Thursday, October 13, 2011

BERTUAHNYA PELAJAR KINI…

Rezeki yang dikurniakan perlu disyukuri. Menjadi pelajar hari ini bertuah dengan pelbagai kemudahan dan akses kepada sumber ilmu. Namun demikian mungkin sebab terlalu mudah ada sikap kurang bersyukur dikalangan mereka. Jika 20 tahun lalu untuk mendapatkan buku Koleksi Kertas Peperiksaan Sebenar Peperiksaan Awam amatlah sukar. Pelajar yang berjaya mendapatkannya ibarat mendapat ‘senjata rahsia’ untuk peperiksaan. Namun kini akses kepada latihan dan soalan percubaan semua negeri boleh dicapai dihujung cari, cuma sayangnya semasa pengajaran dengan guru, pelajar seringkali ‘terlupa’ membawa bahan tersebut. Sekoga sikap ini perlu dikikis agar menjadi pelajar yang lebih berdikari dan menghargai. Kini tertanya-tanya apakah ganjaran RM100.00 yang bakal diterima pelajar nanti akan menjana ilmu atau mengalir ke syarikat telekomunikasi dengan dihabiskan membeli top-up kad.. Syukurilah nikmat ini dengan menimba selautan ilmu…

Thursday, October 6, 2011

SYARAT KELAYAKAN CALON SEKOLAH

Selaras dengan perlaksanaan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saban tahun pasti ada isu atau insiden pelajar ‘dinafikan hak’ menduduki peperiksaan tersebut. Serangan media pun berlaku dan pelbagai tindakan serta pandangan akan hangat diperbincangkan. Mungkin dengan merenungi sejenak, kita dapat memahami situasi ini dan mencari cara terbaik mengatasinya:

1.  Mungkin pihak sekolah berpendapat ada sebilangan calon peperiksaan yang hanya hadir ke sekolah pada awal bulan sahaja dan selepas mendaftar terus menghilangkan diri dari sekolah. Setelah pelbagai tindakan diambil mengikut lunas sedia ada, jika pelajar tersebut muncul pada hari peperiksaan – mereka tetap akan menduduki peperiksaan dan hasilnya mungkin akan mengecewakan pihak sekolah yang ‘dikejar’ dengan kehendak pencapaian sempurna.

2. Andainya kita dapat melaksanakan sistem syarat kelayakan calon peperiksaan dengan memberi syarat kehadiran misalnya 80% untuk melayakkan ia kekal sebagai calon sekolah. Ini akan menimbulkan keadilan kepada pihak sekolah, jika pelajar yang sentiasa hadir ke sekolah – berusaha dan berdisiplin , pasti tidak sepatutnya dinafikan hak sebagai calon sekolah. Seandainya kehadiran pelajar amat lemah dan suka ponteng, setelah tindakan mengikut peraturan sedia ada dilaksanakan, pihak sekolah seharusnya boleh dibenarkan untuk menukar status calon dari calon sekolah ke calon persendirian, pelajar masih boleh menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan kehendak pencapaian sekolah.

3. Syarat kelayakan calon peperiksaan misalnya mensyaratkan menpunyai jumlah kehadiran yang mencukupi misalnya 80% ke atas untuk layak sebagai calon sekolah amat baik. Ia akan memberi kesan positif kepada pelajar yang perlu bertanggungjawab untuk hadir ke sekolah dan pihak sekolah tidak akan menerima kesan dari calon ‘tengelam timbul’. Sistem ini diamalkan oleh kebanyakan pusat pengajian tinggi dan mungkin boleh diaplikasi di sekolah. Pertukaran status calon dari calon sekolah ke calon persendirian bagi memberi peluang kepada pelajar yang tersebut untuk mendapat ‘peluang dan hak’ menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan sasaran pihak sekolah. Ini memberi keadilan kepada pelajar dan pihak sekolah yang seringkali ‘terhimpit’ dengan kehendak peningkatan peratus peperiksaan.

Mungkin kita perlu menilai dan mentaksir kembali tanggapan masyarakat kejayaan dalam peperiksaan adalah suatu keagongan tetapi kita perlu ingat kegagalan dalam peperiksaan bukanlah penamat kepada kehidupan.  Dengan penambahbaikan dasar dan proses sedia akan pasti akan menghasilkan jalinan terbaik yang seiring antara pihak sekolah, guru, ibu bapa penjaga dan pelajar yang pasti akan mencetus kecemerlangan bersama.

Tuesday, October 4, 2011

BELANJAWAN DAN DIRI KITA.

Suatu ketika dahulu, ketika kali pertama menerima gaji pertama sebagai elaun guru ganti dengan bayaran sekadar RM800.00 sahaja. Mungkin tahun 1990an ketika itu banyak perkara dapat dilunaskan seperti membeli buku untuk meneruskan pengajian dan sebagainya. Agihan mencukupi untuk perbelanjaan ketika itu bahkan masih tersimpan untuk kegunaan bila kembali ke universiti selepas cuti semester. Ketika itu belum ada tuntutan bil ultiliti seperti telefon, telefon bimbit, internet dan sebagainya. Cukup sekadar tambang perjalanan – minyak motorsikal dan keperluan utama. Kini keadaan telah banyak berubah, jika kita melihat graduan yang baru bertugas sebagai pendidik pun mencapai gaji menghampiri RM2000.00 termasuk elaun. Namun demikian mungkin gaya masa kini dengan kecanggihan – telefon bimbit berpakej jalur lebar, komputer dan ultiliti yang lain, kita mendengar ada ada antara graduan baru merasakan pendapatan kurang mencukupi untuk keperluan kehidupan. Selain daripada itu mungkin mereka juga telah terikat dengan PTPTN yang perlu dilunaskan berbanding dahulu pinjaman diubah kepada biasiswa setelah lulus pengajian ataupun jika ada bayaran hanyalah sekadar 25% dari keseluruhan dari pinjaman.  Bersama kita merenungi kembali apakah keperluan masa kini atau kehendak masa kini. Dulu mereka yang baru bertugas akan bermula dengan membeli motorsikal sebagai kenderaan ke tempat kerja tetapi kini tidak lagi begitu. Bersama kita berfikir dan mengurus belanjawan kita.

Thursday, September 29, 2011

HALUAN PASCA PMR

Peperiksaan PMR bakal menjelang tiba dengan dasar kenaikan terus ke tingkatan 4, semua pelajar akan terus naik ke tingkatan empat tanpa mengira tahap prestasi. Mungkin ada baiknya kita merenungi dasar lama tetapi diperbaharui dan diperkemaskan.  Jika dahulu pelajar yang gagal SRP / PMR tidak meneruskan ke persekolahan biasa tingkatan 4. Memang ada kelemahan tetapi dengan memberi peluang mengikut minat pelajar ke aliran kemahiran perlu dipertingkatkan. Ini kerana kebanyakan pelajar yang gagal PMR kurang berminat dengan pengajian akademik. Mungkin syarat minima untuk ke aliran akademik perlu dipertimbangkan.

Tuesday, September 13, 2011

RESTORAN SEAFOOD HALAL : Keperluan Kifayah

Sama cuti yang lepas, puas berputar-putar mencari restoran makanan laut ( seafood ) yang diusahakan oleh pengusaha muslim sekitar Kota Kinabalu atau pun setidaknya mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM. Kita sedar mengetahui sama pelancong tempatan atau rakan niaga yang datang ke Sabah khususnya akan seringkali diraikan di mana-mana restoran terutama restoran seafood yang menjadi tanda niaga negeri ini. Adalah diharapkan akan ada pengusaha muslim untuk melestarikan pengzahiran restoran seafood halal sepenuhnya tanpa terlibat dengan penyajian minuman beralkohol. Harap kemunculannya akan menjadi kenyataan dan tanggungjawab bersama.

Tuesday, August 30, 2011

MERDEKA RAYA..

Selamat menyambut Aidilfitri dan Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54. Syawal dirai dan Merdeka dihayati.

1. Menyorot kepada program media elektronik tentang sambutan Aidilfitri – masih seperti dahulu hanya berteraskan hiburan dan keseronokan. Hanya beberapa slot sahaja yang menyayangkan hiburan, tayangan yang berunsurkan pengajaran. Dengan semangat merdeka semoga suatu masa nanti sambutan syawal berteraskan pengajaran selari dengan kehendak Islam.

2. Merdeka ke-54 hendaklah dihayati dengan penuh keinsafan dan berasaskan fakta bukan berlandaskan persepsi sahaja. Adalah terlalu tidak wajar jika ada ada pihak yang menafikan peranan Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam menuntut kemerdekaan walaupun dengan pendekatan yang berbeza iaitu dengan diplomasi bukan kekerasan. Namun demikian kita juga harus tidak menafikan secara buta tuli atas peranan generasi lepas yang menentang pemerintahan kerajaan British di Tanah Melayu sama ada penentangan terus kepada pihak British atau proksi pihak British. HAKIKATnya adalah gandingan kebangkitan pejuang kemerdekaan yang menentang British secara berterusan sama ada secara persenjataan dan kebijaksanaan diplomasi pemimpin masa itu melahirkan sinergi Kemerdekaan – itulah sebenarnya gabungan kedua-dua faktor kebijaksanaan diplomasi dan tekanan pejuang telah melahirkan KEMERDEKAAN.

Monday, August 22, 2011

BAJU MELAYU dan RAYA : Perlu menyerap kemodenan.

Aidilfitri menjelang tiba, semua pasti sibuk mencari pakaian baru untuk sambutan aidilfitri. Bagi kaum lelaki mulalah sibuk mencari baju Melayu untuk dipakai semasa hari raya. Alangkah baik kerana tradisi lama masih dikekalkan sehingga zaman berzaman hingga kini. Dalam pencarian baju Melayu ada beberapa persoalan yang perlu difikirkan agar rekaan baju Melayu menyerap unsur kemodenan dengan kehendak semasa.

1. Kebanyakan baju Melayu dipasangkan dengan seluar yang menggunakan getah tanpa tali pinggang dan poket belakang. Kita semua mengetahui kebanyakan kaum lelaki, pastinya menggunakan poket belakang untuk menyimpan dokumen penting. Seharusnya rekaan fesyen baju Melayu menyerap perubahan agar poket belakang disediakan untuk memudahkan penggunanya. Adalah tidak wajar untuk meletakkan dokumen atau dompet  di kenderaan apabila kita bertandang – aspek keselamatan perlu dipertimbangkan.

2. Mungkin tiba masaya pakar rekaan memberi nafas baru kepada rekaan baju Melayu agar dapat memenuhi keperluan pemodenan masa kini – bagaimana menyesuaikan diri dengan penggunaan poket belakang untuk meletakkan dompet atau mereka bentuk yang sesuai untuk menyimpan alat komunikasi masa kini. Sukarnya untuk mencari rekaan baju Melayu dengan rekaan seluar poket belakang kalau ingin dibeli jenis siap dijahit.

Semoga ada pencetus rekaan agar busana kebanggaan  kita akan terus menyerap kemodenan dan mampu merentasi zaman bak kata pepatah tak lapuk dek hujan…..