Rezeki yang dikurniakan perlu disyukuri. Menjadi pelajar hari ini bertuah dengan pelbagai kemudahan dan akses kepada sumber ilmu. Namun demikian mungkin sebab terlalu mudah ada sikap kurang bersyukur dikalangan mereka. Jika 20 tahun lalu untuk mendapatkan buku Koleksi Kertas Peperiksaan Sebenar Peperiksaan Awam amatlah sukar. Pelajar yang berjaya mendapatkannya ibarat mendapat ‘senjata rahsia’ untuk peperiksaan. Namun kini akses kepada latihan dan soalan percubaan semua negeri boleh dicapai dihujung cari, cuma sayangnya semasa pengajaran dengan guru, pelajar seringkali ‘terlupa’ membawa bahan tersebut. Sekoga sikap ini perlu dikikis agar menjadi pelajar yang lebih berdikari dan menghargai. Kini tertanya-tanya apakah ganjaran RM100.00 yang bakal diterima pelajar nanti akan menjana ilmu atau mengalir ke syarikat telekomunikasi dengan dihabiskan membeli top-up kad.. Syukurilah nikmat ini dengan menimba selautan ilmu…
Thursday, October 13, 2011
Thursday, October 6, 2011
SYARAT KELAYAKAN CALON SEKOLAH
Selaras dengan perlaksanaan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saban tahun pasti ada isu atau insiden pelajar ‘dinafikan hak’ menduduki peperiksaan tersebut. Serangan media pun berlaku dan pelbagai tindakan serta pandangan akan hangat diperbincangkan. Mungkin dengan merenungi sejenak, kita dapat memahami situasi ini dan mencari cara terbaik mengatasinya:
1. Mungkin pihak sekolah berpendapat ada sebilangan calon peperiksaan yang hanya hadir ke sekolah pada awal bulan sahaja dan selepas mendaftar terus menghilangkan diri dari sekolah. Setelah pelbagai tindakan diambil mengikut lunas sedia ada, jika pelajar tersebut muncul pada hari peperiksaan – mereka tetap akan menduduki peperiksaan dan hasilnya mungkin akan mengecewakan pihak sekolah yang ‘dikejar’ dengan kehendak pencapaian sempurna.
2. Andainya kita dapat melaksanakan sistem syarat kelayakan calon peperiksaan dengan memberi syarat kehadiran misalnya 80% untuk melayakkan ia kekal sebagai calon sekolah. Ini akan menimbulkan keadilan kepada pihak sekolah, jika pelajar yang sentiasa hadir ke sekolah – berusaha dan berdisiplin , pasti tidak sepatutnya dinafikan hak sebagai calon sekolah. Seandainya kehadiran pelajar amat lemah dan suka ponteng, setelah tindakan mengikut peraturan sedia ada dilaksanakan, pihak sekolah seharusnya boleh dibenarkan untuk menukar status calon dari calon sekolah ke calon persendirian, pelajar masih boleh menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan kehendak pencapaian sekolah.
3. Syarat kelayakan calon peperiksaan misalnya mensyaratkan menpunyai jumlah kehadiran yang mencukupi misalnya 80% ke atas untuk layak sebagai calon sekolah amat baik. Ia akan memberi kesan positif kepada pelajar yang perlu bertanggungjawab untuk hadir ke sekolah dan pihak sekolah tidak akan menerima kesan dari calon ‘tengelam timbul’. Sistem ini diamalkan oleh kebanyakan pusat pengajian tinggi dan mungkin boleh diaplikasi di sekolah. Pertukaran status calon dari calon sekolah ke calon persendirian bagi memberi peluang kepada pelajar yang tersebut untuk mendapat ‘peluang dan hak’ menduduki peperiksaan tanpa menjejaskan sasaran pihak sekolah. Ini memberi keadilan kepada pelajar dan pihak sekolah yang seringkali ‘terhimpit’ dengan kehendak peningkatan peratus peperiksaan.
Mungkin kita perlu menilai dan mentaksir kembali tanggapan masyarakat kejayaan dalam peperiksaan adalah suatu keagongan tetapi kita perlu ingat kegagalan dalam peperiksaan bukanlah penamat kepada kehidupan. Dengan penambahbaikan dasar dan proses sedia akan pasti akan menghasilkan jalinan terbaik yang seiring antara pihak sekolah, guru, ibu bapa penjaga dan pelajar yang pasti akan mencetus kecemerlangan bersama.
Tuesday, October 4, 2011
BELANJAWAN DAN DIRI KITA.
Suatu ketika dahulu, ketika kali pertama menerima gaji pertama sebagai elaun guru ganti dengan bayaran sekadar RM800.00 sahaja. Mungkin tahun 1990an ketika itu banyak perkara dapat dilunaskan seperti membeli buku untuk meneruskan pengajian dan sebagainya. Agihan mencukupi untuk perbelanjaan ketika itu bahkan masih tersimpan untuk kegunaan bila kembali ke universiti selepas cuti semester. Ketika itu belum ada tuntutan bil ultiliti seperti telefon, telefon bimbit, internet dan sebagainya. Cukup sekadar tambang perjalanan – minyak motorsikal dan keperluan utama. Kini keadaan telah banyak berubah, jika kita melihat graduan yang baru bertugas sebagai pendidik pun mencapai gaji menghampiri RM2000.00 termasuk elaun. Namun demikian mungkin gaya masa kini dengan kecanggihan – telefon bimbit berpakej jalur lebar, komputer dan ultiliti yang lain, kita mendengar ada ada antara graduan baru merasakan pendapatan kurang mencukupi untuk keperluan kehidupan. Selain daripada itu mungkin mereka juga telah terikat dengan PTPTN yang perlu dilunaskan berbanding dahulu pinjaman diubah kepada biasiswa setelah lulus pengajian ataupun jika ada bayaran hanyalah sekadar 25% dari keseluruhan dari pinjaman. Bersama kita merenungi kembali apakah keperluan masa kini atau kehendak masa kini. Dulu mereka yang baru bertugas akan bermula dengan membeli motorsikal sebagai kenderaan ke tempat kerja tetapi kini tidak lagi begitu. Bersama kita berfikir dan mengurus belanjawan kita.