Friday, November 18, 2011

SEMANGAT MEMBARA RM100 DIIRINGI PENCAPAIAN CEMERLANG 2012

TAHNIAH dan terima kasih atas bantuan RM100 bagi keperluan persekolahan 2012. Semoga sekolah menyaksikan pelajar dan ibu bapa penjaga bersemangat menerima bantuan tersebut dengan datang awal pagi ke sekolah. Semoga semangat itu dikekalkan dan ditunjukkan semasa masuk ke sekolah hari pertama 2012 dengan kelengkapan penuh dan dijelmakan dalam pencapaian akademik seterusnya. Mungkin satu kajian boleh dibuat untuk mengkali aliran perbelanjaan RM100 agar menepati dengan tujuan agihannya atau pun kajian sosiologi mengapakah semasa agihan bantuan kehadiran 100% tetapi semasa penyerahan keputusan peperiksaan atau pelaporan disiplin atau mesyuarat PIBG sasaran kehadiran sukar dicapai? Fikirkan bersama ! Didiklah bersama !

Saturday, November 12, 2011

GMP–PAGE : Pendidikan makin keliru

Perjuangan Gerakan Mansuh PPSMI ( GMP ) yang bertahun dengan sokongan pelbagai kini hanya baru mencapai ‘bau bacang’ hasilnya dan kelihatan dipinggirkan media perdana. Perjuangan PAGE yang baru bertapak ‘nampak berjaya’ melambatkan pemansuhan PPSMI. Semua bergerak atas alasan kepentingan pelajar – benarkah? Mungkin lebih relevan kalau dinyatakan sebenarnya perjuangan golongan yang senang berbahasa Melayu dengan golongan ‘lidah Melayu yang keras’ untuk bertutur bahasa sendiri. Mungkinkah ia akan melahirkan senario pendidikan zaman pra-kemerdekaan iaitu persekolahan dua aliran untuk pengajaran Sains dan Matematik. Segalanya makin menjadikan kekeliruan dan bagi seorang guru akhirnya apa yang ditanya bukanlah berapa peratus pengajaran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, cuma berapa peratus yang LULUS, berapa peratus A, berapa peratus peningkatan matapelajaran. Jika diingat zaman dulu ilmuan akan menterjemah karya apa juga bahasa kepada bahasa tempatan agar ilmu disebarluaskan kepada rakyat. Apakah ini hasil doktrin pendidikan yang menyanjung tinggi kelulusan luar negara atau kita belum cukup berani untuk bertutur Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita.