Showing posts with label CERITA MOTIVASI. Show all posts
Showing posts with label CERITA MOTIVASI. Show all posts

Saturday, November 10, 2012

LALUAN KEPADA SAINGAN

Adakalanya kita akan berusaha gigih untuk mengalahkan saingan kita walau apa cara sekali pun. Jarang sekali kita dengan orang yang sanggup memberi laluan kepada saingan kita apabila mengetahui ia lebih memerlukannya. Ini satu kisah yang mungkin menyentih hati kita bersama. Dalam acara larian jogathon yang dianjurkan oleh sebuah sekolah luar bandar menawarkan hadiah utama untuk pemenang ialah sebuah basikal. Bagi seorang pelajar luar bandar apatah lagi pelajar lelaki yang masih bersekolah rendah, hadiah basikal merupakan hadiah yang diidamkan oleh semua pihak. Dalam larian tersebut pelajar ini bersaing hebat dengan saingannya dari awal hingga ke akhir larian, mereka saling kejar mengejar dalam kedudukan tempat pertama dan kedua silih berganti sehingga ke garisan penamat.

Apabila hampir ke garisan penamat memang ketara ia sengaja memberi peluang kepada saingannya mendahului lalu dinobatkan sebagai pemenang yang bakal mendapat hadial basikal tersebut. Setelah ditanya selepas akhir larian kenapa pelajar ini memberikan laluan kepada saingannya. Ringkas pelajar ini menjelaskan “ saya tahu dia ( saingannya ) amat perlukan basikal tersebut dan dia tidak mampu membelinya, saya sudah ada basikal sendiri jadi saya ingin beri basikal tersebut kepadanya sebab itulah saya bagi peluang dia menang”.

Kisah ini pasti ada pengajarannya – kesanggupan melepaskan kemenangan kepada saingan yang hebat kerana sedar bahawa saingan tersebut amat memerlukannya walaupun dia sendiri boleh memonopoli hadiah sekiranya mahu. Apakah kita sanggup berbuat demikian terutama dalam pentas perniagaan.

Friday, October 5, 2012

ALKISAH 3 : DENDA YANG DIKEMBALIKAN…

Terkenang suatu ketika dahulu semasa mata pelajaran Fizik semasa Tingkatan 4 di sekolah menengah,  suatu peristiwa yang menunjukkan minat terhadap pelajaran oleh kumpulan pelajar. Pengajaran pada hari itu mengenai tajuk “momentum” salah satu tajuk utama dalam mata pelajaran fizik. Semasa pengajaran tersebut pelajar akan menjalankan eksperimen dengan menggunakan troli dengan pita detik untuk mengkaji perlanggaran troli. Setelah melaksanakan eksperimen yang diarahkan oleh guru mengikut buku amali yang disarankan, seorang pelajar meminta kebenaran guru untuk mengulangi eksperimen dengan mengkaji perlanggaran dari pelbagai sudut dan keadaan. Ketika itu kumpulan pelajar berkenaan mencuba dengan menggunakan troli dengan pelbagai teknik perlanggaran dari sudut-sudut yang berlainan dan dengan jisim yang berlainan. Oleh kerana eksperimen dilaksanakan dengan penuh terkawal tanpa kebisingan melampau, guru tidaklah menghalang sehingga apabila pada akhir kelas setelah diminta mengembalikan alat radas kepada pembantu makmal bertugas. Ketika itu barulah guru Fizik  menyedari bahawakumpulan pelajar ini telah menggunakan hampir dua gulung besar pita detik dalam eksperimen tersebut, apabila menyedari perkara tersebut lalu kami semua dipanggil dan lalu dikenakan denda membayar kos yang pita detik Terpaksalah semua pelajar dalam kelas berkongsi untuk mengganti pita detik yang dibazirkan. Pada hari berikutnya ketika wakil pelajar tersebut ingin menyerahkan kutipan wang gantian dan telah melaksanakan denda , ketika itu tiba-tiba  seorang pelajar yang menghantar lampiran yang hampir setebal 10 helai kertas yang diletakkan keratan pita detik tersebut dan lengkap dengan pengiraan mengikut formula momentum yang telah diajarkan oleh guru bersama denda tersebut. Melihat keadaan tersebut, guru berkenaan dengan gaya selamba telah mengambil lembaran latihan tersebut dan meninggalkan wang kutipan denda di meja makmal lalu beredar dari kelas tersebut sambil berkata “jangan buat lagi…”. Peristiwa ini memberikan mesej bahawa seorang guru sebenarnya mementingkan hasil pembelajaran dan kesediaan pelajar memahami ilmu yang sedang diajar berbanding nilaian wang .

Monday, May 9, 2011

ALKISAH 2 : KISAH BUKU GEOGRAFI

Kisah kali ini menceritakan kisah seorang pelajar yang berasal dari keluarga yang sederhana, walaupun begitu pelajar ini amat berpotensi dalam pelajaran. Setiap hari dia akan ke sekolah dengan pakaian lusuh dan bekalan makanan setiap hari bagi menggantikan wang saku. Pada suatu ketika, cikgu Hamid meminta semua pelajar dalam 3PD1 membeli buku kerja Geografi yang berharga kira-kira RM5.00 sebuah. Oleh kerana ketidakmampuan keluarga, ditambah lagi dengan saraan yang ramai, pelajar tersebut belum mampu mendapatkan buku tersebut walaupun dalam tempoh sebulan. Namun demikian, atas keperihatian rakan sekelas telah mengambil keputusan untuk memungut derma bagi membolehkan pelajar bernama Amat membeli buku tersebut. Akhirnya dapatlah pelajar itu memiliki sebuah buku kerja Goegrafi seperti yang diminta gurunya. Selaku pelajar yang menghargai atas sumbangan rakan, semua helaian buku terseout dijawab dengan sempurna, tanpa sedikitpun ketinggalan dan kurangnya kesalahan. Memang patut begitu kerana Amat merupakan pelajar yang gigih dan berpotensi walaupun dari keluarga yang sederhana.

Pada suatu hari rakan baik Amat yang bernnama Mamat ingin meminjam buku kerja Geografi tersebut. Dengan rasa murah hati dan menghargai Amat bersedia meminjamkan buku tersebut apatah lagi rakan sekelas yang sama-sama membantu menyumbang untuk dana buku tersebut. Mamat seorang pelajar yang sederhana tetapi baik. Mamat berulang-alik dari sekolah dengan menaiki bot untuk menyemberangi Sungai Pahang ke kampungnya. Apabila keesokan harinya, apabila bertemu di sekolah, Mamat ingin mengembalikan buku kepada Amat, tetapi setelah dicari-cari tidak dijumpai, barulah Mamat tersedar rupanya buku Geografi tersebut tertinggal di dalam bot semasa perjalanan balik. Amat sangat susah hati kerana buku tersebut merupakan buku kerja matapelajaran kegemarannya disamping hasil usaha bersama rakan-rakan untuk mendapatkan buku tersebut.

Atas rasa bersalah dan risau, apabila pulang Amat telah bergegas ke pengkalan bot bersama Mamat untuk mencari buku tersebut dalam bot yang tertinggal. Setelah sampai ke pengkalan bot dan berjumpa dengan tuan punya bot bertanyakan buku tersebut. Namun tidak dapat ditemui kerana tuan bot telah membuangnya bersama sampah-sampah lain di tempat longgokan sampah. Dengan tergesa-gesa dalam cuaca hujan renyai Amat tetap pergi mencari kembali buku tersebut di kawasan tong sampah. Syukurlah kerana hari hujan dan sampah tidak dpaat dibakar. Akhirnya buku kerja Geografi tersebut ditemui kembali walaupun keadaan agak basah. Rasa bersyukur dan amat gembira dengan usaha tersebut, buku tersebut terus dibawa pulang. Amat pulang dengan senang hati dan terasa puas kerana hasil pemberian rakan-rakan telah kembali kepadanya dan yang utama bukannya hilang sebuah buku tetapi isi ilmu dan nilai persahabatan.

Nota : Selamat Hari Guru kepada semua guru yang telah mendidik dengan penuh ketabahan.

Wednesday, May 4, 2011

ALKISAH 1 : TEKNIK MEROKOK

Suatu hari seorang guru A mengajar kelas yang terhujung berkenaan tajuk pencemaran udara.  Dalam sesi pengajaran guru A, seorang pelajar bernama J bertanya “ adakah merokok juga mencemarkan alam sekitar”? Lantas jawab guru A “ benarlah sebab asap yang dikeluarkan mengandungi toksik dan racun maka berhentilah merokok”. Dalam pada itu pelajar bernama K pula bertanya, “ cikgu, masalahnya kami tak dapat nak berhenti merokok. Bolehkan cikgu terangkan bagaimana cara merokok yang tidak mencemarkan alam sekitar”. Sekadar untuk melayani pertanyaan pelajar kelas terhujung cikgu A bertanya kembali “ Apakah yang menyebabkan pencemaran bagi seorang perokok". Jelas pelajar H pencemaran disebabkan oleh puntung rokok dan asap rokok.

Dengan penuh keyakinan guru A menjelaskan teknik merokok yang tidak mencemarkan alam sekitar. “ Jika kamu ingin merokok, rokok jangan dibakar sebab tidak dibakar tidak ada asap yang mencemarkan alam sekitar, jika perlu dibakar juga pastikan kamu merokok dengan keadaan kepala dibalut dengan plastik sampah yang diikat dileher dan merokoklah dalam plastik itu kerana asap tidak akan terbebas dan bila telah habis merokok puntungnya dibuang terus ke plastik sampah”

Lalu pelajar S mencelah “logik juga teknik yang cikgu ajar tapi matilah kami lemas kerana asap rokok”. Dengan tersenyum sini guru A menjawab “itulah teknik merokok yang tidak mencemarkan alam dan tidak merbahayakan orang lain”. lalu beredar dari kelas itu. Manakala pelajar bertanya satu sama lain logik teknik yang diajar kerana saban hari guru A menyarankan walaupun pelajar kelas terhujung tidak pandai tetapi perlu logik dan bijak.