TAHNIAH dan terima kasih atas bantuan RM100 bagi keperluan persekolahan 2012. Semoga sekolah menyaksikan pelajar dan ibu bapa penjaga bersemangat menerima bantuan tersebut dengan datang awal pagi ke sekolah. Semoga semangat itu dikekalkan dan ditunjukkan semasa masuk ke sekolah hari pertama 2012 dengan kelengkapan penuh dan dijelmakan dalam pencapaian akademik seterusnya. Mungkin satu kajian boleh dibuat untuk mengkali aliran perbelanjaan RM100 agar menepati dengan tujuan agihannya atau pun kajian sosiologi mengapakah semasa agihan bantuan kehadiran 100% tetapi semasa penyerahan keputusan peperiksaan atau pelaporan disiplin atau mesyuarat PIBG sasaran kehadiran sukar dicapai? Fikirkan bersama ! Didiklah bersama !
Friday, November 18, 2011
Saturday, November 12, 2011
GMP–PAGE : Pendidikan makin keliru
Perjuangan Gerakan Mansuh PPSMI ( GMP ) yang bertahun dengan sokongan pelbagai kini hanya baru mencapai ‘bau bacang’ hasilnya dan kelihatan dipinggirkan media perdana. Perjuangan PAGE yang baru bertapak ‘nampak berjaya’ melambatkan pemansuhan PPSMI. Semua bergerak atas alasan kepentingan pelajar – benarkah? Mungkin lebih relevan kalau dinyatakan sebenarnya perjuangan golongan yang senang berbahasa Melayu dengan golongan ‘lidah Melayu yang keras’ untuk bertutur bahasa sendiri. Mungkinkah ia akan melahirkan senario pendidikan zaman pra-kemerdekaan iaitu persekolahan dua aliran untuk pengajaran Sains dan Matematik. Segalanya makin menjadikan kekeliruan dan bagi seorang guru akhirnya apa yang ditanya bukanlah berapa peratus pengajaran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, cuma berapa peratus yang LULUS, berapa peratus A, berapa peratus peningkatan matapelajaran. Jika diingat zaman dulu ilmuan akan menterjemah karya apa juga bahasa kepada bahasa tempatan agar ilmu disebarluaskan kepada rakyat. Apakah ini hasil doktrin pendidikan yang menyanjung tinggi kelulusan luar negara atau kita belum cukup berani untuk bertutur Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita.
Thursday, October 13, 2011
BERTUAHNYA PELAJAR KINI…
Rezeki yang dikurniakan perlu disyukuri. Menjadi pelajar hari ini bertuah dengan pelbagai kemudahan dan akses kepada sumber ilmu. Namun demikian mungkin sebab terlalu mudah ada sikap kurang bersyukur dikalangan mereka. Jika 20 tahun lalu untuk mendapatkan buku Koleksi Kertas Peperiksaan Sebenar Peperiksaan Awam amatlah sukar. Pelajar yang berjaya mendapatkannya ibarat mendapat ‘senjata rahsia’ untuk peperiksaan. Namun kini akses kepada latihan dan soalan percubaan semua negeri boleh dicapai dihujung cari, cuma sayangnya semasa pengajaran dengan guru, pelajar seringkali ‘terlupa’ membawa bahan tersebut. Sekoga sikap ini perlu dikikis agar menjadi pelajar yang lebih berdikari dan menghargai. Kini tertanya-tanya apakah ganjaran RM100.00 yang bakal diterima pelajar nanti akan menjana ilmu atau mengalir ke syarikat telekomunikasi dengan dihabiskan membeli top-up kad.. Syukurilah nikmat ini dengan menimba selautan ilmu…
Thursday, October 6, 2011
SYARAT KELAYAKAN CALON SEKOLAH
Selaras dengan perlaksanaan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saban tahun pasti ada isu atau insiden pelajar ‘dinafikan hak’ menduduki peperiksaan tersebut. Serangan media pun berlaku dan pelbagai tindakan serta pandangan akan hangat diperbincangkan. Mungkin dengan merenungi sejenak, kita dapat memahami situasi ini dan mencari cara terbaik mengatasinya:
1. Mungkin pihak sekolah berpendapat ada sebilangan calon peperiksaan yang hanya hadir ke sekolah pada awal bulan sahaja dan selepas mendaftar terus menghilangkan diri dari sekolah. Setelah pelbagai tindakan diambil mengikut lunas sedia ada, jika pelajar tersebut muncul pada hari peperiksaan – mereka tetap akan menduduki peperiksaan dan hasilnya mungkin akan mengecewakan pihak sekolah yang ‘dikejar’ dengan kehendak pencapaian sempurna.
2. Andainya kita dapat melaksanakan sistem syarat kelayakan calon peperiksaan dengan memberi syarat kehadiran misalnya 80% untuk melayakkan ia kekal sebagai calon sekolah. Ini akan menimbulkan keadilan kepada pihak sekolah, jika pelajar yang sentiasa hadir ke sekolah – berusaha dan berdisiplin , pasti tidak sepatutnya dinafikan hak sebagai calon sekolah. Seandainya kehadiran pelajar amat lemah dan suka ponteng, setelah tindakan mengikut peraturan sedia ada dilaksanakan, pihak sekolah seharusnya boleh dibenarkan untuk menukar status calon dari calon sekolah ke calon persendirian, pelajar masih boleh menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan kehendak pencapaian sekolah.
3. Syarat kelayakan calon peperiksaan misalnya mensyaratkan menpunyai jumlah kehadiran yang mencukupi misalnya 80% ke atas untuk layak sebagai calon sekolah amat baik. Ia akan memberi kesan positif kepada pelajar yang perlu bertanggungjawab untuk hadir ke sekolah dan pihak sekolah tidak akan menerima kesan dari calon ‘tengelam timbul’. Sistem ini diamalkan oleh kebanyakan pusat pengajian tinggi dan mungkin boleh diaplikasi di sekolah. Pertukaran status calon dari calon sekolah ke calon persendirian bagi memberi peluang kepada pelajar yang tersebut untuk mendapat ‘peluang dan hak’ menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan sasaran pihak sekolah. Ini memberi keadilan kepada pelajar dan pihak sekolah yang seringkali ‘terhimpit’ dengan kehendak peningkatan peratus peperiksaan.
Mungkin kita perlu menilai dan mentaksir kembali tanggapan masyarakat kejayaan dalam peperiksaan adalah suatu keagongan tetapi kita perlu ingat kegagalan dalam peperiksaan bukanlah penamat kepada kehidupan. Dengan penambahbaikan dasar dan proses sedia akan pasti akan menghasilkan jalinan terbaik yang seiring antara pihak sekolah, guru, ibu bapa penjaga dan pelajar yang pasti akan mencetus kecemerlangan bersama.
Tuesday, October 4, 2011
BELANJAWAN DAN DIRI KITA.
Suatu ketika dahulu, ketika kali pertama menerima gaji pertama sebagai elaun guru ganti dengan bayaran sekadar RM800.00 sahaja. Mungkin tahun 1990an ketika itu banyak perkara dapat dilunaskan seperti membeli buku untuk meneruskan pengajian dan sebagainya. Agihan mencukupi untuk perbelanjaan ketika itu bahkan masih tersimpan untuk kegunaan bila kembali ke universiti selepas cuti semester. Ketika itu belum ada tuntutan bil ultiliti seperti telefon, telefon bimbit, internet dan sebagainya. Cukup sekadar tambang perjalanan – minyak motorsikal dan keperluan utama. Kini keadaan telah banyak berubah, jika kita melihat graduan yang baru bertugas sebagai pendidik pun mencapai gaji menghampiri RM2000.00 termasuk elaun. Namun demikian mungkin gaya masa kini dengan kecanggihan – telefon bimbit berpakej jalur lebar, komputer dan ultiliti yang lain, kita mendengar ada ada antara graduan baru merasakan pendapatan kurang mencukupi untuk keperluan kehidupan. Selain daripada itu mungkin mereka juga telah terikat dengan PTPTN yang perlu dilunaskan berbanding dahulu pinjaman diubah kepada biasiswa setelah lulus pengajian ataupun jika ada bayaran hanyalah sekadar 25% dari keseluruhan dari pinjaman. Bersama kita merenungi kembali apakah keperluan masa kini atau kehendak masa kini. Dulu mereka yang baru bertugas akan bermula dengan membeli motorsikal sebagai kenderaan ke tempat kerja tetapi kini tidak lagi begitu. Bersama kita berfikir dan mengurus belanjawan kita.
Thursday, September 29, 2011
HALUAN PASCA PMR
Peperiksaan PMR bakal menjelang tiba dengan dasar kenaikan terus ke tingkatan 4, semua pelajar akan terus naik ke tingkatan empat tanpa mengira tahap prestasi. Mungkin ada baiknya kita merenungi dasar lama tetapi diperbaharui dan diperkemaskan. Jika dahulu pelajar yang gagal SRP / PMR tidak meneruskan ke persekolahan biasa tingkatan 4. Memang ada kelemahan tetapi dengan memberi peluang mengikut minat pelajar ke aliran kemahiran perlu dipertingkatkan. Ini kerana kebanyakan pelajar yang gagal PMR kurang berminat dengan pengajian akademik. Mungkin syarat minima untuk ke aliran akademik perlu dipertimbangkan.
Tuesday, September 13, 2011
RESTORAN SEAFOOD HALAL : Keperluan Kifayah
Sama cuti yang lepas, puas berputar-putar mencari restoran makanan laut ( seafood ) yang diusahakan oleh pengusaha muslim sekitar Kota Kinabalu atau pun setidaknya mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM. Kita sedar mengetahui sama pelancong tempatan atau rakan niaga yang datang ke Sabah khususnya akan seringkali diraikan di mana-mana restoran terutama restoran seafood yang menjadi tanda niaga negeri ini. Adalah diharapkan akan ada pengusaha muslim untuk melestarikan pengzahiran restoran seafood halal sepenuhnya tanpa terlibat dengan penyajian minuman beralkohol. Harap kemunculannya akan menjadi kenyataan dan tanggungjawab bersama.