Tuesday, August 30, 2011

MERDEKA RAYA..

Selamat menyambut Aidilfitri dan Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54. Syawal dirai dan Merdeka dihayati.

1. Menyorot kepada program media elektronik tentang sambutan Aidilfitri – masih seperti dahulu hanya berteraskan hiburan dan keseronokan. Hanya beberapa slot sahaja yang menyayangkan hiburan, tayangan yang berunsurkan pengajaran. Dengan semangat merdeka semoga suatu masa nanti sambutan syawal berteraskan pengajaran selari dengan kehendak Islam.

2. Merdeka ke-54 hendaklah dihayati dengan penuh keinsafan dan berasaskan fakta bukan berlandaskan persepsi sahaja. Adalah terlalu tidak wajar jika ada ada pihak yang menafikan peranan Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam menuntut kemerdekaan walaupun dengan pendekatan yang berbeza iaitu dengan diplomasi bukan kekerasan. Namun demikian kita juga harus tidak menafikan secara buta tuli atas peranan generasi lepas yang menentang pemerintahan kerajaan British di Tanah Melayu sama ada penentangan terus kepada pihak British atau proksi pihak British. HAKIKATnya adalah gandingan kebangkitan pejuang kemerdekaan yang menentang British secara berterusan sama ada secara persenjataan dan kebijaksanaan diplomasi pemimpin masa itu melahirkan sinergi Kemerdekaan – itulah sebenarnya gabungan kedua-dua faktor kebijaksanaan diplomasi dan tekanan pejuang telah melahirkan KEMERDEKAAN.

Monday, August 22, 2011

BAJU MELAYU dan RAYA : Perlu menyerap kemodenan.

Aidilfitri menjelang tiba, semua pasti sibuk mencari pakaian baru untuk sambutan aidilfitri. Bagi kaum lelaki mulalah sibuk mencari baju Melayu untuk dipakai semasa hari raya. Alangkah baik kerana tradisi lama masih dikekalkan sehingga zaman berzaman hingga kini. Dalam pencarian baju Melayu ada beberapa persoalan yang perlu difikirkan agar rekaan baju Melayu menyerap unsur kemodenan dengan kehendak semasa.

1. Kebanyakan baju Melayu dipasangkan dengan seluar yang menggunakan getah tanpa tali pinggang dan poket belakang. Kita semua mengetahui kebanyakan kaum lelaki, pastinya menggunakan poket belakang untuk menyimpan dokumen penting. Seharusnya rekaan fesyen baju Melayu menyerap perubahan agar poket belakang disediakan untuk memudahkan penggunanya. Adalah tidak wajar untuk meletakkan dokumen atau dompet  di kenderaan apabila kita bertandang – aspek keselamatan perlu dipertimbangkan.

2. Mungkin tiba masaya pakar rekaan memberi nafas baru kepada rekaan baju Melayu agar dapat memenuhi keperluan pemodenan masa kini – bagaimana menyesuaikan diri dengan penggunaan poket belakang untuk meletakkan dompet atau mereka bentuk yang sesuai untuk menyimpan alat komunikasi masa kini. Sukarnya untuk mencari rekaan baju Melayu dengan rekaan seluar poket belakang kalau ingin dibeli jenis siap dijahit.

Semoga ada pencetus rekaan agar busana kebanggaan  kita akan terus menyerap kemodenan dan mampu merentasi zaman bak kata pepatah tak lapuk dek hujan…..

KEMERDEKAAN

1. Menghargai kemerdekaan lebih mudah dari mengisi kemerdekaan. Dewasa kini mungkin generasi muda kurang menghargai kemerdekaan tetapi bersedia mengisi kemerdekaan dengan pelbagai pencapaian dan wawasan yang dicapai.

2. Menyorot apa yang terjadi pada Libya – sama ada pembebasan atau penjajahan bentuk baru yang menanti pastinya belum dapat ditentukan. Ia berulang seperti di Iraq, pembebasan kononnya tetapi masih diselubungi penderitaan sehingga kini.

3. Pembentukan negara merdeka – SUDAN SELATAN, Isu pembebasan atau penjajahan bentuk bari di Libya seharusnya memberi pengajaran kepada kita semua agar sentiasa menghargai dan kemerdekaan dengan sebaiknya dan seadilnya kepada semua pihak.

Merdeka selamanya selagi dipayungi rahmat Illahi…

Tuesday, August 9, 2011

BUDAYA MERDEKA : MERCUN, PUASA dan AIDILFITRI

Sambutan Aidilfitri tahun ini bakal berkembar dengan sambutan Kemerdekaan. Namun kita masih berada pada tahap lama tidak dapat memerdekakan diri kita dan budaya kita dengan sebaiknya. Jika demikian apakah hasrat untuk membentuk budaya mengikut acuan Malaysia akan dapat direalisasikan sekiranya kita gagal memerdekakan ‘budaya warisan penjajah’ dalam kehidupan kita. Antara yang paling ketara sejak dari sebelum merdeka dan setelah 54 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih dibelenggu dengan budaya lama iaitu setiap kali ada perayaan budaya bermain mercun pasti menyelubungi suasana ramadhan dan aidilfitri.  Walaupun dengan jelas budaya tersebut hanya memberikan pembaziran wang ringgit malah adakalanya membawa kecederaan ataupun kehilangan harta benda mahupun nyawa. Persoalannya mengapakah kita belum merdeka dari budaya tersebut ataupun kita kurang bersungguh-sungguh untuk memerdeka diri dari belenggu budaya mercun. Mungkin langkah yang lebih efektif perlu diambil :

1. Semua media perlu melaksanakan kempen yang berkesan dalam mendidik rakyat dengan pembaziran bermain mercun tersebut dengan lebih rancak dan agresif sebagaimana kempen lain seperti cegah denggi, AIDS, penerangan kenaikan harga bahan api dan sebagainya.

2. Segenap lapisan pemimpin politik tanpa mengira parti dengan sokongan NGO perlu sentiasa menyebarkan mesej perubahan budaya ini seperti mana rancaknya segenap lapisan pemimpin politik dan NGO menyebarluaskan ideologi dan wawasan mereka.

3. Langkap pengkuatkuasaan perlu lebih tegas dan agresif dengan membenteras dari aspek bekalan dan penggunaan. Tindakan ini lebih mudah kerana golongan yang bermain mercun ini boleh dilihat dan didengar oleh pasukan peronda polis, RELA dan komuniti setempat. Dengan tindakan berterusan seperti kerancakan operasi benteras demonstrasi haram, mungkin akan menjimatkan wang jutaan  yang dibazirkan dengan budaya permainan mercun tersebut.

Semoga dengan roh ramadhan dan kemerdekaan, perjuangan membebaskan budaya yang menbazir ini akan dapat dihayati dan dilaksanakan oleh semua pihak.

Friday, July 29, 2011

PUASA, PERAYAAN & HARGA BARANG

Ramadhan menjelang tiba tidak lama lagi. Syukurlah pada-Nya kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Media rancak promosi jualan aidilfitri biarpun ramadhan belum bermula. Saban hari ada dinyatakan bekalan mencukupi dan kita dapat membendung kenaikan harga barangan sempena ramadhan dan perayaan. Itulah fenomena yang biasa setiap kali menjelang ramadhan dan musim perayaan.  Sesuatu yang menjadi kewajipan saban tahun ialah kenaikan harga barangan.  Sejak dulu sehingga kini fenomena kenaikan harga barangan musim ramadhan dan perayaan masih bergema hingga kini. Mengapakah tiada solusi atau sekadar menyatakan permintaan bertambah dan bekalan terhad? Mungkin Dasar Makanan Negara perlu dibentuk atau dilahirkan. Fikirkan bersama..

1. Perniagaan musim ramadhan memberi rezeki segera kepada peniaga. Semoga peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan alasan permintaan meningkat.  Keuntungan perlu dicapai tetapi bukannya keuntungan yang berlipat ganda. Mungkin sebahagian keuntungan berganda ditukar kepada sedekah ramadhan akan dapat menurunkan sedikit barangan. Mungkin ikhtibar ramadhan tahun lalu dengan kejadian ribut di banyak tempat pasar ramadhan telah memberi peringatan kepada kita bahawa disamping keuntungan unsur sedekah perlu dimurnikan.

2. Kenaikan harga barangan dengan alasan bekalan berkurangan dan terpaksa mengimport bekalan makanan dari luar akan menjana kenaikan harga. Ini pasti ditambah lagi dengan kenaikan bahan api, elektrik dan sebagainya yang turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna. Kini kita perlu mengambil langkah agar dasar bekalan makanan negara yang tidak bergantung kepada sumber luar perlu dipergiatkan.

3. Peranan agensi penguatkuasa dan pelbagai pihak perlu disepadukan dalam isu kenaikan harga barangan. Jika barangan di Kedai 1 Malaysia yang dikatakan berkualiti sama dapat dijual dengan harga yang rendah, mengapakah penurunan harga barangan lain tidak dilaksanakan dengan pemuafakatan semua pihak.

Friday, July 15, 2011

JIWA PATRIOTIK : HARIMAU MALAYA lawan LIVERPOOL

Renungan perlawanan antara Harimau Malaya melawan Liverpool nanti beberapa perkara yang boleh difikirkan :

1. Mengapa ribuan penonton penyokong Livepool memenuhi stadium dengan penuh semangat dengan pakaian merah walaupun sesi latihan menunjukkan betapa minatnya rakyat Malaysia terhadap bola sepak. Mungkin pakaian pasukan Liverpool lebih mudah diperolehi ( sama ada ori atau tidak ) berbanding dengan jersi kuning Harimau Malaya. Di sinilah medan untuk menzahirkan jiwa merdeka dan patriot dengan memberi sokongan penuh kepada pasukan kebangsaan.

2. Dalam keadaan pertembungan antara pasukan negara Harimau Malaya dengan Liverpool, sokongan kuat kepada Liverpool menunjukkan jiwa patriotik masih lemah kalangan rakyat. Sepatutnya sokongan padu kepada pasukan negara perlu diberikan walaupun dalam proses pembinaan untuk peningkatkan. Sokongan berlebihan terhadap Liverpool  menunjukkan jiwa masih di belenggu penjajah kerana dalam konteks pertandingan di medan sendiri penyokong lebih mengutamakan pasukan lawan dari segi sokongan. Memang tidak salah menyokong Liverpool sepenuhnya andainya perlawanan itu antara Liverpool dan Arsenal tetapi kini medan Liverpool dan pasukan Malaysia… berikan sedikit jiwa patriot anda.

3. Semoga pasukan Malaysia berjaya menunjukkan kecemerlangan dan menimba pengalaman berharga untuk meningkatkan kecemerlangan bola sepak negara. Sokongan perlu diberikan walaupun ketika menang atau sebaliknya. Bukannya menang dijulang bila jatuh dibuang. Selaras dengan kenyataan jurulatih negara Rajagopal pertemuan ini adalah medan yang terbaik untuk mengasah dan mempelajari sesuatu dan tidak wajar mengukur kemampuan pertembungan yang pada tahap keupayaan yang berbeda.

Saturday, July 2, 2011

MALAYSIA SYURGA MAKANAN

Kepelbagaian makanan Malaysia diserasikan dengan kepelbagaian kaum menjadikan makanan adalah daya penarik industri perlancongan di negara kita. Maka tidaklah asing jika kita lihat pelancong datang untuk menikmati rasa asli makanan Malaysia. Jika kita melihat di kaca tv , pelbagai rancangan masakan disajikan… asal ada saluran baru pasti ada rancangan masakan sama berbentuk demo atau pertandingan. Memang medan yang baik untuk mempromosi makanan Malaysia. Namum beberapa perkara perlu ditambah baik untuk memenuhi selera pelbagai kaum rakyat Malaysia disamping memeuhi kehendak penjagaan kesihatan.

1. Rancangan masakan hendaklah memberikan panduan pemakaian sihat untuk rakyat Malaysia. Resepi tradisional diberikan nafas baru selaras dengan kehendak tahap kesihatan agar rakyat diberi bimbingan untuk menyediakan makanan yang sihat – kurang kolestrol, garam, gula dan penambah rasa.

2. Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pelbagai cita rasa makanan. Seharusnya ada rancangan masakan yang menyediakan makanan pelbagai kaum yang ada – Melayu, Cina, India dan sebagainya. Asalkan semua menu yang disajikan mematuhi panduan HALAL dan citarasa. Mungkin ada kaum Melayu yang ingin mempelajari masakan  Cina dan India tetapi buku resepi di pasaran selalunya tidak menyediakan menu yang halal untuk dipelajari oleh mereka yang berminat disamping faktor bahasa. Ini dapat meningkatkan toleransi selaras dengan inspiriasi 1Malaysia.