Tuesday, December 5, 2017

REZEKI DIKONGSI TANPA TEKNOLOGI

Syukur padaNya ... 
CBB6267 Proton Iswara yang menjadi kebanggaan negara masih gagah menabur khidmat setelah 17 tahun meneruskan penerokaan .

Jeruk Pak Ali - asam terkenal seluruh negara terutana di utara telah meluaskan pasarannya setelah melangkah 32 tahun lalu. Ramai yang mengenali jenama tersebut meskipun tidak mengenali pemiliknya.

Pasarannya semakin luas seharusnya seiringan dengan perkembangan teknologi makanan. Pengalaman melawat ke kilangnya menyaksikan puluhan wanita kampung menghiris buah-buahan dengan pisau di tangan bagi menghasilkan produk terkenal. 

Terdetik pertanyaan di hati, mengapakah pengusaha berpengalaman tidak mengaplikasi teknologi bagi meningkatkan produktiviti. 

Rasa terharu .... mendengar penjelasan penyelia di situ. Mengekalkan teknik tradisi bagi memberi peluang penduduk kampung berdekatan mendapat pekerjaaan untuk meningkatkan pendapatan keluarga. Inilah yang dikatakan kemajuan dan rezeki yang dikongsi.

Dewasa ini kita sering mendengar paluan gendang pembangunan dan teknologi seiring dengan kemajuan. Namun apalah erti semua itu sekiranya masyarakat setempat tidak dapat mengecapinya malah lebih malang lagi sekiranya kehilangan hak..... 






Friday, December 1, 2017

RESEPI TRADISI YANG HILANG

Menyelurusi utara semenanjung, rasa dan perasaan ketara dirasai. Dari deretan kota batu hinggalah kejihauan saujana mata memandang. Kepenatan perjalanan dilunaskan dengan santapan tradisi yang jarang ditemui masa kini. 

Sambal tempoyak hirisan daun-daun campuran seperti daun kaduk, daun kunyit, daun ubi kayu dan rencahan daun mangun pasti mengamit rasa. Kepedasan menghilangkan kepenatan apabila peluh menitis di dahi.

Merasai hidangan urat keting bakar cicah air asam bersama dengan gulai batang pisang lebih enak bersama ulam petai bakar cicah sambal tempoyak.

Tidak dapat dilupakan kelembutan gulai belulang resepi warisan bonda bersama ikan haruan bakar cicah santan segar bersama lada hitam.

Anak-anak zaman sekarang tidak lagi mengenali hidangan tradisi. Mereka lebih manja disajikan dengan ketulan ayam, pizza, tokayaki dan sebagainya.

Luangkan masa agar generasi kita mengenali hidangan tradisi yang mengukuhkan jati diri.





Tuesday, November 28, 2017

KERJA MASA CUTI : KEPERLUAN ATAU KEGAGALAN PENGURUSAN MASA....

,CUTI MEMANG DINANTIKAN.....
semua pihak menantikan cuti dengan pelbagai rancangan bersama keluarga. Ini masa yang paling berharga dan perlu dihabiskan secara berkualiti. Perancangan bersama keluarga , melancong, merehatkan minda dan sebagainya sentiasa diatur.

Kepenatan bertugas dan peluang menenangkan fikiran untuk mencemerlangkan tugas pada tahun mendatang amat penting. Hingga ada yang tidak berpeluang bercuti akhirnya motivasi diri menurun dan prestasi kerja merosot hinggakan organisasi terjejas. Namun ada juga yang bercuti sehingga menjejaskan organisasinya sekiranya tempoh itu tidak sepatutnya bercuti.

Itulah hakikat cuti.... Ia menjadi dorongan semua lapisan tanpa mengira herakinya dalam organisasi. Pelajar, pekerja binaan, pekerja swasta, pekerja kilang, pengawal, jururawat, doktor, peguam hinggakan menteri dan ketua tertinggi dalam organisasi pun menantikan masa cuti. Tersilap catur menanganinya menjadikan hubungan dalam organisasi terjejas dan akhirnya kemerosotaan prestasi organisasi.

KERJA  MASA CUTI :  LAMBANG KECEMERLANGAN ORGANISASI ATAU KEGAGALAN PENGURUSAN SUMBER....
Tidak kurang juga dalam tempoh bercuti, masih ada yang dipanggil bertugas untuk menghabiskan tugasan belum selesai, membuat perancangan tahun akan datang atau persediaan untuk keperluan organisasi. Mungkin atas keperluan tersebut, ada yang dipanggil bertugas masa cuti ataupun permohonan cutinya tidak diluluskan.

Namun masih belum ada kajian empirikal dan saintifik untuk memberi justifikasi sama ada kerja masa cuti ini lambang pengorbanan, tanda kecemerlangan, simbol kerja gigih dan ada yang menyatakan ia lambang budaya kerja cemerlang sesuatu organisasi. Inilah persoalan yang belum terungkai....

Ia mungkin lambang kecemerlangan organisasi yang dizahirkan dengan pengorbanan, kesungguhan, budaya gigih,  memandang ke hadapan dan seumpamanya.

Dari sudut lain ( ... mungkin golongan pemikiran ini sering dianggap tidak sedia berkorban, tidak kuat kerja, kurang berdaya maju ) bertugas masa cuti juga melambangkan kelemahan diri yang gagal menyempurnakan tugas mengikut rangka kerja yang ditetapkan, juga mungkin kegagalan pengurusan sumber tenaga yang menyebabkan kerja tertimbun hingga perlu dilunaskan, mungkin penugasan sumber tidak cekap, perancangan awal tidak menjadualkan perancangan tahun datang dalam rangka kerja. Benar atau tidak ..... bersama berfikir.

Apa pun juga...
Syukur padaNya kerana dapat bercuti
Sabar dugaanNya kerana bertugas semasa cuti
Terima kasih kepada yang bertugas semasa cuti kerana membolehkan kita bercuti.
Hanya satu....
Tiada cuti mencari redhaNya.

Kota Kinabalu - KLIA - Kajang - Sungai Perak - Sungai Petani - Temerloh

Friday, November 24, 2017

PERJALANAN PENDIDIKAN SAINS KITA....


Perjalanan pendidikan kita sentiasa berubah.....
Jika tidak mampu mengejarnya pastikan kita mengekorinya ....

Menoleh sejarah alam persekolahan ( bagi penulis era80an ),  pembelajaran itu menang menarik terutama bagi aliran Sains terutama adanya aktiviti makmal. Biarpun segulung pita detik habis pun .... guru tetap menekankan .... buat eksperimen.... belah katak.... tanam musang dapatkan rangka.... walaupun waktu itu kita tidak faham kenapa guru ajar begitu. Mungkin belum ada PAK21 tetapi tetap seronok. Impian semua pelajar ketika itu.... kelas amali yang seronok  walaupun ada masanya gagal ujian. Peperiksaan amali sains paling menyeronokan..... bagi pelajar..... seronok mengintai peralatan makmal menjelang Oktober.

Apabila diri sendiri menjadi guru sains.... barulah faham rupanya cabaran 60:40 masih jauh.. ketika itu masih mentah .... belum sedar erti PISA, TIMSS, yang ada kemahiran berfikir kreatif dan kritis (  KBKK )  dan  KPS berkesempatan melaksanakan amali Sains. Biarpun baru.... tapi sana sini ada kursus dari daerah, negeri ...bersama dibimbing menimba ilmu dari Guru Cemerlang ( istilah mula didengar tahun 90an ) .... walaupun tidak menjadi guru cemerlang tetapi gembira dibimbing guru cemerlang ....hingga di hentian bas menuntut ilmu ( terima kasih Tn Hj Hamzah Othman  ) .... berkhidmat di  desa pun masih merasai denyutan perubahan terkini.  Perkongsian ilmu  amat rancak pada semua peringkat.

Kecenderungan golongan yang  mengkomersialkan ilmu perlu diatasi bagi menyebarluas segala kemahiran untuk dikongsi bersama guru-guru peringkat pelaksanaan. Namun masih ramai yang tulus ikhlas berkongsi ilmu dengan semangat tinggi seorang GURU - penyebar ilmu 

Gelombang PEKA Sains telah merubah segalanya.... hinggakan pelajar ketika itu ada yang kurang mahir amali Sains tetapi cantik laporannya juga banyak A penskorannya. Mungkin berbantukan buku pasaran . Golongan inilah yang kita telah merata menjadi guru sekarang. Terbantut amali Sains mungkin faktor kos... PEKA menjadi keluhan. Rentak masih sama hasrat 60:40 tetap masih jauh dari sasaran.

Ledakan PPSMI memberikan impak besar.... ada positif dan negatifnya. Apa yang nyata komputer, projektor yang ada dibekalkan tiada kesinambungan....menjadi usang....sekali lagi sasaran 60:40 tersasar terutama golongan luar bandar. Renjatan PPSMI dikurangkan dengan DLP dengan harapan minat terhadap sains melonjak.

Ledakan perbandingan GPS antara sekolah menjadikan kian parah. Input berbeza output diharapkan sama. Membanding antara sekolah memberi tekanan kepada pentadbir apabila pihak atasan hanya ingin mendengar irama merdu 100% dan GPS yang terbaik. Ranjau , halangan, keluhan bawahan dianggap tidak produktif. Maka strategi 'kotor' mula diaplikasikan dengan pengurangan pelajar yang mengambil matapelajaran sukar seperti Sains Tulen dan Matematik Tambahan. Kebanyakan sekolah mengurangkan bilangan aliran sains dengan hanya menumpukan yang menjamin 100% dan GPS yang baik. Tumpuan kepada mata pelajaran yang mempunyai kerja kursus yang telah menjamin 50% kelulusan sebelum peperiksaan awam. Langkah ini berkesan melonjakkan pencapaian GPS dan peratus lulus...  Namun penguncupan ketara dalam landasan 60:40 berterusan.

Syukur mulai UPSR 2017 dimensi baru melihat keputusan pentaksiran dan peperiksaan, semoga dasar ini kekal untuk mermartabatkan ilmu.

Semoga dengan pendekatan baru dasar STEM dan PAK21 akan merancakkan keseronokan pengajaran dan pembelajaran. Mungkin generasi lama agak kaku menyerap perubahan ini namun tetap mengejarnya secara tekun. Keseronokan pembelajaran dan pemudahcaraan terasa bahangnya. Namun mungkin ada igauan tekanan peperiksaan menghantui tetapi yang jelas memberi keseronokan kepada pelajar - generasi pewaris. Semoga usaha ini akan melonjakkan perkembangan ilmu dan dasar 60:40 akan menjadi realiti. Asalkan kita berpegang ilmu perlu disebarkan dan bukan semua yang kita ingin jadikan doktor atau jurutera tetapi kemahiran saintifik menjadi teras intelek.

Nota :
Penulis dulunya adalah pelajar aliran sains, menjadi guru muda sains dan kini kelompok pentadbir aliran sains walaupun hampir menuju zon penamat namun siap siaga menempuh perubahan - jika tidak mengejar pasti mengekori agar tidak ketinggalan.




Thursday, November 23, 2017

UPSR 2017 : Anjakan Paradigma

UPSR2017 : Anjakan Paradigma
Kelainan terasa dari kebiasaan apabila tidak lagi mengutamakan perbandingan antara sekolah dalam pencapaian UPSR 2017.

Meraikan yang berjaya dan mendakapi yang kurang berjaya untuk menjadikan semua dihargai. Langkah permulaan ini pastinya janggal kerana selama ini kita telah disajikan dengan pengumuman kecemerlangan 6A, 5A tetapi kini berubah.

Moga nilai ilmu dihargai dan kecemerlangan juga tidak diketepikan. Namun apa yang ingin dinanti adakah dasar ini akan berterusan atau berhenti di pertengahan jalan nanti .....



Friday, November 10, 2017

RESTU ILMU : Restuilah selamanya......

Peperiksaan SPM / STPM telah bermula. Sebelum itu semua sekolah mengadakan majlis restu ilmu, ada yang mengabungkan dengan graduasi yang belum 'graduate'. Tidak kurang juga yang menjenamakan dengan istilah menyentuh hati seperti titisan ilmu, restu kasih guru dan seumpama dengannya.

Hari itu kita melihat tangisan yang lahir dari keikhlasan hati seorang guru dan tautan kasih pelajarnya. Ketika itu pelajar yang cemerlang berharap restu guru untuk kecemerlangan berterusan. Manakala pelajar yang agak nakal dan lemah, linangan air mata untuk memohon restu dan kemaafan atas kekhilafannya terhadap insan bergelar guru. Hati manusia yang lembut kini terusik......namun ada juga yang masih keras.

Peperiksaan bukanlah penamat segalanya.... Restuilah mereka untuk mengharungi pentas hidup sebenarnya. Agar mereka mengharungi hidup ini dengan doa dan restu guru. Moga ilmu yang diberi sama ada dari sukatan pelajaran, mungkin teguran kecil yang lebih berkesan untuk kehidupan menjadi penyuluh hidup anak didik kita. Restulah mereka agar tidak menjalani hidup dengan penuh bimbingan. Hakikat ada yang cemerlang tergelincir dalam perjalanan tetapi tidak kurang juga yang gagal namun lurus landasan hidupnya.

Restuilah selamanya....


Thursday, October 26, 2017

GRADUASI BAGI YANG BELUM GRADUATE

Trend masa kini....semua sekolah sibuk dengan Majlis Graduasi yang dilaksanakan secara gemilang mengikut kemampuan dan menjadi lambang status sekolah.  Kewajarannya dengan alasan motivasi dan meningkatkan keyakinan diri. Semua yang bakal tamat tingkatan 5 diraikan setara konvo atau ada yang lebih meriah dari konvo. Hakikatnya mereka ini belum pasti lulusnya , mungkin sekolah elit jaminan 100% lulus.

Mungkin dibelenggu pemikiran klasik.... dahulu kita tidak akan menyarung jubah konvo melainkan selayaknya. Mungkin lebih tepat jika penamaan semula Graduasi dengan yang lebih sesuai dengan ertinya....mungkin sedikit kesabaran dilaksanakan selepas keputusan SPM / STPM sebenarnya dicapai.

Mungkin yang tidak sependapat mengatakan pemikiran klasik dan ketinggalan.
Namun moga agar kita bertepatan dengan makna dalam semua kamus utama. Apakah makna Graduasi....

Kini graduasi yang belum pasti graduate...