Showing posts with label Idea Pendidik. Show all posts
Showing posts with label Idea Pendidik. Show all posts

Saturday, May 2, 2015

MERENUNGI SEORANG GURU

03 Mei 2015 kini genap 20 melalui perjuangan sebagai seorang guru. Dari guru baru hinggalah kini mungkin sebagai guru kanan atau rujukan rakan setugas. Namun demikian bersamalah kita bermuhasabah untuk keberkatan bersama ;
1. Kebanyakan kita menghitung peratusan atau bilangan pelajar yang berjaya mencapai gred terbaik dalam pelajaran diajari. Namun sesekali kita renungi berapa yang gagal dalam akademik tetapi kita dapat membentuk akhlaknya... siapa yang menyapa kita dijalanan?
2. Setelah melalui ketiga aspek pengurusan kurikulum, ko-kurikulum dan hal ehwal murid, dapat merasakan perbezaan tuntutannya.
3. Kurikulum mudah diurus kerana kebanyakan sedar tugas hakiki, namun tuntutan kecemerlangan amat mencabar dengan adanya GPS, KPI  dan 'new deal' agak sedikit mencalar tradisi ilmu apabila penawaran hanya kepada yang dijamin cemerlang.
4. Ko-kurikulum menarik minat pelajar dan guru yang memang teruja dalam bidang itu. Pengorbanan masa dan kewangan guru untuk melihat kejayaan dan pingat sememangnya sering dipinggirkan. Pelajar juga amat teruja mencipta kejayaan yang membina jati diri, namun sedikit perlu difikirkan agar dapat membimbing selaras tuntutan agama dalam kesukanan dan unsur hiburan.
5. Pengurusan disiplin dan sahsiah tidak dapat diukur dengan GPS atau pingat. Perubahan sikap yang ingin dicapai amat subjektif. Kecenderungan publisiti kepada kepincangan merupakan cabaran. Ini menjadikan ramai guru 'mengelak' terlibat dalam pengurusan disiplin dan hal ehwal murid. Penyingkiran pelajar ada kalanya menimbulkan rasa kebersalahan. Namun dapat guru melihat anak didik dengan penuh keinginan untuk dibentuk dari dicemuh atas kenakalannya. Inilah dugaan Allah kepada guru, agar tabah mendidik dengan ikhlas hati tanpa kebencian walaupun anak didik ponteng berkali namun guru memujuknya berjuta kali kerana telah tersurat batu yang keras dilembutkan titisan air tetapi persoalanya air yang bagaimana....

Thursday, October 6, 2011

SYARAT KELAYAKAN CALON SEKOLAH

Selaras dengan perlaksanaan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saban tahun pasti ada isu atau insiden pelajar ‘dinafikan hak’ menduduki peperiksaan tersebut. Serangan media pun berlaku dan pelbagai tindakan serta pandangan akan hangat diperbincangkan. Mungkin dengan merenungi sejenak, kita dapat memahami situasi ini dan mencari cara terbaik mengatasinya:

1.  Mungkin pihak sekolah berpendapat ada sebilangan calon peperiksaan yang hanya hadir ke sekolah pada awal bulan sahaja dan selepas mendaftar terus menghilangkan diri dari sekolah. Setelah pelbagai tindakan diambil mengikut lunas sedia ada, jika pelajar tersebut muncul pada hari peperiksaan – mereka tetap akan menduduki peperiksaan dan hasilnya mungkin akan mengecewakan pihak sekolah yang ‘dikejar’ dengan kehendak pencapaian sempurna.

2. Andainya kita dapat melaksanakan sistem syarat kelayakan calon peperiksaan dengan memberi syarat kehadiran misalnya 80% untuk melayakkan ia kekal sebagai calon sekolah. Ini akan menimbulkan keadilan kepada pihak sekolah, jika pelajar yang sentiasa hadir ke sekolah – berusaha dan berdisiplin , pasti tidak sepatutnya dinafikan hak sebagai calon sekolah. Seandainya kehadiran pelajar amat lemah dan suka ponteng, setelah tindakan mengikut peraturan sedia ada dilaksanakan, pihak sekolah seharusnya boleh dibenarkan untuk menukar status calon dari calon sekolah ke calon persendirian, pelajar masih boleh menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan kehendak pencapaian sekolah.

3. Syarat kelayakan calon peperiksaan misalnya mensyaratkan menpunyai jumlah kehadiran yang mencukupi misalnya 80% ke atas untuk layak sebagai calon sekolah amat baik. Ia akan memberi kesan positif kepada pelajar yang perlu bertanggungjawab untuk hadir ke sekolah dan pihak sekolah tidak akan menerima kesan dari calon ‘tengelam timbul’. Sistem ini diamalkan oleh kebanyakan pusat pengajian tinggi dan mungkin boleh diaplikasi di sekolah. Pertukaran status calon dari calon sekolah ke calon persendirian bagi memberi peluang kepada pelajar yang tersebut untuk mendapat ‘peluang dan hak’ menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan sasaran pihak sekolah. Ini memberi keadilan kepada pelajar dan pihak sekolah yang seringkali ‘terhimpit’ dengan kehendak peningkatan peratus peperiksaan.

Mungkin kita perlu menilai dan mentaksir kembali tanggapan masyarakat kejayaan dalam peperiksaan adalah suatu keagongan tetapi kita perlu ingat kegagalan dalam peperiksaan bukanlah penamat kepada kehidupan.  Dengan penambahbaikan dasar dan proses sedia akan pasti akan menghasilkan jalinan terbaik yang seiring antara pihak sekolah, guru, ibu bapa penjaga dan pelajar yang pasti akan mencetus kecemerlangan bersama.