Friday, May 5, 2017

JENAKA INDUKSI 3 : BERGANTUNG PADA BUKU

Peperiksaan pertengahan tahun telah selesai. Kelas berlangsung seperti biasa, mengusung ikatan kertas jawapan ke kelaa suatu fenomena biasa selepas peperiksaan.

"Yeessss...... kita dapat markah hari ini" seronoknya Ann , pelajar ini memang menunggu markahnya kerana kebiasaannya sentiasa menjadi "top scorer".

Bagi Farid, juga seronok menunggu hasilnya peperiksaan kali ini. " Dapat salin skema jawapan " bisiknya, biarpun kertas peperiksaannya seringkali putih bersih.

Bersemangat semua pelajar kelas Harmonian ni, itulah sikap pelajar sepatutnya sentiasa ghairah dengan keberhasilan.

Cikgu AZXN  mengedarkan skrip jawapan kepada semua pelajarnya. Proses perbincangan jawapan amat penting dalam proses untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Memperbaiki kelemahan jawapan amat penting agar menepati skrip atau kehendak LPM itulah seringkali pesanan penceramah skema peperiksaan.

Jawapan dibaca, dibincang , kesilapan diperbaiki. Tekunnya pelajar Harmonian membetulkan kertas jawapan. " Rajin juga pelajar ku ini" bisikan hati cikgu AZXN

Sampai soalan ke-7, ruangan jawapan agak panjang, 3 baris tercatat 3 markah, telah dianalisa Cikgu AZXN mendapati kebanyakan hanya skor 1 markah. 

Jawapan dibacanya..
"Apabila saiz atom bertambah , jarak antara petala valens semakin berjauhan, tarikan antara nukleus dengan elektron valens semakin lemah, elektron mudah didermakan, maka ia semakin reaktif",  laju bacaannya seperti lajunya jika cikgu AZXN berjalan di sekolah.

"Cikgu ....ulang, kami tak sempat salin" minta Fareez sambil mengangkat kad merah dengan simbol masam 😟😟. Elemen PA21 katanya. " Tulis di papan atau papar di lcd" minta rakannnya Rizal.

Menyedari ketidakfahaman kelas, cikgu AZXN menulis jawapan di papan kelas, dengan tiga patah perkataan  iaitu saiz, petala valens, mudah dilepaskan.

"Cikgu pendeknya tadi cikgu baca panjang" tanya Fareez.
" Ya... 3 point untuk 3 markah... ayat kamu buat sendiri" jelas cikgu AZXN.
" Kami mahu salin ayat cikgu tadi, sama seperti dalam buku skema tu" minta Jalil pelajar kumpulan Fareez.

" Gunakan 3 point itu....buat ayat sendiri untuk dapat 3 markah..... kamu perlu ingat point...bukan hafal skrip macam pelakon drama atau terlalu bergantung pada buku. Perlu jawab ayat sendiri ikut isi utama...baru boleh bina keyakinan diri" , ceramah cikgu AZXN.

"Oklah bergantung pada buku.... " sampuk Napi.
"Mana boleh...." tegas cikgu AZXN melihatkan pelajarnya belum faham hasrat hatinya.
Lalu memanggil seorang pelajar itu ke hadapan kelas sambil cikgu AZXN  mengangkat buku ke atas agak tinggi tetapi masih boleh dicapai tangan. " cubalah bergantung pada buku ni..boleh atau tidak" mintanya pada Napi.

Memang tidak boleh. Seluruh kelas ketawa....cikgu buat lawak saintifik.
Akhirnya mereka dijelaskan, " buku, skema, skrip tidak boleh dibawa ke dalam dewan peperiksaan. Kefahaman dan isi utama perlu diyakini...biarkan neuron bersambung dengan bantuan DHA dan AHA...... dengan itu kamu akan YAKIN DIRI".

Kini semua pelajar faham bahawa perlunya keyakinan diri dalam pembelajaran bukannya bergantung atau menyalin skrip jawapan dalam buku. Itulah kisah jenaka induksi bergantung pada buku yang memberikan ikatan akrab pengajaran dan pembelajaran.

"Lawak ke aku ni....orang cakap aku ni garang , payah senyum" bisik hati cikgu AZXN dengan doa moga pelajar Harmonian berjaya dunia akhirat semasa turun dari tingkst 7 kelas,

Wednesday, May 3, 2017

RESEPI KIMCHI BERULAM PETAI JUS BAMBANGAN

Hari ini meneliti minda remaja dalam melangkah ke hadapan bagi lepasan SPM lalu. Minggu ini lakaran langkah mereka bermula.... syukur dengan rezeki  yang diperolehi bagi yang berjaya ke universiti, kolej, matrikulasi, asasi , praU mahupun yang menempa laluan dalam alam kemahiran atau dunia pekerjaaan. Kita ucapan syabas dan diiringj doa agar menempa kejayaa. Biarkan senja berlalu dan izinkan subuh melakar harapan.

Apa pun perjalanan mereka tidak terlepas dari 'kepungan' pengaruh budaya 'kekoreaan' dari ulaman kimchi hingga santapan mee ramen dan hiburan K-pop serta fantasi cinta Pulau Nami. Semua itu menjadi belenggu dan mengepung remaja kini dalam melangkah ke hadapan. Fikiran menjadi tertutup , kelekaan, hiburan dan fesyen menjadikan mereka terperangkap.

Biarpun dalam dunia yang dikatakan tanpa sempadan namun remaja kini terperangkap dalam kecanggihan telefon pintar, yang hanya terhad kepada media sosial - WeeChat, Whatapps, Snapchat dan pelbagai lagi chat dan chit chat yang mungkin tidak difahami insan tua. Namun pemikiran mereka tidak menjangkaui globalisasi walaupun remaja dikatakan canggih, maklumat di hujung jari.

Mungkin ......terbelenggu dalam kepungan pengaruh kimchi dan tarikan pelbagai chat tersebut. Minda tetap terbelenggu walaupun pengikut ( follower ) beribu berjuta.

Melihat displin diri dan cara kerja warga Korea yang kita semua tidak mampu menafikan setaraf dengan budaya kerja produktif warga Jepun. Namun remaja kita tidak dapat menyelami budaya itu walaupun perut penuh dengan kimchi dan mee ramen. Mungkin perlu membentuk anjakan budaya baru - serapan budaya kerja Korea dengan penuh disiplin diri , inovatif dan produktif. Namun tidak melupakan jati diri - budaya kemelayuan nusantara. Biarlah hidangan makanan  kimchi bersama sambal petai itu lebih enak jika diminum bersama jus bambangan.

Bebaskan diri dari kepungan, biarlah senja berlalu dan izinkan subuh melakar harapan...

Saturday, April 29, 2017

JENAKA INDUKSI 2 : MAGIK JIRIM

Sukarnya pengajaran sains tanpa eksperimen. Namun tidak semua konsep dapat dijelaskan dengan mudah terutama bagi kelas akhir yang bijak kelakarnya. Menghafal agak payah, inilah idea magik jirim.

Cikgu AZ ke kelas Ikhlas seperti biasanya, pengajaran hari ini hanya 30 minit, waktu selepas rehat. Satu persatu pelajar masuk ke kelas. Cikgu AZ membuat garisan bulatan di hadapan kelas.

"Kita nak buat apa cikgu? " tanya Ikhmal.
Selamba jawab cikgu AZ, ' hari ini pertunjukkan magik jirim".

Kelas yang agak riuh diam seketika, mungkin berlegar-legar di fikiran murid "apalah cikgu ni'.

Cikgu AZ memanggil dua pelajar ke hadapan, berdiri di luar garisan bulatan itu. Dalam bulatan itu masih dibiarkan kosong. Sambil memusing-musing tangan dan meniup - niup mentera , cikgu AZ berkata "... lihat lah dalam bulatan ini... Kosong kosong kosong...... sebentar lagi akan muncullah Ikhmal".

Apa bila selesai ungkapan 'mentera' cikgu AZ muncullah Ikhmal duduk di tengah bulatan.

Menggunakan pembaris bagai tongkat sakti, cikgu AZ berkata " ting ruang kosong telah dipenuhi".

Ramai-ramai pelajar Ikhlas berkata " Kami tahu magik cikgu ..... Jirim memenuhi ruang ". Cikgu AZ senyum. Lantas memberi isyarat kepada kedua-dua pelajarnya yang di luar bulatan agar mengangkat Ikhmal keluar dari bulatan. "Beratnya ........" keluh dua pelajar yang diarah mengangkat Ikhmal yang bersaiz agar besar.

Itulah magik cikgu hari ini ...". Jirim memenuhi ruang dan mempunyai jiisim " , jelas cikgu AZ dan pelajar semua bertepuk tangan dan berkata "kami faham dah jirim tu apa"

Friday, April 28, 2017

JENAKA INDUKSI 1 : TAUGE KETAWA......

Minggu pertama pembelajaran di alam menengah aku dan Nasser amat teruju. Inilah kali pertama masuk ke makmal sains. Beratur di luar makmal suatu rutin biasa, sesekali menjenguk melihatkan radas kaca yang kecil dan comel.

Dengan senyuman manis. "Masuk....." arahan guru Sains ku yang menawan.
Setelah mendengar arahan keselamatan dengan penuh kesiapsiagaan, maklumlah aktiviti makmal sering dimomokan ada letupan, asid kuat oleh senior.

Mie selaku ketua kelas yang dedikasi, dipanggil cikgu Rahmah untuk mengedarkan satu bungkusan setiap meja. Aku juga menerima bungkusan kapas putih basah. Lalu aku dengan Nasser, membukanya.....lalu aku berkata...."tauge...."

Entah kenapa....tanpa diketahui sebabnya....aku dengan Nasser membelek-belek tauge bengkok. Ntah kenapa..tiba-tiba kami berdua ketawa terbahak-bahak. Seluruh kelas menyedari.... semua tertanya ...

Cikgu Rahmah menyedari tingkah laku kami lalu bertanya "kenapa...! apa yang lucu sangat ?". Manis senyumannya kini bertukar penuh kegarangan. Aku menjawab...."kenapa tauge ni kemetot.." Kebetulan aku murid yang paling kecil atau ketot istilah orang Chenor. Lalu kami terus ketawa hingga sakit perut tanpa henti.

" Apa lagi ketawa-ketawa.....cepat kamu berdua bangun....susun dan ukur ketinggian tauge. Plot graf ..." arahan cikgu Rahmah.

Itulah episod pertama penerokaan saintifik, yang kini telah telah sebati dalam diri ku sebagai guru beropsyen Biologi manakala Nasser terus maju sebagai akauntan, Mie pula terus melangkah dari ketua kelas meneraju jadi ketua pimpinan sekolah juga masyarakat

Thursday, April 27, 2017

BANGUNLAH PEJUANG BAHASA.....

Menghadapi cabaran globalisasi masa kini telah merubah minda dan keteguhan jati diri untuk menghadapi cabaran amatlah dituntut. Tidak menentang arus globalisasi, tidak bermakna harus kita hanyut dalam arus globalisasi, sehinggakan jati diri terkapai-kapai kelemasan.

Jati diri aspek budaya , pakaian, gaya hidup sedikit tercalar dengan arus globalisasi namun masih boleh dipertahankan oleh pejuang budaya. Ketara dalam kelemasan ialah jati diri aspek berbahasa Melayu kini dalam terkapai-kapai dihanyut arus masa kini. Istilah asing yang diserap seperti precint, bouelvard, parkir dan sebagainya menjadi serapan yang menambah kekayaaan berbahasa atau hakisan bahasa. Unsur slanga , bombastik, meletop, vaganza dan selainya menjadi kelaziman sehingga menjejas kosa kata. Singkatan bahasa Inggeris seperti ECRL, iThink,  NKRA , DLP dan pelbagai akronim yang seakan ketiadaan Bahasa Melayu yang lunak dan juga melambangkan kemajuan.

Bukan menafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai kelebihan era globalisasi seperti kelebihan berbahasa Cina dalam menghadapi cabaran "jalan sutera baru". Namun kekuatan institusi terjemahan mampu memberi kekuatan kepada bahasa kita dan seterusnya memperkayakan bangsa.

Bangunlah pejuang bahasa ku dalam kelantangan deringan 'gadget' masa kini....

Monday, April 10, 2017

BIAR JADI ANAK AYAM JANGAN ANAK BURUNG

Cabaran mendidik pelajar kini amatlah berat. Selain berhadapan dengan kandungan pelajaran yang mencabar, kita sebagai guru menghadapi persaingan dengan tarikan lain pelajar dalam pelbagai aktiviti.

Menyedari itu kita tidak dapat lari dari menghadapi cabaran, pelajar kita minta izin tidak masuk kelas tambahan untuk aktiviti lain yang diminatinya , yang juga memberi pendidikan dari sudut yang berbeza seperti drama, koir, bola sepak, muzik dan sebagainya. Rasa tidak sampai hati mematahkan bakat dan minat mereka, ada antaranya telah 3 beradik dari tahun sebelum ini meneruskan warisan bakatnya.

Namun demikian dalam pelajaran, kita mengharapkan mereka dapat mempelajari resmi anak ayam yang mampu mengais makanan makanan sendiri. Apabila menemuinya ia merujuk pada ibunya memohon bimbingan. Sentiasa merujuk kepada ibunya yang bertindak sebagai pembimbing sepanjang masa. Ia tidak pergi jauh. Hindarilah mereka ini mengikuti resmi anak burung yang hanya menunggu makanan di bawa ke sarang , apabila telah besar terus terbang bebas meninggalkan sarangnya dan ibunya juga...

Usahlah bersedih sekiranya ibu ayam itu disembelih atau ibu burung itu dilastik jatuh setelah anak-anaknya mengecapi kejayaan.

Wednesday, April 5, 2017

MENANTI SERPIHAN GADING .....

Saban hari kita disajikan pelbagai berita dari multisumber  - hanya menunggu kepintaran kita mencerna dan mencari kebenarannya. Hingga ada masa kita keliru dengan semuanya. Ada yang menyatakan itulah dugaan akhir zaman. Namun ketika dua pihak sedang bertarung - ibarat dua gajah perkasa sedang berjuang....kita tidak pasti kemenangan kepada siapa, apa yang nyata bumi yang dihentak semasa gajah berjuang itu... kancil yang kecil terhimpit di tengah-tengah, tikus berlarian, unggas berterbangan - semua akan terbelenggu dengan gegaran impak pertembungan. Hanya satu yang ditunggu semoga serpihan gading dari kedua-dua gajah yang berjuang akan menjadi suatu yang amat berharga buat semua