Thursday, August 18, 2016

KISAH 3 PELAJAR DI HATI KU......

Ingin diabadikan kisah 3 pelajar ini untuk dijadikan pedoman mahupun jenaka hiburan kala hari kerungsingan. Mungkin bagi sesetengah kita, tidaklah penting namun terkesan juga di hati......

Pelajar A:
Sentiasa berada di perpustakaan dan merupakan pelajar harapan dari kelas harapan. Dengan jawatan yang ada asyik di sofa sambil menggunakan telefon bimbit pelajar B untuk mengemaskini permainan Clash of Clan ringkasnya COC. Apabila telefon di tahan dan disoal barulah mengakui telefon milik rakannya pelajar B dan sedang bertugas. Ditanya lagi kenapa keluar dari program Bintang...ringkas jawapannya tak dapat ikut jadual balik lewat hanya hari tertentu sahaja berada di sekolah. Akhirnya dengan yakin pelajar ini menjelaskan ...memang tahu kesalahan bawa telefon , sebab itu guna telefon kawan kerana dah lebih dua minggu tak dapat kemaskini COC..Apabila diminta nombor penjaga....jawapan ringkas penuh adab tidak ingat...Akhirnya pelajar ini diarah kembali meneruskan tugas jawatannya.

Pelajar B:
Meskipun dari kelas yang terakhir yang seringkali tidak menjadi sandaran atau harapan juga berada di perpustakaan sambil membelek buku Bahasa Inggeris di atas sofa yang sama dengan pelajar A tadi. Mungkin tidak memahami kandungan buku tersebut tetapi pastinya saling memahami taktik dan teknik permainan COC. Oleh kerana pelajar merupakan pemilik sebenar telefon bimbit yang digunakan pelajar A tadi, ditanya kenapa balik lewat dan membawa telefon bimbit serta membenarkan rakan guna telefon bimbitnya. Dengan ayat yang kurang teratur perjelasannya..... selepas kelas tambahan nanti jam 230 dia akan terus ke gerai sayuran no 34 depan Rosegarden untuk berganti shif dengan ibunya menjual sayuran. Ibunya akan pulang dahulu untuk memasak makan malam kemudian barulah bapanya yang pulang kerja mengambilnya setelah menutup gerai malam nanti. Apabila diminta nombor telefon penjaga terus diberikan dengan tulus. Pengesahan penjaganya dengan ceritanya amat benar dan ibunya terus hadir ke sekolah untuk mengambil telefon dan anaknya....

Pelajar C:
Dalam keterikan matahari sambil minum air kelapa dan mencangkul tanah untuk diratakan sebagai projek kerja kursus. Dipelawanya juga....."cikgu nak minum panas ni..".. Setelah menolak pelawaan lalu ditanya pelajar C serta rakannya...." apa yang dicangkul ...untuk apa". Dengan gurauan tulus, pelajar C menjelaskan....."kami sedang menyediakan 5 kuburan". Walaupun mengetahui jawapan agak merapu maklumlah selalu dianggap kelas bukan harapan walau dah lima tahun persekolahan. Namun hati ingin tahu pemikirannya..lalu ditanya 5 kuburan untuk siapa.....? Dengan yakin juga penjelasannya... kuburan pertama dan kedua untuk rakan kami yang sering ponteng kelas sebab ramai tu, kuburan ketiga untuk rakan kami yang melawan guru dan suka menyusahkan guru, kuburan keempat untuk rakan yang kami benci. Kemudian ditanya lagi kuburan kelima untuk siapa?. Dijelaskan dengan rapi seperti seorang guru mengajar dalam kelas, kuburan kelima itu istimewa  dibuat jauh sedikit dari yang lain...itu untuk cikgu kami yang sering lewat atau tidak masuk kelas....( dalam hati memang terasa sepintas kurang ajar tetapi perbanyakkan bersabar ).... Diteruskan pertanyaan....ingin mengetahui kenapa dijauhkan....penjelasannya mudah... kami tak mahu masa rakan kami disiksa kerana nakal, ponteng, melawan nanti terkena guru kami, sebab walaupun dia lewat atau tak masuk ....mungkin dia ada kerja dan tetap sayang kami walau kami tak pandai...
Sambil beredar diberitahu seorang pelajar ...."kami bergurau aje cikgu....itu untuk projek laluan pejalan kaki bukan kuburan"...
Dengan senyuman beredar dari situ sambil di hati benarlah kita semua akan mati nanti..
Dalam perjalanan terbayang-bayang wajah pelajar A,B dan C...lalu berkata untungnya mendapat pelajar B dan C....

Thursday, June 16, 2016

RAMADHAN, RANCANGAN MASAKAN dan PERATURAN KESIHATAN

Syukur Ramadhan menjelang tiba...bulan barakah yang dinantikan oleh umat Islam. Semua pihak segenap lapisan meraikan kehadiran ramadhan dengan pelbagai agenda dan aturcara. Saluran TV pun tidak ketinggalan meraikan dengan memenuhi rancangan masakan dengan pelbagai teknik tetapi intipatinya rancangan masakan. Mengapakah budaya ini masih berkekalan hingga kini..... seolah-olah menjadikan ramadhan bulan makanan sedangkan ia sebaliknya. Apa yang paling menyedihkan kebanyakan ( hampir semua ) rancangan memasak di media tidak mematuhi peraturan kesihatan yang paling utama penyedia makanan perlu memakai apron, penutup kepala dan memastikan kuku pendek. Siapa pun tamu jemputan rancangan seharusnya mematuhi peraturan penyediaan makanan sebagai teladan. Jika pihak kesihatan sering memberi teguran kepada pengusaha gerai, kantin, penjual makanan ....seharusnya rancangan tersebut dijadikan pendidikan kesihatan memasak secara sihat selaras dengan peraturan kesihatan.

Sunday, May 8, 2016

MASYARAKAT CAKNA

Merungkai isu permasalahan remaja khususnya pelajar hari ini, kita tidak lepas gejala ponteng, rokok, pergaduhan dan mungkin gejala sosial yang lebih parah. Apabila berlaku insiden, dengan mudah kita akan menunjuk arah kepada sekolah dan guru di sekolah. Inilah peranan utama guru masa kini , dapat menangani segala situasi dan tekanan perkhidmatan.

Peranan mendidik itu tidak terhad dalam bilik darjah dan dengan itulah pemberatan bermula dari rumah serta memerlukan kerjasama masyarakat persekitaran. Budaya saling menegur dan  mendidik dalam masyarakat kini terkakis atau dibelenggu oleh 'budaya hal sendiri' dan 'tidak menjaga tepi kain'. Kesannya anak-anak kehilangan pemandu arah bila berada dalam masyarakat.

Friday, April 29, 2016

USAHAWAN DI SEKOLAH BUKAN SEKADAR NILAI RINGGIT

Sekolah mempunyai tarikan pasaran tersendiri buat pencebur bidang keusahawanan. Mungkin kerana tersedia pelanggan yang tetap dan hanya sedikit usaha dapat menjana keuntungan. Dengan itu pengusaha sentiasa bersaing untuk mendapatkan ruang peniagaan di kantin sekolah. Pelbagai janji manis dalam sebutharga dan harapan yang diberikan untuk menjadikan yang terpilih. Ada juga yang sanggup melibatkan diri dalam amalan rasuah sama ada sebagai perasuah atau dirasuah hanya untuk mendapatkan peluang dengan pelanggan tersedia. Namun ada yang berjaya memberikan khidmat terbaik disamping menjana keuntungan, ada juga sebaliknya.

Usaha mendidik pelajar dalam bidang keusahawanan dilaksanakan dalam kegiatan kokurikukum di sekolah melalui penubuhan koperasi sekolah, CoopMart  kelab usahawan, ProTune yang dijelmakan dari tunas niaga. Inisiatif yang amat sihat dalam menjana budaya usaha niaga. Ianya disemarakkan lagi dengan pelbagai anugerah dan pertandingan yang seringkali diukur dengan nilai ringgit yang berjaya dijana.

Dalam pertembungan ini, seringkali produk makanan menjadi bahan utama usahawan tersebut. Meninjau bagi yang proaktif menunjukkan usaha gigih sehingga berjaya menjelmakan ala pasar mini atau kedai runcit. Ia disemarakkan lagi dengan anugerah yang gilang gemilang yang seringkali dijadikan kayu pengukur pencapaian.

Mengapa dalam pertembungan ini , suasana persaingan sihat tidak diamalkan sepenuhnya dengan pematuhan kepada pekeliling sedia ada oleh semua pihak. Biar pasaran dan pelanggan yang menentukan pilihannya.

Harapan semua agar semua medan keusahawan yang tersedia di sekolah dapat melahirkan usahawan yang berilmu dan mengutamakan barakah serta tidak hanya semata-mata memenuhkan kantung nilaian ringgit.

Wednesday, April 6, 2016

TAKDIR PERKHIDMATAN

Saban tahun bulan mencabar adalah Jun dan Disember. Kebiasaannya permohonan pertukaran penjawat awam akan diproses dan akhirnya disampaikan sama ada disambut dengan kegembiraan atau kehampaan. Itulah hakikat takdir yang telah tersurat dalam perkhidmatan. Namun demikian kita hendaklah mengukuhkan niat kita dalam perkhidmatan. Ikhlaskan hati kita untuk berbakti demi kebaikan nusa bangsa. Andai kita berkhidmat di desa tempat tumpah darah kita curahkan dengan lebih lagi untuk kemajuan desa dan kebanyakanya ada talian darah, bukannya mencari helah untuk bersantaian. Mungkin yang berkhidmat di rantau orang, usahlah rasa terasing dan curahkan bakti yang terbaik walau mungkin ada sedikit cabaran penerimaan . Namun apa juga pun luruskan hati agar bakti diberkati.

Saturday, March 12, 2016

GURU FOKUS MENDIDIK BUKAN MENTADBIR

Saranan agar guru hanya fokus kepada mendidik yakni menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas telah lama  kedengaran. Ia sering didendang dialun dan didendang setiap kali perubahan pucuk pimpinan. Hari ini sekali lagi dendangan itu dialukan oleh TPM, meniup harapan baru yang disambut oleh serata guru yang dibebani kepelbagaian fungsi.

Antara saranan yang telah lama dinantikan dalam mengurangkan bebanan pentadbiran guru yang sentiasa diseru dipohon dinantikam;
i. Pembantu guru yang disaran telah lama tapi belum nyata jawatannya.
   Adakah anak muda menolak seperti sektor 3D.
ii. Warden asrama yang dilantik penuh juga pernah disarankan namun belum realiti.
iii. Tugasan perkeranian, kemasukan data, penyusun kertas dan tugas sokongan guru.

Namun kita mengharapkan dendangan indah itu menjadi kenyataan. Ini kerana guru telah kerapuhan emosi menjalani kepelbagaian fungsi - pengawal, tukang kayu, tukang paip, juru kimpalan, tukang masak, pemandu pelajar dan sebagainya yang telah lama terlaksana atas nama untuk anak murid untuk anak didik untuk kesempurnaan pendidikan.

Saturday, January 16, 2016

KEMBALI KE SEKOLAH

Awal Januari bermula, semua sibuk dengan persediaan kembali ke sekolah. Ibu bapa sibuk mengira-gira peruntukan untuk persekolahan dalam kesempitan kos sara hidup yang meningkat. Keperluan persekolahan yang juga tidak terlepas dari GST. Anak-anak girang ingin bertemu rakan yang lama bercuti. Bagi yang berjaya dalam UPSR , PT3 amat teruja untuk menunjukkan kepada rakan telefon bimbit baru hadiah kejayaan. Guru amat teruja dengan tugasan baru walaupun sedikit tertekan bila masih belum bersatu dengan ahli keluarga. Hinggakan peniaga sibuk meraih keuntungan dengan promosi kembali ke sekolah, bahkan ahli politik juga mengambil peluang mendekati rakyat melalui program kembali ke sekolah.