Thursday, June 16, 2016

RAMADHAN, RANCANGAN MASAKAN dan PERATURAN KESIHATAN

Syukur Ramadhan menjelang tiba...bulan barakah yang dinantikan oleh umat Islam. Semua pihak segenap lapisan meraikan kehadiran ramadhan dengan pelbagai agenda dan aturcara. Saluran TV pun tidak ketinggalan meraikan dengan memenuhi rancangan masakan dengan pelbagai teknik tetapi intipatinya rancangan masakan. Mengapakah budaya ini masih berkekalan hingga kini..... seolah-olah menjadikan ramadhan bulan makanan sedangkan ia sebaliknya. Apa yang paling menyedihkan kebanyakan ( hampir semua ) rancangan memasak di media tidak mematuhi peraturan kesihatan yang paling utama penyedia makanan perlu memakai apron, penutup kepala dan memastikan kuku pendek. Siapa pun tamu jemputan rancangan seharusnya mematuhi peraturan penyediaan makanan sebagai teladan. Jika pihak kesihatan sering memberi teguran kepada pengusaha gerai, kantin, penjual makanan ....seharusnya rancangan tersebut dijadikan pendidikan kesihatan memasak secara sihat selaras dengan peraturan kesihatan.

Sunday, May 8, 2016

MASYARAKAT CAKNA

Merungkai isu permasalahan remaja khususnya pelajar hari ini, kita tidak lepas gejala ponteng, rokok, pergaduhan dan mungkin gejala sosial yang lebih parah. Apabila berlaku insiden, dengan mudah kita akan menunjuk arah kepada sekolah dan guru di sekolah. Inilah peranan utama guru masa kini , dapat menangani segala situasi dan tekanan perkhidmatan.

Peranan mendidik itu tidak terhad dalam bilik darjah dan dengan itulah pemberatan bermula dari rumah serta memerlukan kerjasama masyarakat persekitaran. Budaya saling menegur dan  mendidik dalam masyarakat kini terkakis atau dibelenggu oleh 'budaya hal sendiri' dan 'tidak menjaga tepi kain'. Kesannya anak-anak kehilangan pemandu arah bila berada dalam masyarakat.

Friday, April 29, 2016

USAHAWAN DI SEKOLAH BUKAN SEKADAR NILAI RINGGIT

Sekolah mempunyai tarikan pasaran tersendiri buat pencebur bidang keusahawanan. Mungkin kerana tersedia pelanggan yang tetap dan hanya sedikit usaha dapat menjana keuntungan. Dengan itu pengusaha sentiasa bersaing untuk mendapatkan ruang peniagaan di kantin sekolah. Pelbagai janji manis dalam sebutharga dan harapan yang diberikan untuk menjadikan yang terpilih. Ada juga yang sanggup melibatkan diri dalam amalan rasuah sama ada sebagai perasuah atau dirasuah hanya untuk mendapatkan peluang dengan pelanggan tersedia. Namun ada yang berjaya memberikan khidmat terbaik disamping menjana keuntungan, ada juga sebaliknya.

Usaha mendidik pelajar dalam bidang keusahawanan dilaksanakan dalam kegiatan kokurikukum di sekolah melalui penubuhan koperasi sekolah, CoopMart  kelab usahawan, ProTune yang dijelmakan dari tunas niaga. Inisiatif yang amat sihat dalam menjana budaya usaha niaga. Ianya disemarakkan lagi dengan pelbagai anugerah dan pertandingan yang seringkali diukur dengan nilai ringgit yang berjaya dijana.

Dalam pertembungan ini, seringkali produk makanan menjadi bahan utama usahawan tersebut. Meninjau bagi yang proaktif menunjukkan usaha gigih sehingga berjaya menjelmakan ala pasar mini atau kedai runcit. Ia disemarakkan lagi dengan anugerah yang gilang gemilang yang seringkali dijadikan kayu pengukur pencapaian.

Mengapa dalam pertembungan ini , suasana persaingan sihat tidak diamalkan sepenuhnya dengan pematuhan kepada pekeliling sedia ada oleh semua pihak. Biar pasaran dan pelanggan yang menentukan pilihannya.

Harapan semua agar semua medan keusahawan yang tersedia di sekolah dapat melahirkan usahawan yang berilmu dan mengutamakan barakah serta tidak hanya semata-mata memenuhkan kantung nilaian ringgit.

Wednesday, April 6, 2016

TAKDIR PERKHIDMATAN

Saban tahun bulan mencabar adalah Jun dan Disember. Kebiasaannya permohonan pertukaran penjawat awam akan diproses dan akhirnya disampaikan sama ada disambut dengan kegembiraan atau kehampaan. Itulah hakikat takdir yang telah tersurat dalam perkhidmatan. Namun demikian kita hendaklah mengukuhkan niat kita dalam perkhidmatan. Ikhlaskan hati kita untuk berbakti demi kebaikan nusa bangsa. Andai kita berkhidmat di desa tempat tumpah darah kita curahkan dengan lebih lagi untuk kemajuan desa dan kebanyakanya ada talian darah, bukannya mencari helah untuk bersantaian. Mungkin yang berkhidmat di rantau orang, usahlah rasa terasing dan curahkan bakti yang terbaik walau mungkin ada sedikit cabaran penerimaan . Namun apa juga pun luruskan hati agar bakti diberkati.

Saturday, March 12, 2016

GURU FOKUS MENDIDIK BUKAN MENTADBIR

Saranan agar guru hanya fokus kepada mendidik yakni menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas telah lama  kedengaran. Ia sering didendang dialun dan didendang setiap kali perubahan pucuk pimpinan. Hari ini sekali lagi dendangan itu dialukan oleh TPM, meniup harapan baru yang disambut oleh serata guru yang dibebani kepelbagaian fungsi.

Antara saranan yang telah lama dinantikan dalam mengurangkan bebanan pentadbiran guru yang sentiasa diseru dipohon dinantikam;
i. Pembantu guru yang disaran telah lama tapi belum nyata jawatannya.
   Adakah anak muda menolak seperti sektor 3D.
ii. Warden asrama yang dilantik penuh juga pernah disarankan namun belum realiti.
iii. Tugasan perkeranian, kemasukan data, penyusun kertas dan tugas sokongan guru.

Namun kita mengharapkan dendangan indah itu menjadi kenyataan. Ini kerana guru telah kerapuhan emosi menjalani kepelbagaian fungsi - pengawal, tukang kayu, tukang paip, juru kimpalan, tukang masak, pemandu pelajar dan sebagainya yang telah lama terlaksana atas nama untuk anak murid untuk anak didik untuk kesempurnaan pendidikan.

Saturday, January 16, 2016

KEMBALI KE SEKOLAH

Awal Januari bermula, semua sibuk dengan persediaan kembali ke sekolah. Ibu bapa sibuk mengira-gira peruntukan untuk persekolahan dalam kesempitan kos sara hidup yang meningkat. Keperluan persekolahan yang juga tidak terlepas dari GST. Anak-anak girang ingin bertemu rakan yang lama bercuti. Bagi yang berjaya dalam UPSR , PT3 amat teruja untuk menunjukkan kepada rakan telefon bimbit baru hadiah kejayaan. Guru amat teruja dengan tugasan baru walaupun sedikit tertekan bila masih belum bersatu dengan ahli keluarga. Hinggakan peniaga sibuk meraih keuntungan dengan promosi kembali ke sekolah, bahkan ahli politik juga mengambil peluang mendekati rakyat melalui program kembali ke sekolah.

Monday, November 23, 2015

REFLEKSI UNTUK GURU

REFLEKSI 1 :
Tahun berakhir dengan gelagat pelajar menduduki SPM / STPM dengan penuh debaran. Bagi golongan skor A, nampak dengan merah mukanya bahawa kegusaran andai hasrat tidak tercapai. Ada kelompok pelajar yang nampak selamba dengan ragam ponteng dan lewat, hingga masa peperiksaan pun lewat. Sebahagiannya pula ada yang dinasihatkan untuk tidak hadir demi men hasrat menjaga peratusan dan gps sekolah. Mungkin benar seharusnya Dari awal tahun merreka patut belajar dan diajar. Debaran hanya berakhir dengan keputusan akhir yang ada kalanya memberikan kepuasan atau menjadi medan kritikan.

REFLEKSI 2:
Semasa perjalanan pulang, sempat singgah di Warung Bandung membeli nasi panggang ayam berempah yang enak. Apabila membuat pesanan, disapa seorang pelajar yang bekerja sambilan sementara menunggu kertas SPM berikutnya. Bila ditanya kenapa terlalu awal berkerja .. Ringkas jawapannya "kami dah selesai subjek teras". Mungkin bagi mereka cukup sekadar sijil untuk menempah ruang pekerjaan. Apabila sampai di sekolah, terdengar kelompok pelajar 5H yang bercerita untuk mencari kerja sementara selepas SPM kerana untuk mengumpul wang jika melanjutkan pelajaran nanti. Mereka mempunyai hasrat dan harapan tetapi faktor kewangan mungkin memendekkan langkahnya.

REFLEKSI 3:
Setelah bertahun berlalu seorang pelajar dari kelas terakhir hadir ke sekolah, mencari-cari guru yang mengajarnya dahulu walaupun hakikatnya masa persekolahan dulu dialah yang selalu ponteng kelas guru yang dicari itu. Hadirnya hanya untuk memberi tahu bahawa kini dah tamat kursus membaiki penghawa dingin.

 Tetapi jarang sekali kita lihat pelajar yang kita  bantu bimbing mendapat A atau A+ mencari guru untuk memaklumkan bahawa kini telah berjaya menjadi doktor atau jurutera.