Monday, November 23, 2015

REFLEKSI UNTUK GURU

REFLEKSI 1 :
Tahun berakhir dengan gelagat pelajar menduduki SPM / STPM dengan penuh debaran. Bagi golongan skor A, nampak dengan merah mukanya bahawa kegusaran andai hasrat tidak tercapai. Ada kelompok pelajar yang nampak selamba dengan ragam ponteng dan lewat, hingga masa peperiksaan pun lewat. Sebahagiannya pula ada yang dinasihatkan untuk tidak hadir demi men hasrat menjaga peratusan dan gps sekolah. Mungkin benar seharusnya Dari awal tahun merreka patut belajar dan diajar. Debaran hanya berakhir dengan keputusan akhir yang ada kalanya memberikan kepuasan atau menjadi medan kritikan.

REFLEKSI 2:
Semasa perjalanan pulang, sempat singgah di Warung Bandung membeli nasi panggang ayam berempah yang enak. Apabila membuat pesanan, disapa seorang pelajar yang bekerja sambilan sementara menunggu kertas SPM berikutnya. Bila ditanya kenapa terlalu awal berkerja .. Ringkas jawapannya "kami dah selesai subjek teras". Mungkin bagi mereka cukup sekadar sijil untuk menempah ruang pekerjaan. Apabila sampai di sekolah, terdengar kelompok pelajar 5H yang bercerita untuk mencari kerja sementara selepas SPM kerana untuk mengumpul wang jika melanjutkan pelajaran nanti. Mereka mempunyai hasrat dan harapan tetapi faktor kewangan mungkin memendekkan langkahnya.

REFLEKSI 3:
Setelah bertahun berlalu seorang pelajar dari kelas terakhir hadir ke sekolah, mencari-cari guru yang mengajarnya dahulu walaupun hakikatnya masa persekolahan dulu dialah yang selalu ponteng kelas guru yang dicari itu. Hadirnya hanya untuk memberi tahu bahawa kini dah tamat kursus membaiki penghawa dingin.

 Tetapi jarang sekali kita lihat pelajar yang kita  bantu bimbing mendapat A atau A+ mencari guru untuk memaklumkan bahawa kini telah berjaya menjadi doktor atau jurutera.



Sunday, November 8, 2015

ROKOK , VAPE, CUKAI dan KESIHATAN

Hari isu hangat diperkatakan antara rokok dan vape. Cukai rokok yang tinggi mendorong perokok beralih kepada rokok elektronik ( vape ) yang didakwa kurang risiko dibandingkan dengan rokok tradisional. Berita terkini menunjukkan hampir sejuta pengguna vape. Saban hari hangat diperkatakan dalam media. Namun apa yang diperhatikan tiada media yang betul serius mengadakan kempen anti-rokok atau vape jika benar-benar prihatin kesihatan awam.

Langkah menguatkuasakan larangan merokok ( mungkin juga vape ) di tempat awam langsung tiada susulan konkrit dalam penguatkuasaan. Saban waktu restoran awam pasti ada pengguna vape atau perokok. Kita tidak melihat statistik dari KKM jumlah kompoun yang telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut biarpun akta memperuntukkannya. Tidak seperti denda pembiakan nyamuk aedes atau kesalahan trafik.  Penguatkuasaan larangan jualan rokok atau vape kepada 18 tahun ke bawah  langsung tiada kesannya atau tidak dilaksanakan. Sekarang kita jadi keliru apakah isu vape ini berintipati kesihatan awam atau pun kiraan keuntungan atas cukai yang bakal dikenakan.

Saturday, October 10, 2015

HARI SUKAN NEGARA : Kesihatan dan Jati Diri

Hari Sukan Negara mengingatkan kita bersukan adalah untuk kesihatan dan perpaduan terserlah melalui sukan. Sayangnya irama saduran seberang menjadi keutamaan dalam acara yang meriah ini . Berubahlah agar menggunakan irama tempatan yang segar lagi menunjukkan jati diri  semua

Monday, September 14, 2015

RINTIHAN SI PENUNGGANG KAPCAI

Syukur cuaca panas hari ini setelah hujan berhari- hari. Sekurang-kurangnya dapatlah aku menoreh getah setelah berjalan ke kebun getah sejauh kira-kira 10 km. Syukur walaupun harga getah kini amatlah murah hanya kira-kira RM2.30 sekilo, setelah dibahagi dengan tuan punya kebun dapatlah kira-kira RM1.20 sekilo. Walaupun harga kini merudum...nak beli sekilo garam pun tak lepas. Namun inilah rezeki yang dikurniakanNya. Kalau cuaca baik .... tiada hujan dapatlah kira-kira RM500 hingga RM800 sebulan. Melihat kepada 7 orang anak-anakku, di mana 3 orang bersekolah di SMK Kinarut yang jauhnya kira-kira 15 km terpaksalah menumpang kereta seorang guru di sana atau pickup tauke sawit...adakalanya berjalan kaki pulang ke asrama ..yang 2 lagi bersekolah rendah di kampung sebelah ...hari-hari berjalan kaki ke sekolah. Cuaca panas mahu pun hujan namun demi menimba ilmu mereka gagahi segalanya. Jika cuaca hujan terpaksalah berkaki ayam ke sekolah mengelakkan kasut usang dicemari lumpur. ... tinggal 2 orang lagi di rumah masih kecil.. dapatlah menemani neneknya yang agak uzur...ketika ibunya mencari sayur-sayur dan ikan sawah untuk santapan tengahari.

Hari ini setelah setahun mengumpul.... dapatlah aku menyediakan wang RM500 untuk membayar pendahuluan bagi aku membeli sebuah motorsikal 'second-hand' EX5 dari sebuah kedai di Putatan dengan harga RM2500 , bakinya akan dibayar secara ansuran sebanyak  RM80.00 sebulan selama dua tahun. Kini aku kembali ke rumah dengan penuh senyuman kerana ku rasakan telah ada kemajuan dalam keluarga ku. Aku tidak lagi perlu sentiasa menagih ihsan rakan sekampung untuk membeli barangan dapur di Pekan Kinarut. Tanpa mengira hujan ...panas mahupun berjerebu... aku akan tetap menunggang kapcaiku untuk urusan keluarga ku....walau ke mana jua. Kini... perjalanan ku ke kebun getah agak mudah sedikit... senanglah aku ingin menjual getah skrap  ke tauke di Pekan Kinarut dengan harga RM2.50 sekilo.. perjalanan ku lebih cepat...mudahlah aku bersama keluarga mencari ikan sungai atau ikan sawah....pucuk sayur kampung....kekadang ulam petai untuk dijadikan barang jualan di Tamu Kinarut setiap minggu hari Sabtu. Sedikit sebanyak dapatlah menambah pendapatan sampingan terutama musim hujan ketika tak dapat menoreh getah.

Dua anak ku yang bersekolah di kampung tidak lagi perlu berjalan kaki...setiap hari sebelum pergi menoreh getah, aku dapat menghantarnya ke sekolah rendah di Mandalipau. Bila pulang tengahari tidak lagi anak-anak kecil ku kepanasan berjalan kaki pulang ke rumah. Dapatlah juga aku setiap hujung minggujntuk melawat anak-anak yang tinggal di Asrama SMK Kinarut, tidaklah mereka rasa terpencil lagi kerana sukarnya mereka bertemu ibu bapa kecuali sebulan sekali masa pulang. Aku juga rasa gembira sekurang-kurangnya nenek mereka yang uzur dapat ku bawa ke Klinik Kesihatan Kinarut untuk mendapat rawatan dalam usianya yang seringkali kurang sihat mungkin kerana darah tinggi atau kencing manis kata seorang HA - pembantu perubatan di situ. Kini dapatlah aku pergi ke Kedai Buku Putatan untuk mencari buku rujukan UPSR dan SPM bagi anak yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka dapatlah aku membawanya ke Kota Kinabalu semasa umur mereka 13 tahun untuk membuat IC...yang mungkin  itulah kali pertama dalam hidup mereka ke KK setelah 13 tahun.... paling gembira bila jualan ku di Tamu Kinarut sentiasa laris ..dapatlah menampung belanja dapur..kalau mengharapkan BR1M manalah cukup dahlah dibayar ansuran...sudahlah permohonan untuk mendapat rumah PPRT asyik senarai menunggu jawapannya setiap kali musim pilihanraya.

Itulah kehidupan ku dengan motorsikal kapcai secondhand itu...amat ku syukuri kerana ianya menjadikan kehidupan kami sekeluarga bertambah baik. Namun apabila membaca di surat khabar atau melihat berita di TV1 yang itulah sahaja aku ada, kerana nak melanggan ASTRO manalah termampu.... berita kemalangan jalanraya melibatkan motorsikal sesekali menakutkan diri ku setiap kali menunggang kapcai kebanggaanku... Ya...Aku memahami kami penunggang kapcai ini ibarat buah timun dengan durian.... mengilis sakit digilis menderita.... namun itulah rezeki ku... memang sesekali rasa marah juga apabila terpalit dek rakan muda rempit yang menunggang kapcai yang menganggu pengguna jalanraya lain secara berbahaya. Ibarat kata orang dek nila setitik rosak susu sebelanga. Tapi kepada siapalah aku hendak mengadu ..apatah lagi meminta ..aku insan kerdil ini manalah orang atasan mendengar rayuanku.

Menunggang di tengah jalan amat berisiko tinggi...tersilap terhimpit atau tergesel kenderaan lain...berada di sisi tepi jalan juga berbahaya kerana bahu jalan amat tinggi tersilap terus jatuh ke tepi.... mesti dikata pemandu lain...laju lah tu...rempitlah tu...terbabas baru rasa.... Namun untuk meminta dilebarkan jalan untuk dibuat lorong motorsikal ...siapalah dengan rayuan si kapcai ini....dengar kata anak ku guru di sekolah pun berkali-kali meminta pihak berkenaan membuat kemudahan melintas untuk pelajar sehingga kini masih belum nampak hasilnya.... walaupun begitu aku amat bangga dengan kapcai ku ini....walau ada ketikanya disiram lopak lumpur bila berselisih dengan lori besar... ada ketikanya berpeluh menyorong bila tayarnya pancit...tapi bakti kapcai ku amat tidak ternilai. Dengannya aku mencari rezeki....menghantar anak ke sekolah...sesekali berbakti kalau ada orang kampung yang sakit ingin ke klinik, asalkan sudi membonceng kapcai secondhand ini....

Mengingatkan kemalangan jalanraya memang menakutkan....penunggang kapcai seperti ku.. melanggar sakit dilanggar lagi derita. Apatah pula jika terlanggar kenderaan yang mahal lagi jenama import.. jika diminta aku membayar gantirugi pastilah aku tak mampu....hendak mengganti signal yang pecah pun jika hujung bulan tambahan musim hujan ....tak dapat menoreh berfikir empat lima kali juga....mungkin kosnya cuma RM20 hingga RM50 sahaja...samalah harga sekampit beras untuk makan sekeluarga sebulan..... sebab itulah aku sentiasa berhati-hati semasa menunggang kapcai ku....tambahan pula jika kapcai ku tersadai ....bagaimana pula nak menghantar anak-anak ke sekolah, menoreh getah atau membawa sayuran dan ikan ke Tamu Kinarut... Itulah satu-satunya kenderaan ku yang ada........kalau begitu tak berasaplah dapur ku seminggu.. Atas nama keselamatan diri aku seperti penunggang kapcai lain dinasihatkan agar lebih berhati-hati demi keselamatan diri namun aku memohon sedikit simpati berilah ruang untuk ku berkongsi sejalur jalanraya walaupun kami menyedari kami hanya membayar RM2.00 untuk roadtax JPJ.

Namun kini masa berlalu....telah berubah segalanya... kapcai ku masih teguh berkhidmat ke kebun itu...tapi kini kebun ku sendiri.....dapatlah hasilnya untuk menghantar belanja anak ku masuk U hujung September ini...sekurang-kurangnya aku berharap mereka dapatlah menaik 'belon' untuk ke KL melihat menara KLCC yang semua orang Malaysia megah dengannya. Setiap kali aku melihat orang kampung menunggang kapcai...hatiku jadi sayu dan bersyukur kerana rahmatNya.

Nota : Kisah ini hanya rekaan semata-mata tidak melibatkan sesiapa juga...Lokasi tempat hanyalah untuk memberi penghayatan jauh jarak sesuatu tempat dan gambaran kehidupan suasana kampung...ia tidak berkaitan dengan apa jua hanya kebetulan semata-mata.

Thursday, August 27, 2015

NIAT MURNI GURU SENTIASA DIBERI PERTOLONGAN

Setiap pagi rabu yang dingin seperti biasa perhimpunan pagi, majlis ilmu yang ditunggu oleh pelajar yang akur dan tertib dengan peraturan sekolah. Namun sebahagiannya ada juga yang mengelakkan diri dari perhimpunan bagi dengan trauma kepada pemeriksaan rutin dengan unit disiplin.  Semasa aku melaksanakan rutin melakukan rondaan luar sekolah, kelihatan tiga pelajar lelaki yang memakai baju kadet polis dan baju sukan berwarna merah, apabila terserampak pelajar itu cuba melarikan diri ke arah Jalan Lepasan Kinarut A1. Aku mengikutinya dengan rapat dan didapati pelajar itu menyorok diri ke belakang sebuah rumah penduduk di situ. Tiba-tiba muncul dua ekor anjing penjaga rumah tersebut menghampiri. Agak garang anjing tersebut...... agak gementar juga terasa. Dalam benak hati berkata... "aku hanya mencari pelajarku yang ponteng". Dengan pantas anjing tersebut berpaling ke arah pelajar tersebut lalu mengejar dan menyalak ke arah pelajar yang ponteng tersebut lalu mengejar pelajar yang ponteng lantaran pelajar itu bergegaskan melarikan ke arah belukar yang berdekatan.... Dalam hati berkata "binatang pun membantu tugas murni ini....."

Saturday, May 2, 2015

MERENUNGI SEORANG GURU

03 Mei 2015 kini genap 20 melalui perjuangan sebagai seorang guru. Dari guru baru hinggalah kini mungkin sebagai guru kanan atau rujukan rakan setugas. Namun demikian bersamalah kita bermuhasabah untuk keberkatan bersama ;
1. Kebanyakan kita menghitung peratusan atau bilangan pelajar yang berjaya mencapai gred terbaik dalam pelajaran diajari. Namun sesekali kita renungi berapa yang gagal dalam akademik tetapi kita dapat membentuk akhlaknya... siapa yang menyapa kita dijalanan?
2. Setelah melalui ketiga aspek pengurusan kurikulum, ko-kurikulum dan hal ehwal murid, dapat merasakan perbezaan tuntutannya.
3. Kurikulum mudah diurus kerana kebanyakan sedar tugas hakiki, namun tuntutan kecemerlangan amat mencabar dengan adanya GPS, KPI  dan 'new deal' agak sedikit mencalar tradisi ilmu apabila penawaran hanya kepada yang dijamin cemerlang.
4. Ko-kurikulum menarik minat pelajar dan guru yang memang teruja dalam bidang itu. Pengorbanan masa dan kewangan guru untuk melihat kejayaan dan pingat sememangnya sering dipinggirkan. Pelajar juga amat teruja mencipta kejayaan yang membina jati diri, namun sedikit perlu difikirkan agar dapat membimbing selaras tuntutan agama dalam kesukanan dan unsur hiburan.
5. Pengurusan disiplin dan sahsiah tidak dapat diukur dengan GPS atau pingat. Perubahan sikap yang ingin dicapai amat subjektif. Kecenderungan publisiti kepada kepincangan merupakan cabaran. Ini menjadikan ramai guru 'mengelak' terlibat dalam pengurusan disiplin dan hal ehwal murid. Penyingkiran pelajar ada kalanya menimbulkan rasa kebersalahan. Namun dapat guru melihat anak didik dengan penuh keinginan untuk dibentuk dari dicemuh atas kenakalannya. Inilah dugaan Allah kepada guru, agar tabah mendidik dengan ikhlas hati tanpa kebencian walaupun anak didik ponteng berkali namun guru memujuknya berjuta kali kerana telah tersurat batu yang keras dilembutkan titisan air tetapi persoalanya air yang bagaimana....

Thursday, April 30, 2015

SELAMAT HARI PEKERJA DAN HARI GURU

Selamat menyambut Hari Pekerja pada 01 Mei....
Selaku pekerja hendaklah kita melunaskan amanah sebaiknya.
Sebagai majikan berilah imbalan sebelum kering keringat

Selamat Hari Guru.........
Dahulu kita dididik oleh guru yang gigih tanpa mengira
Bertapa nakalnya kita.....tidak sekali guru kita menyuruh
Kita menamatkan persekolahan atau mengugurkan matapelajaran...maka suburnya budaya ilmu...
dan jadilah kita seorang guru........ dengan gigih kita mendidik sehingga dibelengu tuntutan peningkatan peratusan, A+ dan tawaran baru....yang sedikit sebanyak meracuni budaya ilmu....

Friday, April 17, 2015

PELAJAR dan HP

1. Hampir semua pelajar kini ada telefon bimbit yang amat penting benar bagi mereka...seolah-olah tiada telefon hidup tak sempurna.
2. Bagi yang beretika bagus menghormati peraturan dan situasi, sebaliknya bila ditahan ibarat kiamat dunia mereka.
3. Teknologi tidak salah tetapi perlu diajar menggunakan teknologi sebagai hanya salah satu alat untuk menambahkan pengukuhan ilmu.
4. Jika kita kaji mungkin hanya tak sampai 1% mengunakan telefon untuk keseronokan pendidikan dan pengukuhan ilmu.
5. Kita semua berperanan untuk mendidiknya

Monday, January 26, 2015

HUJAN dan PONTENG SEKOLAH

Hujan....saat yang dinantikan bila pulang sekolah. Ini kerana hujan membantu menghindari pelajar yang ingin menunjukkan kenakalan. Pelajar sibuk untuk pulang terus .....maka hasrat untuk mencari gaduh, ponteng sendirinya terbatal.
Hujan pagi.... memberi erti ketabahan hati seorang pelajar ingin menuntut ilmu ke sekolah. Hujan sahaja.....berapa ramai ponteng dengan alasan hujan.....sengaja memakai selipar dengan alasan hujan...sengaja memakai baju-T dengan alasan hujan...maka hujan dijadikan musabab atau alibi....
Semasa ketika zaman persekolahan dulu....hujan mengajar erti ketabahan. Ketika itu payung yang ada dikongsi dengan adik beradik. Pernah juga menggunakan plastik kampit beras penganti payung.... kasut dibungkus dengan plastik mengelak basah.....bila sampai dipakai semula......cuma satu keseronokan hujan bila ke sekolah ialah tiada subjek PJK....semenangnya paling malas waktu PJK .....