Thursday, March 31, 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

logo hari guru“ Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” – tema Hari Guru Tahun 2011 semestinya dihayati oleh semua warga guru / pendidik. Sejarah membuktikan bahawa guru / pendidik bukan sahaja telah mentransformasi pendidikan tetapi mampu melaksanakan transformasi kepada negara seperti zaman pra kemerdekaan. Sebelum mengupas transformasi yang global, sedikit kita merenung kepada transformasi peringkat asas yang memghasilkan impak yang berkesan…..

1.  Transformasi melihat kejayaan pendidikan bukannya dari hanya ukuran angka dan peratusan dalam pencapaian peperiksaan awam – bilangan A  atau 100% lulus. Kejayaan yang bersepadu dengan melihat dari semua aspek dalam diri anak didik yang digilap potensinya. Mampukah institusi sekolah / pendidikan melahirkan pencapaian terbaik tanpa perlu melakukan tindakan penyingkiran pelajar yang ‘berkeranah’ dari sekolah yang berkenaan itulah kejayaan yang sebenarnya.

2. Transformasi perubahan lanskap dan solusi kepada isu yang telah lama dan berulang-ulang sering disebut oleh pemikir pendidik, kesatuan guru atau media antaranya isu nisbah guru per pelajar dalam kelas, guru yang memainkan peranan sebagai insan berkemahiran pelbagai ( multiskill ) kerana guru juga sebagai jurulatih sukan, warden, kerani, tukang kebun, mengajar di kelas, pegawai kebajikan, pengawal, skim gaji guru dan kenaikan pangkat kepada guru yang seharusnya diberi perhatian dan sebagainya masih berlegar dalam lanskap dunia pendidikan. Transformasi menuntut guru menjadi fokus kepada urusan pengajaran dan peningkatan profesionalisme.

3. Transformasi pendidikan dengan menyerap segala elemen moden terutama ICT dan jaringan sosial – blog, facebook, twitter sebagai salah satu medium penyampaian ilmu dan interaktif antara guru pelajar disamping tidak meminggirkan elemen tradisional yang diakui terbukti dan melengkapi proses penyampaian ilmu dan mendidik anak bangsa.

Harapan yang utama agar transformasi pendidikan negara memberikan impak yang berkesan dan berkekalan bukannya hanya slogan yang selari dengan senario semasa….

Wednesday, March 23, 2011

PENCAPAIAN SPM : TAHNIAH KEPADA GURU, PELAJAR & IBU BAPA

Pengumuman  keputusan SPM 2010 oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata keputusan tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.  Bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009. Tahniah kepada semua pihak – guru, staff sekolah, pelajar , ibu bapa dan masyarakat kerana semuanya menyumbang kepada kejayaan ini. Media pasti memaparkan kejayaan yang terbaik dari tahun ke tahun.

Apa yang perlu direnungkan……

1. Bagi pelajar yang berjaya dengan cemerlang pasti masa hadapan yang gemilang bakal diraih setelah meneruskan perjalanan akademik yang panjang dan ke tahap selanjutnya.  Namun demikian bagi pelajar yang kurang cemerlang, usah rasa putus asa kerana masa hadapan pasti akan ada selagi berusaha. Kejayaan sebenarnya ialah bagaimana kemampuan pelajar dapat menyesuaikan diri dan merebut peluang dalam kehidupan kerana ada pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM tetapi mampu jadi jutawaan dan ada juga yang berjaya dalam SPM atau menara gading masih gagal mendapat kerjaya tetap.

2. Erti kejayaan sebenarnya bagi guru ialah apabila kelompok pelajar ‘nyawa ikan’ telah mengucapkan TERIMA KASIH CIKGU  kerana LULUS disamping kelompok pelajar yang ‘bersinar’ menunjukkan sinarnya tetapi mereka jarang mengungkapkan ‘terima kasih’ . Kejayaan sebenarnya apabila mereka dapat berbakti kepada keluarga dan negara kelak.

Usaha dan gandingan bersama pasti akan meraih kejayaan yang dikongsi bersama…………

Monday, March 21, 2011

Bertemu Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad

Suatu petang pada 16.03.2011 ketika bersantai di Pekan Rabu, Alor Setar… buat pertama kali dalam sejarah dapat bertemu dan berjabat tangan dengan tokoh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, walaupun hanya bersembang sekadar 2-3 minit tetapi pengalaman yang amat berharga buat rakyat biasa yang bukan ahli politik. Detik kenangan itu merupakan pengalaman berharga. Komitmen Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pembangunan Pekan Rabu dari pemimpin biasa , PM dan bekas PM tetap menghargai dan mengambil peluang mengingati nostalgia penting dalam kehidupannya seharus menjadi contoh kepada kita bak pepapah Melayu “ tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain”.

Sunday, March 6, 2011

INSPIRASI DARI KEJAYAAN SK ULU LUBAI

Paparan Majalah 3 TV3 mengenai kejayaan SK Ulu Lubai, Sarawak meraih ganjaran dalam  Tawaran Baru untuk warga pendidik mengajak kita berfikir dan fokus kembali kepada tugas utama kita sebagai pendidik. Antara inspirasi dari kejayaan itu :

1. Peranan besar Pentadbir Sekolah dan kerjasam guru serta warga sekolah yang sepenuh hati menyumbang bakti tanpa jemu dan berkira amatlah penting dalam dunia pendidikan. Kini telah sedikit terhakis sifat sedia berbakti tanpa berkira  berbanding dengan guru-guru dahulu yang bersedia melaksanakan apa juga untuk pelajarnya.

2. Gandingan dan sokongan masyarakat setempat khusunya PIBG akan memberikan semangat yang membara untuk guru melaksanakan apa yang terbaik untuk anak didiknya. Kerjasama yang erat antara masyarakat dan sekolah akan lebih memberi impak dan kejayaan yang lebih gemilang. Sikap sering menyalahkan guru atau membesarkan kelemahan ( memang diakui ada kelemahan dalam diri pendidik kerana ia manusia biasa juga ) pendidik atau tekanan keterlaluan atau beban tugas bukan pengajaran  akan melumpuhkan semangat membara dalam hati guru.

3. Kajian telah membuktikan bilangan pelajar yang kecil dalam kelas akan menjadikan guru lebih fokus kepada tugas pengajaran. Jika SK Ulu Lubai dengan muridnya yang sedikit  lebih mudah difokuskan dan diberi tumpuan membolehkan kejayaan tercapai. Kita harus kembali memfokuskan kepada perjuangan dan hasrat agar nisbah pelajar per guru adalah relevan. Dengan adanya pelajar sekitar 20 – 25 pelajar per kelas pengajaran akan lebih berfokus.

4. Mungkin tiba masanya meluaskan ganjaran selain kepada 10 – 15% sekolah yang berjaya mencapai hasrat tawaran baru tetapi melebarkan kepada kelompok pertengahan. Perkiraan kadar elaun Pengetua / Guru Besar / Penolong Kanan seharusnya mengambil kira bilangan pelajar di bawah pengurusannya. Jika kini kadar elaun sama rasa bagi pentadbir di sekolah kurang murid ( 150 pelajar ) dengan pentadbir di sekolah lebihan murid ( 1800 pelajar ) yang pasti bebannya lebih besar. Semakin ramai staff dan pelajar semakin kompleks dan berat tanggungjawab pentadbir.

5. Hasrat melaksanakan idea sekolah satu sesi perlu disemarakkan kerana masih banyak sekolah dua sesi masa kini. Ia akan mengukuhkan lagi sistem pendidikan negara dan tuntuntan pelbagai program pendidikan masa kini.

Sunday, February 27, 2011

REFORMASI MEDIA : Kejujuran….

Dunia hari ini disajikan dengan berita sensasi dari media multi-medium – cetak atau elektronik.  Namun sejauh mana media memaparkan maklumat yang benar-benar jujur dan berkecenderungan kepada mana-mana pihak dan bebas secara tulen.

1.  Pergolakan rantau Timur Tengah – Mesir, Tunisia, Libya memaparkan pelbagai analisis dan komtar media. Kita mendapat gambar dari media yang pasti condong kepada mana-mana pihak yang disokong. Kita hanya mendapat saluran daripada orang tengah iaitu media antarabangsa. Sumber yang telah disadurkan dengan sokongan tertentu.

2.  Pilihanraya dan media sering menjadi kaitan rapat sama ada parti kerajaan atau pembangkang.  Media pro-kerajaan atau pro-pembangkang pasti melaporkan apa yang menguntungkan kelompok yang disokong bukannya maklumat yang telus dan tulen. Hanya yang berada di lokasi itu sahaja yang boleh memberi penilaian tapi semua pihak tidak suka pembohongan dan kepalsuan.  Bilakah senario ini akan berubah…..

Thursday, February 17, 2011

GURU : AGEN PERUBAHAN

Tahniah diucapkan kepada sekolah yang tercalon sebagai SBT ( Sekolah Berprestasi Tinggi ). Ini menunjukkan bahawa peranan guru sebagai agen membawa perubahan menunjukkan impaknya. Keupayaan terserlah bagi semua SBT sama ada di bandar atau luar bandar seperti SK Ulu Lubai, Sarawak dengan pencapaian tersendiri. Itu merupakan suatu kejayaan kepada semua golongan pendidik khususnya. Idea yang gemilang mampu melonjakkan kecemerlangan.  Namun demikian, kita semakin sepi dengan satu hasrat besar yang dipopularkan beberapa tahun lepas – ke arah sekolah satu sesi. Sehingga kini masih belum terurai persoalan tersebut. Belum lagi mengambil kira hasil kajian NUTP terhadap beban tugas guru, nisbah antara guru dan murid dalam kelas untuk mencapai keberkesanan tugas. Walaupun kejayaan SBT diakui membanggakan tetapi kita perlu ingat majoriti modal insan masih berada di sekolah kategori biasa yang perlu dilonjakkan juga. Menyorot kepada lipatan sejarah, kelompok guru merupakan agen perubahan yang meniupkan semangat untuk mencapai kemerdekaan – ia terbukti dengan ketokohan pendidik era SITC ( Sultan Idris Training Center ) yang kini dinaiktaraf kepada UPSI.  Apa juga yang berkaitan dengan sekolah ( guru ) akan menjadi perhatian semua lapisan dan merentasi semua inspirasi politik. Dari kisah cuti sakit guru jadi bahan politik di PRK Tenang, hingga terkini di media memaparkan guru diarah menghadiri majlis perasmian – tidak pasti benar atau tomahan. Apa yang nyata apa juga program yang diadakan pastinya melibatkan guru – pelajar. Bilangan terbesar yang menjayakan sambutan utama negara – Kemerdekaan, Perarakan, perasmian sukan dan sebagainya pasti akan mengerah ( secara patriotik , sukarela, paksa rela atau apa juga ) tenaga pelajar dan guru. Tanpa mereka pastinya program yang meriah jadi hambar. Itulah segalanya peranan guru yang menyeluruh. Jadi secara rasionalnya ada kewajaran kalau kenaikan RM500 gaji guru seperti manifesto parti tertentu. Apa yang utama guru merupakan kelompok kakitangan awam yang terbesar di negara kita… …. Usahlah takut melabur untuk meningkatkan kecekapan kelompok terbesar ini kerana impaknya pasti merangsang kecemerlangan negara juga…..

Tuesday, February 15, 2011

BUDAYA LAMA DIBERI NAFAS BARU

Zaman telah berubah namun terdapat budaya yang masih belum berubah tetapi diberi nafas baru.

1. Duduk bersembang sambil minum secawan kopi di kedai selalunya hobi yang selalu ketara dan dikatakan merugikan masa kerana membuang masa atau melepak. Budaya ini telah berlaku berzaman dahulu, pada zaman itu hanya itulah media yang ada untuk mendapatkan berita terkini dan perkembangan masa. Kini budaya sembang kedai kopi diberi nafas baru dengan sembang alam maya. Kalau sembang kedai kopi – baca akhbar, main dam, carom dan sebagainya. Dalam nafas baru sembang alam maya – media internet, laman sosial – facebook, twitter, blog dan permainan alam maya. Jika dihalusi dinilai kita haruslah bijak agar masa yang diluangkan sama ada di kedai kopi atau alam maya memberikan manafaat yang besar disamping mengeratkan silaratulrahim.

2. Ingat zaman kanak-kanak seperti lagu M Nasir – anak kecil bermain “perang” dengan menggunakan senapang kayu dengan peluru terung. Pasti semua dapat mengimbau kenangan zaman kanak-kanak tersebut dan menjadi permainan yang popular bagi anak lelaki terutama di desa. Permainan itu memang menarik dan memupuk semangat berpasukan. Kini ia diberi nafas baru yang menjadi kegemaran masa kini – PaintBall. Rentak permainan hampir sama cuma diberi nafas, peralatan, gelanggang baru yang tidak mampu dimainkan oleh anak-anak di kampung.

Semoga dalam perkembangan era teknologi ini, dapat kita menyerap budaya yang sedia ada dihidupkan semula dengan acuan baru. Agar permainan tradisional tidak hilang ditelan zaman mungkin boleh ditukar rupa permainan digital.