejayaan ini. Media pasti memaparkan kejayaan yang terbaik dari tahun ke tahun.

Apa yang perlu direnungkan……

1. Bagi pelajar yang berjaya dengan cemerlang pasti masa hadapan yang gemilang bakal diraih setelah meneruskan perjalanan akademik yang panjang dan ke tahap selanjutnya.  Namun demikian bagi pelajar yang kurang cemerlang, usah rasa putus asa kerana masa hadapan pasti akan ada selagi berusaha. Kejayaan sebenarnya ialah bagaimana kemampuan pelajar dapat menyesuaikan diri dan merebut peluang dalam kehidupan kerana ada pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM tetapi mampu jadi jutawaan dan ada juga yang berjaya dalam SPM atau menara gading masih gagal mendapat kerjaya tetap.

2. Erti kejayaan sebenarnya bagi guru ialah apabila kelompok pelajar ‘nyawa ikan’ telah mengucapkan TERIMA KASIH CIKGU  kerana LULUS disamping kelompok pelajar yang ‘bersinar’ menunjukkan sinarnya tetapi mereka jarang mengungkapkan ‘terima kasih’ . Kejayaan sebenarnya apabila mereka dapat berbakti kepada keluarga dan negara kelak.

Usaha dan gandingan bersama pasti akan meraih kejayaan yang dikongsi bersama…………

Monday, March 21, 2011

Bertemu Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad

Suatu petang pada 16.03.2011 ketika bersantai di Pekan Rabu, Alor Setar… buat pertama kali dalam sejarah dapat bertemu dan berjabat tangan dengan tokoh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, walaupun hanya bersembang sekadar 2-3 minit tetapi pengalaman yang amat berharga buat rakyat biasa yang bukan ahli politik. Detik kenangan itu merupakan pengalaman berharga. Komitmen Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pembangunan Pekan Rabu dari pemimpin biasa , PM dan bekas PM tetap menghargai dan mengambil peluang mengingati nostalgia penting dalam kehidupannya seharus menjadi contoh kepada kita bak pepapah Melayu “ tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain”.

Sunday, March 6, 2011

INSPIRASI DARI KEJAYAAN SK ULU LUBAI

Paparan Majalah 3 TV3 mengenai kejayaan SK Ulu Lubai, Sarawak meraih ganjaran dalam  Tawaran Baru untuk warga pendidik mengajak kita berfikir dan fokus kembali kepada tugas utama kita sebagai pendidik. Antara inspirasi dari kejayaan itu :

1. Peranan besar Pentadbir Sekolah dan kerjasam guru serta warga sekolah yang sepenuh hati menyumbang bakti tanpa jemu dan berkira amatlah penting dalam dunia pendidikan. Kini telah sedikit terhakis sifat sedia berbakti tanpa berkira  berbanding dengan guru-guru dahulu yang bersedia melaksanakan apa juga untuk pelajarnya.

2. Gandingan dan sokongan masyarakat setempat khusunya PIBG akan memberikan semangat yang membara untuk guru melaksanakan apa yang terbaik untuk anak didiknya. Kerjasama yang erat antara masyarakat dan sekolah akan lebih memberi impak dan kejayaan yang lebih gemilang. Sikap sering menyalahkan guru atau membesarkan kelemahan ( memang diakui ada kelemahan dalam diri pendidik kerana ia manusia biasa juga ) pendidik atau tekanan keterlaluan atau beban tugas bukan pengajaran  akan melumpuhkan semangat membara dalam hati guru.

3. Kajian telah membuktikan bilangan pelajar yang kecil dalam kelas akan menjadikan guru lebih fokus kepada tugas pengajaran. Jika SK Ulu Lubai dengan muridnya yang sedikit  lebih mudah difokuskan dan diberi tumpuan membolehkan kejayaan tercapai. Kita harus kembali memfokuskan kepada perjuangan dan hasrat agar nisbah pelajar per guru adalah relevan. Dengan adanya pelajar sekitar 20 – 25 pelajar per kelas pengajaran akan lebih berfokus.

4. Mungkin tiba masanya meluaskan ganjaran selain kepada 10 – 15% sekolah yang berjaya mencapai hasrat tawaran baru tetapi melebarkan kepada kelompok pertengahan. Perkiraan kadar elaun Pengetua / Guru Besar / Penolong Kanan seharusnya mengambil kira bilangan pelajar di bawah pengurusannya. Jika kini kadar elaun sama rasa bagi pentadbir di sekolah kurang murid ( 150 pelajar ) dengan pentadbir di sekolah lebihan murid ( 1800 pelajar ) yang pasti bebannya lebih besar. Semakin ramai staff dan pelajar semakin kompleks dan berat tanggungjawab pentadbir.

5. Hasrat melaksanakan idea sekolah satu sesi perlu disemarakkan kerana masih banyak sekolah dua sesi masa kini. Ia akan mengukuhkan lagi sistem pendidikan negara dan tuntuntan pelbagai program pendidikan masa kini.

Sunday, February 27, 2011

REFORMASI MEDIA : Kejujuran….

Dunia hari ini disajikan dengan berita sensasi dari media multi-medium – cetak atau elektronik.  Namun sejauh mana media memaparkan maklumat yang benar-benar jujur dan berkecenderungan kepada mana-mana pihak dan bebas secara tulen.

1.  Pergolakan rantau Timur Tengah – Mesir, Tunisia, Libya memaparkan pelbagai analisis dan komtar media. Kita mendapat gambar dari media yang pasti condong kepada mana-mana pihak yang disokong. Kita hanya mendapat saluran daripada orang tengah iaitu media antarabangsa. Sumber yang telah disadurkan dengan sokongan tertentu.

2.  Pilihanraya dan media sering menjadi kaitan rapat sama ada parti kerajaan atau pembangkang.  Media pro-kerajaan atau pro-pembangkang pasti melaporkan apa yang menguntungkan kelompok yang disokong bukannya maklumat yang telus dan tulen. Hanya yang berada di lokasi itu sahaja yang boleh memberi penilaian tapi semua pihak tidak suka pembohongan dan kepalsuan.  Bilakah senario ini akan berubah…..

Thursday, February 17, 2011

GURU : AGEN PERUBAHAN

Tahniah diucapkan kepada sekolah yang tercalon sebagai SBT ( Sekolah Berprestasi Tinggi ). Ini menunjukkan bahawa peranan guru sebagai agen membawa perubahan menunjukkan impaknya. Keupayaan terserlah bagi semua SBT sama ada di bandar atau luar bandar seperti SK Ulu Lubai, Sarawak dengan pencapaian tersendiri. Itu merupakan suatu kejayaan kepada semua golongan pendidik khususnya. Idea yang gemilang mampu melonjakkan kecemerlangan.  Namun demikian, kita semakin sepi dengan satu hasrat besar yang dipopularkan beberapa tahun lepas – ke arah sekolah satu sesi. Sehingga kini masih belum terurai persoalan tersebut. Belum lagi mengambil kira hasil kajian NUTP terhadap beban tugas guru, nisbah antara guru dan murid dalam kelas untuk mencapai keberkesanan tugas. Walaupun kejayaan SBT diakui membanggakan tetapi kita perlu ingat majoriti modal insan masih berada di sekolah kategori biasa yang perlu dilonjakkan juga. Menyorot kepada lipatan sejarah, kelompok guru merupakan agen perubahan yang meniupkan semangat untuk mencapai kemerdekaan – ia terbukti dengan ketokohan pendidik era SITC ( Sultan Idris Training Center ) yang kini dinaiktaraf kepada UPSI.  Apa juga yang berkaitan dengan sekolah ( guru ) akan menjadi perhatian semua lapisan dan merentasi semua inspirasi politik. Dari kisah cuti sakit guru jadi bahan politik di PRK Tenang, hingga terkini di media memaparkan guru diarah menghadiri majlis perasmian – tidak pasti benar atau tomahan. Apa yang nyata apa juga program yang diadakan pastinya melibatkan guru – pelajar. Bilangan terbesar yang menjayakan sambutan utama negara – Kemerdekaan, Perarakan, perasmian sukan dan sebagainya pasti akan mengerah ( secara patriotik , sukarela, paksa rela atau apa juga ) tenaga pelajar dan guru. Tanpa mereka pastinya program yang meriah jadi hambar. Itulah segalanya peranan guru yang menyeluruh. Jadi secara rasionalnya ada kewajaran kalau kenaikan RM500 gaji guru seperti manifesto parti tertentu. Apa yang utama guru merupakan kelompok kakitangan awam yang terbesar di negara kita… …. Usahlah takut melabur untuk meningkatkan kecekapan kelompok terbesar ini kerana impaknya pasti merangsang kecemerlangan negara juga…..

Tuesday, February 15, 2011

BUDAYA LAMA DIBERI NAFAS BARU

Zaman telah berubah namun terdapat budaya yang masih belum berubah tetapi diberi nafas baru.

1. Duduk bersembang sambil minum secawan kopi di kedai selalunya hobi yang selalu ketara dan dikatakan merugikan masa kerana membuang masa atau melepak. Budaya ini telah berlaku berzaman dahulu, pada zaman itu hanya itulah media yang ada untuk mendapatkan berita terkini dan perkembangan masa. Kini budaya sembang kedai kopi diberi nafas baru dengan sembang alam maya. Kalau sembang kedai kopi – baca akhbar, main dam, carom dan sebagainya. Dalam nafas baru sembang alam maya – media internet, laman sosial – facebook, twitter, blog dan permainan alam maya. Jika dihalusi dinilai kita haruslah bijak agar masa yang diluangkan sama ada di kedai kopi atau alam maya memberikan manafaat yang besar disamping mengeratkan silaratulrahim.

2. Ingat zaman kanak-kanak seperti lagu M Nasir – anak kecil bermain “perang” dengan menggunakan senapang kayu dengan peluru terung. Pasti semua dapat mengimbau kenangan zaman kanak-kanak tersebut dan menjadi permainan yang popular bagi anak lelaki terutama di desa. Permainan itu memang menarik dan memupuk semangat berpasukan. Kini ia diberi nafas baru yang menjadi kegemaran masa kini – PaintBall. Rentak permainan hampir sama cuma diberi nafas, peralatan, gelanggang baru yang tidak mampu dimainkan oleh anak-anak di kampung.

Semoga dalam perkembangan era teknologi ini, dapat kita menyerap budaya yang sedia ada dihidupkan semula dengan acuan baru. Agar permainan tradisional tidak hilang ditelan zaman mungkin boleh ditukar rupa permainan digital.

Monday, February 14, 2011

KUCHING : KEBERSIHAN BANDAR

Dalam kunjungan ke Bandaraya Kuching pada 2006, 2009, 2010 dan  2011 ( telah hampir 4 kali ) , apa yang amat menyentuh dan menarik hari ialah tahap kebersihan Bandaraya Kuching. Dari kawasan tarikan awam – menyusuri jalan-jalan di Waterfront hingga ke gerai makan di Kg Gersik – amat menarik dan yang utama bersih. Aspek kebersihan seolah-olah telah mejadi nadi budaya bagi bandaraya tersebut. Tahap kebersihan bandaraya amat membanggakan – pasti ini semua hasil penglibatan dan sumbangan semua pihak dan segenap lapisan. Jarang sekali kalau kita berjalan-jalan ke kawasan gerai makan awam yang terbuka, tahap kebersihan amat baik dan  membanggakan. Jika kita berjalan di sekitar Chow Kit atau Jalan Masjid India di Kuala  Lumpur, kawasan gerai awam, tahap kebersihan masih kurang memuaskan kecualilah kawasan yang agak mewah. Begitu juga bandar kecil seperti Bau walaupun bandar kecil tetapi kebersihanya amat membanggakan.  Ini menjadikan ia bandaraya yang istimewa.  Mampukah bandaraya lain di Malaysia mengikutinya.

Monday, February 7, 2011

FENOMENA PELAJAR LELAKI

Sekilas untuk menilai situasi di mana-mana institusi pendidikan masa kini semuanya pasti memikirkan femomena pelajar lelaki:

1. Nisbah lelaki dan perempuan dalam institusi pendidikan masa kini amat jauh jurangnya. Adalah benar pelajar lelaki kurang bijak? Apakah sistem pendidikan masa kini hanya memenuhi ‘kehendak’ atau ‘naluri’ gaya pembelajaran pelajar perempuan di mana kecemerlangan hanya diukur dari angka dan nilai “A”.  Sesuatu yang mencabar dan memenuhi ‘gaya pembelajaran pelajar lelaki’ perlu dicari untuk mengatasi demografi pendidikan hari ini.

2. Sebilangan pelajar masa kini masih mempunyai budaya malu untuk “kehadapan” dan budaya biarlah orang lain yang lebih maju. Mengapa peluang yang terbentang luas bukannya diri sendiri yang rebut bukannya orang lain.

Demografi nisbah antara jantina dalam semua bidang perlu diseimbangkan kembali ….

Saturday, February 5, 2011

PERJALANAN KOTA KINABALU - MIRI

Inspirasi Perjalanan Darat dari Kota Kinabalu – Miri pada 2 – 5 Februari 2011

1.  Kelancaran perjalanan ketara apabila jambatan di Temburong memberi keselesaan perjalanan. Mungkin sebahagian dari projek Lebuhraya TransBorneo . Mungkin perlunya tindakan segera untuk kelancaran perjalanan dari Papar – Sindumin yang seharusnya jalan diperbesarkan untuk keselesaan umum memandangkan ia merupakan laluan utama dari KK-Brunei-Miri. Gambaran perjalanan belum banyak berubah sejak 2008.

2. Keindahan Taman Awam Miri yang dilengkapi dengan jambatan gantung dan kemudahan rekreasi yang mengekalkan kehijauan alam semula jadi.  Setanding dengan kemudahan terkini di Kota Kinabalu – Perdana Park yang mempamerkan air pancutan berirama. Intipati kita semua perlu rehat dan rekreasi untuk kecergasan dan kecerdasan diri.

3. Semasa di Brunei apa yang menarik perhatian selain daripada kecanggihan jalanraya dan harga petrol yang agak rendah, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu khususnya tulisan jawi amat membanggakan. Semua papan tanda gedung membeli belah utama didahului dengan Bahasa Melayu dengan tulisan jawi. ini mungkin boleh dipraktikkan dalam usaha kita merealisasikan hasrat MBMMBI.

Friday, January 28, 2011

KOMPUTER 1Malaysia

Masa kini pasti ramai pelajar sekolah yang bergembira kerana bakal menerima netbook 1Malaysia. adalah diakui bahawa pemberian netbook 1Malaysia ini ada manafaat yang baik kepada pelajar dalam mendedahkan kepada teknologi dan maklumat. Apa yang dirisaukan apabila dimaklumkan mengenai netbook 1Malaysia… pada fikiran dan terluah oleh kata-kata pelajar facebook. Jika itu menjadi keutamaan…. terlalu banyak peranan yang harus dimainkan oleh guru untuk mendidik pelajar dalam penggunaan internet yang berilmu dan berwawasan.

Jika Singapura membekalkan IPad kepada pelajar yang didalamnya dimuatkan dengan keseluruhan bahan bacaan dan rujukan. Alangkah moleknya jika netbook 1Malaysia yang bakal dan telah pelajar terima dimuat-turun bersama dengan buku teks digital, koleksi latihan, soalan UPSR, PMR, SPM, STPM  dan pelbagai bahan rujukan yang memberi manafaat secara langsung terhadap kurikulum… bukan sekadar membekalkan netbook yang masing ‘kosong’ pengisiannya…. Semoga generasi bermaklumat akan lebih berilmu dan berwawasan…

Thursday, January 13, 2011

Klinik 1 Malaysia

Tahniah atas idea pembukaan klinik 1 Malaysia di seluruh negara. Walaupun dengan bayaran RM1 rakyat dapat mendapat rawatan asas untuk kesihatan. Dengan kemudahan fizikal yang lengkap seolah-olah sebuah klinik swasta,  akses kemudahan kesihatan dapat dicapai oleh rakyat khususnya luar bandar tetapi lebih sempurna jika Klinik 1 Malaysia turut juga dilengkapi dengan seorang doktor yang bertugas selain Pembantu Perubatan. Bukan apa sayang kemudahan yang serba lengkap belum sempurna rasanya tanpa kehadiran doktor bertugas doktor.. Mungkin kehadiran doktor secara berkala lebih memberikan kepuasan kepada rakyat.

Wednesday, January 12, 2011

KSSR

Perlaksanaan KSSR tahun 2011 merupakan era perubahan baru dalam dunia pendidikan. Merenung kembali perlaksanaan KBSR / KBSM sedekad lalu, sejauh manakah penghayatannya. Segala kabus dalam perlaksanaan KSSR perlu diterangi agar penghayatan lebih "menyerap" dalam gaya pengajaran dan pembelajaran bukannya sekadar perubahan istilah....