Monday, May 9, 2011

ALKISAH 2 : KISAH BUKU GEOGRAFI

Kisah kali ini menceritakan kisah seorang pelajar yang berasal dari keluarga yang sederhana, walaupun begitu pelajar ini amat berpotensi dalam pelajaran. Setiap hari dia akan ke sekolah dengan pakaian lusuh dan bekalan makanan setiap hari bagi menggantikan wang saku. Pada suatu ketika, cikgu Hamid meminta semua pelajar dalam 3PD1 membeli buku kerja Geografi yang berharga kira-kira RM5.00 sebuah. Oleh kerana ketidakmampuan keluarga, ditambah lagi dengan saraan yang ramai, pelajar tersebut belum mampu mendapatkan buku tersebut walaupun dalam tempoh sebulan. Namun demikian, atas keperihatian rakan sekelas telah mengambil keputusan untuk memungut derma bagi membolehkan pelajar bernama Amat membeli buku tersebut. Akhirnya dapatlah pelajar itu memiliki sebuah buku kerja Goegrafi seperti yang diminta gurunya. Selaku pelajar yang menghargai atas sumbangan rakan, semua helaian buku terseout dijawab dengan sempurna, tanpa sedikitpun ketinggalan dan kurangnya kesalahan. Memang patut begitu kerana Amat merupakan pelajar yang gigih dan berpotensi walaupun dari keluarga yang sederhana.

Pada suatu hari rakan baik Amat yang bernnama Mamat ingin meminjam buku kerja Geografi tersebut. Dengan rasa murah hati dan menghargai Amat bersedia meminjamkan buku tersebut apatah lagi rakan sekelas yang sama-sama membantu menyumbang untuk dana buku tersebut. Mamat seorang pelajar yang sederhana tetapi baik. Mamat berulang-alik dari sekolah dengan menaiki bot untuk menyemberangi Sungai Pahang ke kampungnya. Apabila keesokan harinya, apabila bertemu di sekolah, Mamat ingin mengembalikan buku kepada Amat, tetapi setelah dicari-cari tidak dijumpai, barulah Mamat tersedar rupanya buku Geografi tersebut tertinggal di dalam bot semasa perjalanan balik. Amat sangat susah hati kerana buku tersebut merupakan buku kerja matapelajaran kegemarannya disamping hasil usaha bersama rakan-rakan untuk mendapatkan buku tersebut.

Atas rasa bersalah dan risau, apabila pulang Amat telah bergegas ke pengkalan bot bersama Mamat untuk mencari buku tersebut dalam bot yang tertinggal. Setelah sampai ke pengkalan bot dan berjumpa dengan tuan punya bot bertanyakan buku tersebut. Namun tidak dapat ditemui kerana tuan bot telah membuangnya bersama sampah-sampah lain di tempat longgokan sampah. Dengan tergesa-gesa dalam cuaca hujan renyai Amat tetap pergi mencari kembali buku tersebut di kawasan tong sampah. Syukurlah kerana hari hujan dan sampah tidak dpaat dibakar. Akhirnya buku kerja Geografi tersebut ditemui kembali walaupun keadaan agak basah. Rasa bersyukur dan amat gembira dengan usaha tersebut, buku tersebut terus dibawa pulang. Amat pulang dengan senang hati dan terasa puas kerana hasil pemberian rakan-rakan telah kembali kepadanya dan yang utama bukannya hilang sebuah buku tetapi isi ilmu dan nilai persahabatan.

Nota : Selamat Hari Guru kepada semua guru yang telah mendidik dengan penuh ketabahan.

JEJAK GURU BERINTEGRITI

Refleksi pengalaman tokoh terkemuka guru berintegriti berdasarkan sorotan pengalaman tokoh guru JUSA C yang telah melakarkan kejayaan cemerlang dalam bidang pendidikan. Menyorot pengalaman tokoh guru berkenaan antaranya Datuk Hj Sa’ari B Hassan, Pn. Hjh Khuzaimah Sulaiman dan Datuk Mary Yap Kain Chaing  dapat dirumuskan tiga ( 3 ) kunci utama seorang pendidik cemerlang ialah :

1. TULUS dan IKHLAS dalam melaksanakan tanggungjawab kepada semua pihak PELAJAR, GURU dan MASYARAKAT kerana KETULUSAN dan KEIKHLASAN akan menjadi ‘magnet’ dalam pengurusan dan ‘haruman’ yang menyegarkan dunia pendidikan.

2. GIGIH dan BERANI dalam melaksanakan PERUBAHAN yang ingin dicapai dengan HASRAT yang DIKONGSI BERSAMA akan menjadi segenap lapisan akan menyumbang ke arah kejayaan yang diimpikan. Setiap PERUBAHAN pasti akan mengundang CABARAN dan kemampuan menyerap cabaran adalah tanda KEGIGIHAN yang sejati.

3. GURU SURI TELADAN. Ungkapan GURU akan menjadi contoh teladan dalam semua aspek amat memberikan kesan yang mendalam kerana ia adalah satu AMANAH yang berat. Dalam “menyerap dan melengkap” diri menjadi seorang GURU SURI TELADAN memerlukan ketulusan jiwa yang sepenuhnya menghayati “PRINSIP dan ROH SEORANG PENDIDIK TULEN”.

Mungkinkah dari refleksi tersebut kita dapat memenuhi atau memiliki ketiga-tiga kunci tersebut dalam melahirkan pendidik yang bertranformasi. Cuma satu yang terlintas dan belum dapat ditemui, mampukah mana-mana sekolah yang merangkul status cemerlang dan terbilang dengan tanpa ada seorang pun anak murid yang disingkirkan dari sekolah tersebut, iaitu keseluruhan pelajar di sekolah tersebut dididik dan diasuh sehingga menjadi insan yang menyumbang dengan kebolehannya.

Wednesday, May 4, 2011

ALKISAH 1 : TEKNIK MEROKOK

Suatu hari seorang guru A mengajar kelas yang terhujung berkenaan tajuk pencemaran udara.  Dalam sesi pengajaran guru A, seorang pelajar bernama J bertanya “ adakah merokok juga mencemarkan alam sekitar”? Lantas jawab guru A “ benarlah sebab asap yang dikeluarkan mengandungi toksik dan racun maka berhentilah merokok”. Dalam pada itu pelajar bernama K pula bertanya, “ cikgu, masalahnya kami tak dapat nak berhenti merokok. Bolehkan cikgu terangkan bagaimana cara merokok yang tidak mencemarkan alam sekitar”. Sekadar untuk melayani pertanyaan pelajar kelas terhujung cikgu A bertanya kembali “ Apakah yang menyebabkan pencemaran bagi seorang perokok". Jelas pelajar H pencemaran disebabkan oleh puntung rokok dan asap rokok.

Dengan penuh keyakinan guru A menjelaskan teknik merokok yang tidak mencemarkan alam sekitar. “ Jika kamu ingin merokok, rokok jangan dibakar sebab tidak dibakar tidak ada asap yang mencemarkan alam sekitar, jika perlu dibakar juga pastikan kamu merokok dengan keadaan kepala dibalut dengan plastik sampah yang diikat dileher dan merokoklah dalam plastik itu kerana asap tidak akan terbebas dan bila telah habis merokok puntungnya dibuang terus ke plastik sampah”

Lalu pelajar S mencelah “logik juga teknik yang cikgu ajar tapi matilah kami lemas kerana asap rokok”. Dengan tersenyum sini guru A menjawab “itulah teknik merokok yang tidak mencemarkan alam dan tidak merbahayakan orang lain”. lalu beredar dari kelas itu. Manakala pelajar bertanya satu sama lain logik teknik yang diajar kerana saban hari guru A menyarankan walaupun pelajar kelas terhujung tidak pandai tetapi perlu logik dan bijak.

Sunday, May 1, 2011

SELAMAT HARI GURU….

16 Mei bakal menjelang dan kini telah 40 tahun sambutan Hari Guru diraikan untuk memartabatkan golongan pendidik di negara kita. Tahniah dan syabas kepada semua yang bergelar cikgu dan pendidik  yang telah bertungkus lumus dalam membina modal insan negara. Golongan pendidik merupakan golongan yang menyumbang secara diam tanpa gah dan glamor, pelbagai dugaan dan cabaran serta isu yang melingkari golongan ini untuk memacu ke arah lebih cemerlang. Tahniah atas kejayaan semua yang berjaya menjadi pendidik yang unggul dan bukan sekadar seorang guru…..

Sunday, April 17, 2011

INDEKS BMI PELAJAR

Pelajar obesiti berpunca dari amalan pemakanan yang tidak betul oleh ahli keluarga demikian. Pemantauan terhadap hidangan di kantin sekolah memang wajar agar kantin menyediakan makanan berkhasiat selaras kehendak kesihatan. Pengukuran indeks BMI pelajar pasti menjadi satu lagi senario yang memberi tugas tambahan kepada seorang guru. Persoalan cara pemakanan kurang berkhasiat ini seharusnya tindak bersepadu seharusnya dicapai:

1.Pemantauan kantin dan amalan makanan di sekolah hanya memberi pendidikan dan kesedaran serta kawalan sementara pelajar di sekolah, sedangkan pemakanan mereka selepas luar sekolah tidak dikawal. Tanggungjawab tidak seharusnya dibebankan dibahu pendidik sahaja.

2. Tindakan bersepadu antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan dan Pengguna agar makanan yang dipasarkan dipantau dari segi khasiatnya – kandungan gula, garam dan sebagainya. Mungkin tindakan pengharaman dan kawalan dari pasaran lebih berkesan dalam menghasilkan warga yang sihat. Harga makanan rencam yang murah menjadikan kegemaran golongan kanak-kanak termasuk pelajar. Seharusnya harga makanan sedemikian tinggi berbanding harga makanan berkhasiat misalnya harga minuman berkarbonat seharusnya lebih tinggi berbanding harga susu UHT.

3. Pemantauan oleh pihak KKM dalam memberi kelulusan pengeluaran makanan untuk warga negara perlu lebih ketat dan tegas agar pihak  pengeluar dapat mengeluarkan makanan yang berkhasiat bukan semata keuntungan.

Friday, April 15, 2011

PEMBELAJARAN MAYA

Segenap pelusuk negara rancak dengan program pengagihan netbook 1Malaysia dan pakej langganan jalur lebar kepada pelajar sekolah. Hasrat kerajaan untuk merealisasikan akses digtial dan internet kepada semua pelajar memang dialukan. Oleh yang demikian sebagai pengisian kepada capaian internet ini, pihak KPM seharusnya mengambil inisiatif untuk menyelaraskan pengisian kandungan pendidikan di alam maya. penggunaan laman blog, laman sosial dan interaktif perlu dipergiatkan agar kandungan akademik dimuatturun sepenuhnya seperti buku teks versi digital atau e-book dan laman pembelajaran intrektif . Program pendidikan maya haruslah dilaksanakan agar netbook 1Malaysia dan akses internet ini dimanafaatkan oleh pelajar sebagai medium untuk meningkatkan pembelajaran dan bukan sekadar menjadi ‘ruang lepak’ yang baru bagi pelajar. Prasarana telah tersedia hanya menunggu pengisiannya sahaja

Friday, April 8, 2011

DUA ISU : GURU PUKUL PELAJAR dan PELAJAR PUKUL GURU

Minggu ini media memaparkan dua isu pendidikan yang masih berulang. Pertamanya guru dikatakan memukul pelajar yang dikatakan mencuri sehingga menyebabkan kematian. Keduanya – pelajar menumbuk guru sehingga patah hidung. Apa yang perlu direnung dan difikirkan …

1. Hasrat guru mendidik pelajar sehingga menyebabkan melampau batas dan mendatangkan kecederaan memang diakui silap dan dipapar sensasi media sehingga mendapat perhatian dan komentar menteri berkaitan. Memang ada kesilapan dalam tindakan dan sering kali mendapat perhatian.

2. Insiden pelajar menumbuk guru semasa cuba membawa pelajar ke bilik  disiplin juga mendapat liputan media cuma sekilas, komentar pihak atasan dan suara pembelaan terhadap guru agak senyap. Peranan ibu bapa dan penjaga juga amat penting dalam membentuk sikap anak-anak

3. Rumusan kedua insiden berkenaan adalah gambaran bahawa cabaran pendidik masa kini amat berat. Kedua-dua situasi menunjukkan hasrat dan niat murni seorang guru ingin mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar dari terus melakukan kesilapan dan melakukan perbuatan yang melanggar disiplin. Kedua situasi adalah tanda guru yang prihatin dan ingin membetulkan kesilapan dan perlakuan pelajar – itulah tugas cabaran guru masa kini…