Sunday, February 27, 2011

REFORMASI MEDIA : Kejujuran….

Dunia hari ini disajikan dengan berita sensasi dari media multi-medium – cetak atau elektronik.  Namun sejauh mana media memaparkan maklumat yang benar-benar jujur dan berkecenderungan kepada mana-mana pihak dan bebas secara tulen.

1.  Pergolakan rantau Timur Tengah – Mesir, Tunisia, Libya memaparkan pelbagai analisis dan komtar media. Kita mendapat gambar dari media yang pasti condong kepada mana-mana pihak yang disokong. Kita hanya mendapat saluran daripada orang tengah iaitu media antarabangsa. Sumber yang telah disadurkan dengan sokongan tertentu.

2.  Pilihanraya dan media sering menjadi kaitan rapat sama ada parti kerajaan atau pembangkang.  Media pro-kerajaan atau pro-pembangkang pasti melaporkan apa yang menguntungkan kelompok yang disokong bukannya maklumat yang telus dan tulen. Hanya yang berada di lokasi itu sahaja yang boleh memberi penilaian tapi semua pihak tidak suka pembohongan dan kepalsuan.  Bilakah senario ini akan berubah…..

Thursday, February 17, 2011

GURU : AGEN PERUBAHAN

Tahniah diucapkan kepada sekolah yang tercalon sebagai SBT ( Sekolah Berprestasi Tinggi ). Ini menunjukkan bahawa peranan guru sebagai agen membawa perubahan menunjukkan impaknya. Keupayaan terserlah bagi semua SBT sama ada di bandar atau luar bandar seperti SK Ulu Lubai, Sarawak dengan pencapaian tersendiri. Itu merupakan suatu kejayaan kepada semua golongan pendidik khususnya. Idea yang gemilang mampu melonjakkan kecemerlangan.  Namun demikian, kita semakin sepi dengan satu hasrat besar yang dipopularkan beberapa tahun lepas – ke arah sekolah satu sesi. Sehingga kini masih belum terurai persoalan tersebut. Belum lagi mengambil kira hasil kajian NUTP terhadap beban tugas guru, nisbah antara guru dan murid dalam kelas untuk mencapai keberkesanan tugas. Walaupun kejayaan SBT diakui membanggakan tetapi kita perlu ingat majoriti modal insan masih berada di sekolah kategori biasa yang perlu dilonjakkan juga. Menyorot kepada lipatan sejarah, kelompok guru merupakan agen perubahan yang meniupkan semangat untuk mencapai kemerdekaan – ia terbukti dengan ketokohan pendidik era SITC ( Sultan Idris Training Center ) yang kini dinaiktaraf kepada UPSI.  Apa juga yang berkaitan dengan sekolah ( guru ) akan menjadi perhatian semua lapisan dan merentasi semua inspirasi politik. Dari kisah cuti sakit guru jadi bahan politik di PRK Tenang, hingga terkini di media memaparkan guru diarah menghadiri majlis perasmian – tidak pasti benar atau tomahan. Apa yang nyata apa juga program yang diadakan pastinya melibatkan guru – pelajar. Bilangan terbesar yang menjayakan sambutan utama negara – Kemerdekaan, Perarakan, perasmian sukan dan sebagainya pasti akan mengerah ( secara patriotik , sukarela, paksa rela atau apa juga ) tenaga pelajar dan guru. Tanpa mereka pastinya program yang meriah jadi hambar. Itulah segalanya peranan guru yang menyeluruh. Jadi secara rasionalnya ada kewajaran kalau kenaikan RM500 gaji guru seperti manifesto parti tertentu. Apa yang utama guru merupakan kelompok kakitangan awam yang terbesar di negara kita… …. Usahlah takut melabur untuk meningkatkan kecekapan kelompok terbesar ini kerana impaknya pasti merangsang kecemerlangan negara juga…..

Tuesday, February 15, 2011

BUDAYA LAMA DIBERI NAFAS BARU

Zaman telah berubah namun terdapat budaya yang masih belum berubah tetapi diberi nafas baru.

1. Duduk bersembang sambil minum secawan kopi di kedai selalunya hobi yang selalu ketara dan dikatakan merugikan masa kerana membuang masa atau melepak. Budaya ini telah berlaku berzaman dahulu, pada zaman itu hanya itulah media yang ada untuk mendapatkan berita terkini dan perkembangan masa. Kini budaya sembang kedai kopi diberi nafas baru dengan sembang alam maya. Kalau sembang kedai kopi – baca akhbar, main dam, carom dan sebagainya. Dalam nafas baru sembang alam maya – media internet, laman sosial – facebook, twitter, blog dan permainan alam maya. Jika dihalusi dinilai kita haruslah bijak agar masa yang diluangkan sama ada di kedai kopi atau alam maya memberikan manafaat yang besar disamping mengeratkan silaratulrahim.

2. Ingat zaman kanak-kanak seperti lagu M Nasir – anak kecil bermain “perang” dengan menggunakan senapang kayu dengan peluru terung. Pasti semua dapat mengimbau kenangan zaman kanak-kanak tersebut dan menjadi permainan yang popular bagi anak lelaki terutama di desa. Permainan itu memang menarik dan memupuk semangat berpasukan. Kini ia diberi nafas baru yang menjadi kegemaran masa kini – PaintBall. Rentak permainan hampir sama cuma diberi nafas, peralatan, gelanggang baru yang tidak mampu dimainkan oleh anak-anak di kampung.

Semoga dalam perkembangan era teknologi ini, dapat kita menyerap budaya yang sedia ada dihidupkan semula dengan acuan baru. Agar permainan tradisional tidak hilang ditelan zaman mungkin boleh ditukar rupa permainan digital.

Monday, February 14, 2011

KUCHING : KEBERSIHAN BANDAR

Dalam kunjungan ke Bandaraya Kuching pada 2006, 2009, 2010 dan  2011 ( telah hampir 4 kali ) , apa yang amat menyentuh dan menarik hari ialah tahap kebersihan Bandaraya Kuching. Dari kawasan tarikan awam – menyusuri jalan-jalan di Waterfront hingga ke gerai makan di Kg Gersik – amat menarik dan yang utama bersih. Aspek kebersihan seolah-olah telah mejadi nadi budaya bagi bandaraya tersebut. Tahap kebersihan bandaraya amat membanggakan – pasti ini semua hasil penglibatan dan sumbangan semua pihak dan segenap lapisan. Jarang sekali kalau kita berjalan-jalan ke kawasan gerai makan awam yang terbuka, tahap kebersihan amat baik dan  membanggakan. Jika kita berjalan di sekitar Chow Kit atau Jalan Masjid India di Kuala  Lumpur, kawasan gerai awam, tahap kebersihan masih kurang memuaskan kecualilah kawasan yang agak mewah. Begitu juga bandar kecil seperti Bau walaupun bandar kecil tetapi kebersihanya amat membanggakan.  Ini menjadikan ia bandaraya yang istimewa.  Mampukah bandaraya lain di Malaysia mengikutinya.

Monday, February 7, 2011

FENOMENA PELAJAR LELAKI

Sekilas untuk menilai situasi di mana-mana institusi pendidikan masa kini semuanya pasti memikirkan femomena pelajar lelaki:

1. Nisbah lelaki dan perempuan dalam institusi pendidikan masa kini amat jauh jurangnya. Adalah benar pelajar lelaki kurang bijak? Apakah sistem pendidikan masa kini hanya memenuhi ‘kehendak’ atau ‘naluri’ gaya pembelajaran pelajar perempuan di mana kecemerlangan hanya diukur dari angka dan nilai “A”.  Sesuatu yang mencabar dan memenuhi ‘gaya pembelajaran pelajar lelaki’ perlu dicari untuk mengatasi demografi pendidikan hari ini.

2. Sebilangan pelajar masa kini masih mempunyai budaya malu untuk “kehadapan” dan budaya biarlah orang lain yang lebih maju. Mengapa peluang yang terbentang luas bukannya diri sendiri yang rebut bukannya orang lain.

Demografi nisbah antara jantina dalam semua bidang perlu diseimbangkan kembali ….

Saturday, February 5, 2011

PERJALANAN KOTA KINABALU - MIRI

Inspirasi Perjalanan Darat dari Kota Kinabalu – Miri pada 2 – 5 Februari 2011

1.  Kelancaran perjalanan ketara apabila jambatan di Temburong memberi keselesaan perjalanan. Mungkin sebahagian dari projek Lebuhraya TransBorneo . Mungkin perlunya tindakan segera untuk kelancaran perjalanan dari Papar – Sindumin yang seharusnya jalan diperbesarkan untuk keselesaan umum memandangkan ia merupakan laluan utama dari KK-Brunei-Miri. Gambaran perjalanan belum banyak berubah sejak 2008.

2. Keindahan Taman Awam Miri yang dilengkapi dengan jambatan gantung dan kemudahan rekreasi yang mengekalkan kehijauan alam semula jadi.  Setanding dengan kemudahan terkini di Kota Kinabalu – Perdana Park yang mempamerkan air pancutan berirama. Intipati kita semua perlu rehat dan rekreasi untuk kecergasan dan kecerdasan diri.

3. Semasa di Brunei apa yang menarik perhatian selain daripada kecanggihan jalanraya dan harga petrol yang agak rendah, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu khususnya tulisan jawi amat membanggakan. Semua papan tanda gedung membeli belah utama didahului dengan Bahasa Melayu dengan tulisan jawi. ini mungkin boleh dipraktikkan dalam usaha kita merealisasikan hasrat MBMMBI.