Menyusuri jalan berliku ke Puncak Gunung Jerai memberi pengajaran bagaimana alim ulama telah sampai ke sini. Menyusuri kisah jejak Islam pertama di nusantara, Sheikh Abdullah dari Yaman yang dikhabarkan telah mengislamkan Merong Mahawangsa raja pertama Kedah yang memeluk Islam. Beberapa tinggalan yang dikaitkan dengan kisah tersebut dapat dilihat hingga kini antaranya Telaga Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh dan Batu Shaf yang berada di Puncak Gunung Jerai. Ketenangan dan suasana hening syahdu memberikan rasa kusyuk jika beribadah di sini. Semoga para pengkaji akan dapat menyelongkar kisah ini untuk panduan generasi akan datang.
Friday, December 7, 2012
Tuesday, October 4, 2011
BELANJAWAN DAN DIRI KITA.
Suatu ketika dahulu, ketika kali pertama menerima gaji pertama sebagai elaun guru ganti dengan bayaran sekadar RM800.00 sahaja. Mungkin tahun 1990an ketika itu banyak perkara dapat dilunaskan seperti membeli buku untuk meneruskan pengajian dan sebagainya. Agihan mencukupi untuk perbelanjaan ketika itu bahkan masih tersimpan untuk kegunaan bila kembali ke universiti selepas cuti semester. Ketika itu belum ada tuntutan bil ultiliti seperti telefon, telefon bimbit, internet dan sebagainya. Cukup sekadar tambang perjalanan – minyak motorsikal dan keperluan utama. Kini keadaan telah banyak berubah, jika kita melihat graduan yang baru bertugas sebagai pendidik pun mencapai gaji menghampiri RM2000.00 termasuk elaun. Namun demikian mungkin gaya masa kini dengan kecanggihan – telefon bimbit berpakej jalur lebar, komputer dan ultiliti yang lain, kita mendengar ada ada antara graduan baru merasakan pendapatan kurang mencukupi untuk keperluan kehidupan. Selain daripada itu mungkin mereka juga telah terikat dengan PTPTN yang perlu dilunaskan berbanding dahulu pinjaman diubah kepada biasiswa setelah lulus pengajian ataupun jika ada bayaran hanyalah sekadar 25% dari keseluruhan dari pinjaman. Bersama kita merenungi kembali apakah keperluan masa kini atau kehendak masa kini. Dulu mereka yang baru bertugas akan bermula dengan membeli motorsikal sebagai kenderaan ke tempat kerja tetapi kini tidak lagi begitu. Bersama kita berfikir dan mengurus belanjawan kita.
Tuesday, August 30, 2011
MERDEKA RAYA..
Selamat menyambut Aidilfitri dan Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54. Syawal dirai dan Merdeka dihayati.
1. Menyorot kepada program media elektronik tentang sambutan Aidilfitri – masih seperti dahulu hanya berteraskan hiburan dan keseronokan. Hanya beberapa slot sahaja yang menyayangkan hiburan, tayangan yang berunsurkan pengajaran. Dengan semangat merdeka semoga suatu masa nanti sambutan syawal berteraskan pengajaran selari dengan kehendak Islam.
2. Merdeka ke-54 hendaklah dihayati dengan penuh keinsafan dan berasaskan fakta bukan berlandaskan persepsi sahaja. Adalah terlalu tidak wajar jika ada ada pihak yang menafikan peranan Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam menuntut kemerdekaan walaupun dengan pendekatan yang berbeza iaitu dengan diplomasi bukan kekerasan. Namun demikian kita juga harus tidak menafikan secara buta tuli atas peranan generasi lepas yang menentang pemerintahan kerajaan British di Tanah Melayu sama ada penentangan terus kepada pihak British atau proksi pihak British. HAKIKATnya adalah gandingan kebangkitan pejuang kemerdekaan yang menentang British secara berterusan sama ada secara persenjataan dan kebijaksanaan diplomasi pemimpin masa itu melahirkan sinergi Kemerdekaan – itulah sebenarnya gabungan kedua-dua faktor kebijaksanaan diplomasi dan tekanan pejuang telah melahirkan KEMERDEKAAN.
Monday, August 22, 2011
BAJU MELAYU dan RAYA : Perlu menyerap kemodenan.
Aidilfitri menjelang tiba, semua pasti sibuk mencari pakaian baru untuk sambutan aidilfitri. Bagi kaum lelaki mulalah sibuk mencari baju Melayu untuk dipakai semasa hari raya. Alangkah baik kerana tradisi lama masih dikekalkan sehingga zaman berzaman hingga kini. Dalam pencarian baju Melayu ada beberapa persoalan yang perlu difikirkan agar rekaan baju Melayu menyerap unsur kemodenan dengan kehendak semasa.
1. Kebanyakan baju Melayu dipasangkan dengan seluar yang menggunakan getah tanpa tali pinggang dan poket belakang. Kita semua mengetahui kebanyakan kaum lelaki, pastinya menggunakan poket belakang untuk menyimpan dokumen penting. Seharusnya rekaan fesyen baju Melayu menyerap perubahan agar poket belakang disediakan untuk memudahkan penggunanya. Adalah tidak wajar untuk meletakkan dokumen atau dompet di kenderaan apabila kita bertandang – aspek keselamatan perlu dipertimbangkan.
2. Mungkin tiba masaya pakar rekaan memberi nafas baru kepada rekaan baju Melayu agar dapat memenuhi keperluan pemodenan masa kini – bagaimana menyesuaikan diri dengan penggunaan poket belakang untuk meletakkan dompet atau mereka bentuk yang sesuai untuk menyimpan alat komunikasi masa kini. Sukarnya untuk mencari rekaan baju Melayu dengan rekaan seluar poket belakang kalau ingin dibeli jenis siap dijahit.
Semoga ada pencetus rekaan agar busana kebanggaan kita akan terus menyerap kemodenan dan mampu merentasi zaman bak kata pepatah tak lapuk dek hujan…..
Monday, March 21, 2011
Bertemu Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad
Suatu petang pada 16.03.2011 ketika bersantai di Pekan Rabu, Alor Setar… buat pertama kali dalam sejarah dapat bertemu dan berjabat tangan dengan tokoh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, walaupun hanya bersembang sekadar 2-3 minit tetapi pengalaman yang amat berharga buat rakyat biasa yang bukan ahli politik. Detik kenangan itu merupakan pengalaman berharga. Komitmen Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pembangunan Pekan Rabu dari pemimpin biasa , PM dan bekas PM tetap menghargai dan mengambil peluang mengingati nostalgia penting dalam kehidupannya seharus menjadi contoh kepada kita bak pepapah Melayu “ tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain”.
Monday, February 14, 2011
KUCHING : KEBERSIHAN BANDAR
Dalam kunjungan ke Bandaraya Kuching pada 2006, 2009, 2010 dan 2011 ( telah hampir 4 kali ) , apa yang amat menyentuh dan menarik hari ialah tahap kebersihan Bandaraya Kuching. Dari kawasan tarikan awam – menyusuri jalan-jalan di Waterfront hingga ke gerai makan di Kg Gersik – amat menarik dan yang utama bersih. Aspek kebersihan seolah-olah telah mejadi nadi budaya bagi bandaraya tersebut. Tahap kebersihan bandaraya amat membanggakan – pasti ini semua hasil penglibatan dan sumbangan semua pihak dan segenap lapisan. Jarang sekali kalau kita berjalan-jalan ke kawasan gerai makan awam yang terbuka, tahap kebersihan amat baik dan membanggakan. Jika kita berjalan di sekitar Chow Kit atau Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, kawasan gerai awam, tahap kebersihan masih kurang memuaskan kecualilah kawasan yang agak mewah. Begitu juga bandar kecil seperti Bau walaupun bandar kecil tetapi kebersihanya amat membanggakan. Ini menjadikan ia bandaraya yang istimewa. Mampukah bandaraya lain di Malaysia mengikutinya.
Saturday, February 5, 2011
PERJALANAN KOTA KINABALU - MIRI
Inspirasi Perjalanan Darat dari Kota Kinabalu – Miri pada 2 – 5 Februari 2011
1. Kelancaran perjalanan ketara apabila jambatan di Temburong memberi keselesaan perjalanan. Mungkin sebahagian dari projek Lebuhraya TransBorneo . Mungkin perlunya tindakan segera untuk kelancaran perjalanan dari Papar – Sindumin yang seharusnya jalan diperbesarkan untuk keselesaan umum memandangkan ia merupakan laluan utama dari KK-Brunei-Miri. Gambaran perjalanan belum banyak berubah sejak 2008.
2. Keindahan Taman Awam Miri yang dilengkapi dengan jambatan gantung dan kemudahan rekreasi yang mengekalkan kehijauan alam semula jadi. Setanding dengan kemudahan terkini di Kota Kinabalu – Perdana Park yang mempamerkan air pancutan berirama. Intipati kita semua perlu rehat dan rekreasi untuk kecergasan dan kecerdasan diri.
3. Semasa di Brunei apa yang menarik perhatian selain daripada kecanggihan jalanraya dan harga petrol yang agak rendah, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu khususnya tulisan jawi amat membanggakan. Semua papan tanda gedung membeli belah utama didahului dengan Bahasa Melayu dengan tulisan jawi. ini mungkin boleh dipraktikkan dalam usaha kita merealisasikan hasrat MBMMBI.