Showing posts with label Education. Show all posts
Showing posts with label Education. Show all posts

Saturday, October 20, 2012

PILIHAN TUGAS GURU

Andainya  sebagai seorang guru selain tugas hakiki melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, apakah bidang yang akan menjadi pilihan anda atau kecenderungan anda.

Secara kebiasaannya ada 3 bidang utama dalam tugas seorang guru di sekolah iaitu :

i. Bidang Kurikulum – pengurusan pengajaran dan hasilnya boleh dilihat secara berkala dalam tempoh 3 atau 2 tahun melalui pencapaian peperiksaan awam khususnya.

ii. Bidang Ko-Kurikulum – seringkali memerlukan pengorbanan masa di luar waktu bertugas rasmi tetapi hasilnya dapat dilihat dalam tempoh jangka pendek dengan pencapaian dalam kejohanan / pingat.

iii. Bidang Hal Ehwal Pelajar – melibatkan proses pembentukan sahsiah pelajar, hanya yang tabah dan penuh cabaran, hasilnya mungkin hanya dapat dilihat apabila pelajar telah meninggalkan alam persekolahan dan tiada pengukuran kuantitatif. Kejayaan pasti sukar diukur dan dinilai dengan mudah.

Wednesday, September 19, 2012

TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Menjelang 2013 anjakan perdana dalam arus pendidikan akan memberikan impak yang besar dalam perkembangan pendidikan negara pada masa akan datang.  Adakah golongan pelaksana dapat menjalankan implimentasi dengan sebaiknya demi kejayaan bersama. Mungkinkah halangan lama masih membelenggu transformasi. Bersama menghayati 11 anjakan utama dalam transformasi pendidikan.

11 anjakan pendidikan

Friday, November 18, 2011

SEMANGAT MEMBARA RM100 DIIRINGI PENCAPAIAN CEMERLANG 2012

TAHNIAH dan terima kasih atas bantuan RM100 bagi keperluan persekolahan 2012. Semoga sekolah menyaksikan pelajar dan ibu bapa penjaga bersemangat menerima bantuan tersebut dengan datang awal pagi ke sekolah. Semoga semangat itu dikekalkan dan ditunjukkan semasa masuk ke sekolah hari pertama 2012 dengan kelengkapan penuh dan dijelmakan dalam pencapaian akademik seterusnya. Mungkin satu kajian boleh dibuat untuk mengkali aliran perbelanjaan RM100 agar menepati dengan tujuan agihannya atau pun kajian sosiologi mengapakah semasa agihan bantuan kehadiran 100% tetapi semasa penyerahan keputusan peperiksaan atau pelaporan disiplin atau mesyuarat PIBG sasaran kehadiran sukar dicapai? Fikirkan bersama ! Didiklah bersama !

Saturday, November 12, 2011

GMP–PAGE : Pendidikan makin keliru

Perjuangan Gerakan Mansuh PPSMI ( GMP ) yang bertahun dengan sokongan pelbagai kini hanya baru mencapai ‘bau bacang’ hasilnya dan kelihatan dipinggirkan media perdana. Perjuangan PAGE yang baru bertapak ‘nampak berjaya’ melambatkan pemansuhan PPSMI. Semua bergerak atas alasan kepentingan pelajar – benarkah? Mungkin lebih relevan kalau dinyatakan sebenarnya perjuangan golongan yang senang berbahasa Melayu dengan golongan ‘lidah Melayu yang keras’ untuk bertutur bahasa sendiri. Mungkinkah ia akan melahirkan senario pendidikan zaman pra-kemerdekaan iaitu persekolahan dua aliran untuk pengajaran Sains dan Matematik. Segalanya makin menjadikan kekeliruan dan bagi seorang guru akhirnya apa yang ditanya bukanlah berapa peratus pengajaran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, cuma berapa peratus yang LULUS, berapa peratus A, berapa peratus peningkatan matapelajaran. Jika diingat zaman dulu ilmuan akan menterjemah karya apa juga bahasa kepada bahasa tempatan agar ilmu disebarluaskan kepada rakyat. Apakah ini hasil doktrin pendidikan yang menyanjung tinggi kelulusan luar negara atau kita belum cukup berani untuk bertutur Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita.

Thursday, October 13, 2011

BERTUAHNYA PELAJAR KINI…

Rezeki yang dikurniakan perlu disyukuri. Menjadi pelajar hari ini bertuah dengan pelbagai kemudahan dan akses kepada sumber ilmu. Namun demikian mungkin sebab terlalu mudah ada sikap kurang bersyukur dikalangan mereka. Jika 20 tahun lalu untuk mendapatkan buku Koleksi Kertas Peperiksaan Sebenar Peperiksaan Awam amatlah sukar. Pelajar yang berjaya mendapatkannya ibarat mendapat ‘senjata rahsia’ untuk peperiksaan. Namun kini akses kepada latihan dan soalan percubaan semua negeri boleh dicapai dihujung cari, cuma sayangnya semasa pengajaran dengan guru, pelajar seringkali ‘terlupa’ membawa bahan tersebut. Sekoga sikap ini perlu dikikis agar menjadi pelajar yang lebih berdikari dan menghargai. Kini tertanya-tanya apakah ganjaran RM100.00 yang bakal diterima pelajar nanti akan menjana ilmu atau mengalir ke syarikat telekomunikasi dengan dihabiskan membeli top-up kad.. Syukurilah nikmat ini dengan menimba selautan ilmu…

Monday, June 20, 2011

ANUGERAH KECEMERLANGAN SHELL 2011 : Setiap Pelajar Ada Potensi…

Tahniah kepada penerima Anugerah Kecemerlangan Shell 2011 bagi Zon Sabah. Walaupun saban tahun pihak SHELL MALAYSIA telah menyempurnakan penajaan Biasiswa dan Dermasiswa SHELL kepada pelajar yang berjaya dalam bidang akademik. Apa yang paling mengharukan apabila tiga orang pelajar OKU dari Sabah berjaya menerima Anugerah Kecemerlangan Shell 2011. Antara yang sempat disapa seorang pelajar OKU bernama Mohd Amirul Asraff dari SMK Madai merupakan penerima Anugerah Biasiswa Shell 2011. Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi – Biologi untuk satu tahun. Pencapaian ini seharusnya menjadi inspirasi kepada semua pelajar yang lebih bertuah untuk meraih kejayaan. Jika Amirul Asraff mampu meraih kejayaan cemerlang… pelajar lain pasti ada potensi untuk digilap.

Wednesday, May 25, 2011

SBT KOHORT2 : Pencapaian atau Penjenamaan Baru ?

Tahniah kepada 9 buah sekolah menengah yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2. Suatu pencapaian yang membanggakan warga pendidikan selaras dengan inspirasi hari guru : Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. SBT adalah suatu pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam pendidikan. Adalah diharapkan pencapaian SBT akan dapat melebarkan auranya ke sekolah berhampiran untuk menjana kecemerlangan.

Namun masih ada beberapa persoalan dibenak fikiran.

1. SBT yang terpilih menang disaring dari sekolah-sekolah premier atau sekolah berasrama penuh yang pelajar yang sedia terpilih dan telah disaring kualitinya. Pencapaian sekolah kawalan sejak dulu lagi telah menunjukkan kecemerlangan tersendiri dan pengiktirafan sebagai SBT adalah pencapaian yang amat membanggakan dan kesinambungan kecemerlangan. Semoga ia bukan sekadar penjenamaan baru dengan penukaran gelaran sekolah premier atau sekolah kawalan kepada sekolah berprestasi tinggi ( SBT ).

2. Menunggu kelahiran sebuah pencapaian sekolah harian biasa yang berjaya dibentuk, digilap, diasuh, dipimpin oleh kepimpinan berwibawa dan terbilang yang berjaya merubah dari sekolah harian biasa kepada sekolah berprestasi tinggi. Andai ini dapat dilaksanakan dengan penjelmaan sekolah harian biasa dijana menjadi SBT tanpa mengamalkan penyingkiran modal insan – maka ia adalah suatu pencapaian yang pastinya amat dibanggakan dan jika ia menjadi kenyataan, maka terbuktilah suatu transformasi pendidikan telah terhasil.

Bersama kita berusaha dan menyokong ke  arah penghasilan suatu sekolah berprestasi tinggi yang dari sekolah harian biasa dengan tanpa ada penyingkiran pelajar dari sekolah tersebut. Semua modal insan yang ada tanpa mengira asas nilai mulanya dibentuk, digilap, dijana dan ditransformasi menjadi kecemerlangan yang tiada bandingan. MAMPUKAH……?

Sunday, May 1, 2011

SELAMAT HARI GURU….

16 Mei bakal menjelang dan kini telah 40 tahun sambutan Hari Guru diraikan untuk memartabatkan golongan pendidik di negara kita. Tahniah dan syabas kepada semua yang bergelar cikgu dan pendidik  yang telah bertungkus lumus dalam membina modal insan negara. Golongan pendidik merupakan golongan yang menyumbang secara diam tanpa gah dan glamor, pelbagai dugaan dan cabaran serta isu yang melingkari golongan ini untuk memacu ke arah lebih cemerlang. Tahniah atas kejayaan semua yang berjaya menjadi pendidik yang unggul dan bukan sekadar seorang guru…..

Friday, April 15, 2011

PEMBELAJARAN MAYA

Segenap pelusuk negara rancak dengan program pengagihan netbook 1Malaysia dan pakej langganan jalur lebar kepada pelajar sekolah. Hasrat kerajaan untuk merealisasikan akses digtial dan internet kepada semua pelajar memang dialukan. Oleh yang demikian sebagai pengisian kepada capaian internet ini, pihak KPM seharusnya mengambil inisiatif untuk menyelaraskan pengisian kandungan pendidikan di alam maya. penggunaan laman blog, laman sosial dan interaktif perlu dipergiatkan agar kandungan akademik dimuatturun sepenuhnya seperti buku teks versi digital atau e-book dan laman pembelajaran intrektif . Program pendidikan maya haruslah dilaksanakan agar netbook 1Malaysia dan akses internet ini dimanafaatkan oleh pelajar sebagai medium untuk meningkatkan pembelajaran dan bukan sekadar menjadi ‘ruang lepak’ yang baru bagi pelajar. Prasarana telah tersedia hanya menunggu pengisiannya sahaja

Friday, April 8, 2011

DUA ISU : GURU PUKUL PELAJAR dan PELAJAR PUKUL GURU

Minggu ini media memaparkan dua isu pendidikan yang masih berulang. Pertamanya guru dikatakan memukul pelajar yang dikatakan mencuri sehingga menyebabkan kematian. Keduanya – pelajar menumbuk guru sehingga patah hidung. Apa yang perlu direnung dan difikirkan …

1. Hasrat guru mendidik pelajar sehingga menyebabkan melampau batas dan mendatangkan kecederaan memang diakui silap dan dipapar sensasi media sehingga mendapat perhatian dan komentar menteri berkaitan. Memang ada kesilapan dalam tindakan dan sering kali mendapat perhatian.

2. Insiden pelajar menumbuk guru semasa cuba membawa pelajar ke bilik  disiplin juga mendapat liputan media cuma sekilas, komentar pihak atasan dan suara pembelaan terhadap guru agak senyap. Peranan ibu bapa dan penjaga juga amat penting dalam membentuk sikap anak-anak

3. Rumusan kedua insiden berkenaan adalah gambaran bahawa cabaran pendidik masa kini amat berat. Kedua-dua situasi menunjukkan hasrat dan niat murni seorang guru ingin mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar dari terus melakukan kesilapan dan melakukan perbuatan yang melanggar disiplin. Kedua situasi adalah tanda guru yang prihatin dan ingin membetulkan kesilapan dan perlakuan pelajar – itulah tugas cabaran guru masa kini…

Thursday, March 31, 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

logo hari guru“ Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” – tema Hari Guru Tahun 2011 semestinya dihayati oleh semua warga guru / pendidik. Sejarah membuktikan bahawa guru / pendidik bukan sahaja telah mentransformasi pendidikan tetapi mampu melaksanakan transformasi kepada negara seperti zaman pra kemerdekaan. Sebelum mengupas transformasi yang global, sedikit kita merenung kepada transformasi peringkat asas yang memghasilkan impak yang berkesan…..

1.  Transformasi melihat kejayaan pendidikan bukannya dari hanya ukuran angka dan peratusan dalam pencapaian peperiksaan awam – bilangan A  atau 100% lulus. Kejayaan yang bersepadu dengan melihat dari semua aspek dalam diri anak didik yang digilap potensinya. Mampukah institusi sekolah / pendidikan melahirkan pencapaian terbaik tanpa perlu melakukan tindakan penyingkiran pelajar yang ‘berkeranah’ dari sekolah yang berkenaan itulah kejayaan yang sebenarnya.

2. Transformasi perubahan lanskap dan solusi kepada isu yang telah lama dan berulang-ulang sering disebut oleh pemikir pendidik, kesatuan guru atau media antaranya isu nisbah guru per pelajar dalam kelas, guru yang memainkan peranan sebagai insan berkemahiran pelbagai ( multiskill ) kerana guru juga sebagai jurulatih sukan, warden, kerani, tukang kebun, mengajar di kelas, pegawai kebajikan, pengawal, skim gaji guru dan kenaikan pangkat kepada guru yang seharusnya diberi perhatian dan sebagainya masih berlegar dalam lanskap dunia pendidikan. Transformasi menuntut guru menjadi fokus kepada urusan pengajaran dan peningkatan profesionalisme.

3. Transformasi pendidikan dengan menyerap segala elemen moden terutama ICT dan jaringan sosial – blog, facebook, twitter sebagai salah satu medium penyampaian ilmu dan interaktif antara guru pelajar disamping tidak meminggirkan elemen tradisional yang diakui terbukti dan melengkapi proses penyampaian ilmu dan mendidik anak bangsa.

Harapan yang utama agar transformasi pendidikan negara memberikan impak yang berkesan dan berkekalan bukannya hanya slogan yang selari dengan senario semasa….

Wednesday, March 23, 2011

PENCAPAIAN SPM : TAHNIAH KEPADA GURU, PELAJAR & IBU BAPA

Pengumuman  keputusan SPM 2010 oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata keputusan tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.  Bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009. Tahniah kepada semua pihak – guru, staff sekolah, pelajar , ibu bapa dan masyarakat kerana semuanya menyumbang kepada kejayaan ini. Media pasti memaparkan kejayaan yang terbaik dari tahun ke tahun.

Apa yang perlu direnungkan……

1. Bagi pelajar yang berjaya dengan cemerlang pasti masa hadapan yang gemilang bakal diraih setelah meneruskan perjalanan akademik yang panjang dan ke tahap selanjutnya.  Namun demikian bagi pelajar yang kurang cemerlang, usah rasa putus asa kerana masa hadapan pasti akan ada selagi berusaha. Kejayaan sebenarnya ialah bagaimana kemampuan pelajar dapat menyesuaikan diri dan merebut peluang dalam kehidupan kerana ada pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM tetapi mampu jadi jutawaan dan ada juga yang berjaya dalam SPM atau menara gading masih gagal mendapat kerjaya tetap.

2. Erti kejayaan sebenarnya bagi guru ialah apabila kelompok pelajar ‘nyawa ikan’ telah mengucapkan TERIMA KASIH CIKGU  kerana LULUS disamping kelompok pelajar yang ‘bersinar’ menunjukkan sinarnya tetapi mereka jarang mengungkapkan ‘terima kasih’ . Kejayaan sebenarnya apabila mereka dapat berbakti kepada keluarga dan negara kelak.

Usaha dan gandingan bersama pasti akan meraih kejayaan yang dikongsi bersama…………

Sunday, March 6, 2011

INSPIRASI DARI KEJAYAAN SK ULU LUBAI

Paparan Majalah 3 TV3 mengenai kejayaan SK Ulu Lubai, Sarawak meraih ganjaran dalam  Tawaran Baru untuk warga pendidik mengajak kita berfikir dan fokus kembali kepada tugas utama kita sebagai pendidik. Antara inspirasi dari kejayaan itu :

1. Peranan besar Pentadbir Sekolah dan kerjasam guru serta warga sekolah yang sepenuh hati menyumbang bakti tanpa jemu dan berkira amatlah penting dalam dunia pendidikan. Kini telah sedikit terhakis sifat sedia berbakti tanpa berkira  berbanding dengan guru-guru dahulu yang bersedia melaksanakan apa juga untuk pelajarnya.

2. Gandingan dan sokongan masyarakat setempat khusunya PIBG akan memberikan semangat yang membara untuk guru melaksanakan apa yang terbaik untuk anak didiknya. Kerjasama yang erat antara masyarakat dan sekolah akan lebih memberi impak dan kejayaan yang lebih gemilang. Sikap sering menyalahkan guru atau membesarkan kelemahan ( memang diakui ada kelemahan dalam diri pendidik kerana ia manusia biasa juga ) pendidik atau tekanan keterlaluan atau beban tugas bukan pengajaran  akan melumpuhkan semangat membara dalam hati guru.

3. Kajian telah membuktikan bilangan pelajar yang kecil dalam kelas akan menjadikan guru lebih fokus kepada tugas pengajaran. Jika SK Ulu Lubai dengan muridnya yang sedikit  lebih mudah difokuskan dan diberi tumpuan membolehkan kejayaan tercapai. Kita harus kembali memfokuskan kepada perjuangan dan hasrat agar nisbah pelajar per guru adalah relevan. Dengan adanya pelajar sekitar 20 – 25 pelajar per kelas pengajaran akan lebih berfokus.

4. Mungkin tiba masanya meluaskan ganjaran selain kepada 10 – 15% sekolah yang berjaya mencapai hasrat tawaran baru tetapi melebarkan kepada kelompok pertengahan. Perkiraan kadar elaun Pengetua / Guru Besar / Penolong Kanan seharusnya mengambil kira bilangan pelajar di bawah pengurusannya. Jika kini kadar elaun sama rasa bagi pentadbir di sekolah kurang murid ( 150 pelajar ) dengan pentadbir di sekolah lebihan murid ( 1800 pelajar ) yang pasti bebannya lebih besar. Semakin ramai staff dan pelajar semakin kompleks dan berat tanggungjawab pentadbir.

5. Hasrat melaksanakan idea sekolah satu sesi perlu disemarakkan kerana masih banyak sekolah dua sesi masa kini. Ia akan mengukuhkan lagi sistem pendidikan negara dan tuntuntan pelbagai program pendidikan masa kini.

Thursday, February 17, 2011

GURU : AGEN PERUBAHAN

Tahniah diucapkan kepada sekolah yang tercalon sebagai SBT ( Sekolah Berprestasi Tinggi ). Ini menunjukkan bahawa peranan guru sebagai agen membawa perubahan menunjukkan impaknya. Keupayaan terserlah bagi semua SBT sama ada di bandar atau luar bandar seperti SK Ulu Lubai, Sarawak dengan pencapaian tersendiri. Itu merupakan suatu kejayaan kepada semua golongan pendidik khususnya. Idea yang gemilang mampu melonjakkan kecemerlangan.  Namun demikian, kita semakin sepi dengan satu hasrat besar yang dipopularkan beberapa tahun lepas – ke arah sekolah satu sesi. Sehingga kini masih belum terurai persoalan tersebut. Belum lagi mengambil kira hasil kajian NUTP terhadap beban tugas guru, nisbah antara guru dan murid dalam kelas untuk mencapai keberkesanan tugas. Walaupun kejayaan SBT diakui membanggakan tetapi kita perlu ingat majoriti modal insan masih berada di sekolah kategori biasa yang perlu dilonjakkan juga. Menyorot kepada lipatan sejarah, kelompok guru merupakan agen perubahan yang meniupkan semangat untuk mencapai kemerdekaan – ia terbukti dengan ketokohan pendidik era SITC ( Sultan Idris Training Center ) yang kini dinaiktaraf kepada UPSI.  Apa juga yang berkaitan dengan sekolah ( guru ) akan menjadi perhatian semua lapisan dan merentasi semua inspirasi politik. Dari kisah cuti sakit guru jadi bahan politik di PRK Tenang, hingga terkini di media memaparkan guru diarah menghadiri majlis perasmian – tidak pasti benar atau tomahan. Apa yang nyata apa juga program yang diadakan pastinya melibatkan guru – pelajar. Bilangan terbesar yang menjayakan sambutan utama negara – Kemerdekaan, Perarakan, perasmian sukan dan sebagainya pasti akan mengerah ( secara patriotik , sukarela, paksa rela atau apa juga ) tenaga pelajar dan guru. Tanpa mereka pastinya program yang meriah jadi hambar. Itulah segalanya peranan guru yang menyeluruh. Jadi secara rasionalnya ada kewajaran kalau kenaikan RM500 gaji guru seperti manifesto parti tertentu. Apa yang utama guru merupakan kelompok kakitangan awam yang terbesar di negara kita… …. Usahlah takut melabur untuk meningkatkan kecekapan kelompok terbesar ini kerana impaknya pasti merangsang kecemerlangan negara juga…..

Monday, February 7, 2011

FENOMENA PELAJAR LELAKI

Sekilas untuk menilai situasi di mana-mana institusi pendidikan masa kini semuanya pasti memikirkan femomena pelajar lelaki:

1. Nisbah lelaki dan perempuan dalam institusi pendidikan masa kini amat jauh jurangnya. Adalah benar pelajar lelaki kurang bijak? Apakah sistem pendidikan masa kini hanya memenuhi ‘kehendak’ atau ‘naluri’ gaya pembelajaran pelajar perempuan di mana kecemerlangan hanya diukur dari angka dan nilai “A”.  Sesuatu yang mencabar dan memenuhi ‘gaya pembelajaran pelajar lelaki’ perlu dicari untuk mengatasi demografi pendidikan hari ini.

2. Sebilangan pelajar masa kini masih mempunyai budaya malu untuk “kehadapan” dan budaya biarlah orang lain yang lebih maju. Mengapa peluang yang terbentang luas bukannya diri sendiri yang rebut bukannya orang lain.

Demografi nisbah antara jantina dalam semua bidang perlu diseimbangkan kembali ….

Friday, January 28, 2011

KOMPUTER 1Malaysia

Masa kini pasti ramai pelajar sekolah yang bergembira kerana bakal menerima netbook 1Malaysia. adalah diakui bahawa pemberian netbook 1Malaysia ini ada manafaat yang baik kepada pelajar dalam mendedahkan kepada teknologi dan maklumat. Apa yang dirisaukan apabila dimaklumkan mengenai netbook 1Malaysia… pada fikiran dan terluah oleh kata-kata pelajar facebook. Jika itu menjadi keutamaan…. terlalu banyak peranan yang harus dimainkan oleh guru untuk mendidik pelajar dalam penggunaan internet yang berilmu dan berwawasan.

Jika Singapura membekalkan IPad kepada pelajar yang didalamnya dimuatkan dengan keseluruhan bahan bacaan dan rujukan. Alangkah moleknya jika netbook 1Malaysia yang bakal dan telah pelajar terima dimuat-turun bersama dengan buku teks digital, koleksi latihan, soalan UPSR, PMR, SPM, STPM  dan pelbagai bahan rujukan yang memberi manafaat secara langsung terhadap kurikulum… bukan sekadar membekalkan netbook yang masing ‘kosong’ pengisiannya…. Semoga generasi bermaklumat akan lebih berilmu dan berwawasan…

Wednesday, January 12, 2011

KSSR

Perlaksanaan KSSR tahun 2011 merupakan era perubahan baru dalam dunia pendidikan. Merenung kembali perlaksanaan KBSR / KBSM sedekad lalu, sejauh manakah penghayatannya. Segala kabus dalam perlaksanaan KSSR perlu diterangi agar penghayatan lebih "menyerap" dalam gaya pengajaran dan pembelajaran bukannya sekadar perubahan istilah....