Saturday, June 1, 2019

BEYBLADE vs GASING.....






Beyblade - gasing versi asing di sokong dengan animasi TV dan didokong dengan aktiviti STEM yang dikatakan dapat menarik minat pdpc yang lebih bertenaga. Anak-anak pulang ke kampung beraya pun disajikan dengan ‘pertandingan’ beyblade bersama saudara sepupu yang ghairah mempamerkan kehebatan beyblade “attack n defend” . Dengan kreativiti rekaan dan kemudahan mobiliti serta lapangan ia menjadi popular menyelinap di pelusuk budaya tanpa mengira kaum dan lokaliti.




Gasing- permainan tradisi yang memerlukan kemahiran yang tinggi - melilit tali , melempar untuk memusingkannya , nampaknya semakin dilupakan dalam budaya kita. Ia tidak lagi menjadi saingan utama di desa apatah lagi di kota. Ingat suatu masa dahulu mengubahsuai gasing dengan paku dan lilitan besi bagi meningkatkan kehebatan semasa perlawanan.

Gasing - mahupun apa jenisnya gasing melayu atau gasing cina ianya kini semakin dilupai. Menanti untuk kembali menewaskan beyblade ?

Mungkin gasing sedang menanti suntikan kreativiti dan inovasi untuk ia menjadi kembali pilihan anak-anak atau apakah jiwa bangsa kita telah terjajah hingga ke akar umbi mungkin juga tanah tempat tumbuhnya akar....

Friday, April 5, 2019

PERMARTABATAN GRADUASI PRA U












 Tahniah anak-anak yang berjaya dalam graduasi PraU. Kini semua sekolah mod  Pra U akan melaksanakan graduasi peringkat sekolah secara bersendirian. Selaras dengan meningkatkan imej dan pemantapan pra U agar menjadi pilihan utama pelajar masa akan datang. Bagi memartabatkan pra U ini adalah molek meningkatkan graduasi pra U secara berpusat yang diselaras bersama PPD atau JPN. Kegemilangan graduasi ini boleh dianjurkan oleh pusat Pra U yang bertaraf  mod 2 bersama PPD / JPN kerana graduasi pra U patut diangkat tinggi setaraf graduasi diploma universiti awam 

Monday, January 7, 2019

MATEMATIK TAMBAHAN AKA HANTU POKOK ARA

Kegirangan terpancar diwajah anak-anak yang mengikuti aliran Sains dan Perakaunan mendaftar masuk tingkatan empat. Berkobar-kobar semangat dengan disemarakkan dengan kata motivasi guru STEM yang gigih. Namun semangat itu teruji dengan matapelajaran Matematik Tambahan. Hari pertama kelas, telah bersuara keluhan pelajar mengatakan Matematik Tambahan ini susah dan sukar. Perkhabaran ini dari rakan pelajar yang lepas.

Momokan Matematik Tambahan ini sukar adalah ibarat mitos nusantara Melayu yang mengaitkan pohon ara nan rendang dengan hantu atau penunggu. Mitos ini disampaikan dari generasi ke generasi, dari datuk dan nenek ke ibu bapa hingga kepada cucu dan cicitnya. Kini mitos Matematik Tambahan ini susah mulai menyerap hati pelajar. Ketakutan yang diwarisi tanpa usaha mengatasi.

Namun demikian cara menghadapi dua 'mitos' ini didapati tidak ditangani dengan selari. Jika mitos pohon ara berhantu , apabila kita melaluinya datuk nenek kita membekalkan azimat, mentara yang selaras dengan pegangan agama masing-masing. Persediaan rapi dan teliti menghadapi dugaan mitos pohon ara.

Berbanding dengan mitos kesukaran Matematik Tambahan , pelajar kita menangani dan cara yang tidak selari. Menghadapi sukar dengan tindakan lari dari menghadapi dengan persediaan rapi. Seharusnya azimat buku Matematik Tambahan, gelanggang latihan Matematik Tambahan dipergiatkan , latihan dan perguruan lebih gigih untuk menghadapi kesukaran ini. Moga mitos Matematik Tambahan ini dapat diatasi untuk generasi akan datang menjadi perwira terbilang.

Friday, December 7, 2018

MENCARI RANTING UNTUK BERTEDUH....

Setelah 12 purnama tumbangnya pokok ara barulah terasa kepanasan. Dulunya pokok ara rendang yang dikatakan berpenunggu ini sering menjadi teduhan.  Kini pohon baharu yang ditanam dahannya masih kecil , rantingnya masih muda dan daunnya belum rendang untuk menjadi teduhan. Apatah lagi untuk berpaut menjadi buaian. Sementara itu kita berharap pohon baharu ini akan teguh subur dan disiram air serta baja yang terbaik. Usahlah ada yang menyiram racun atau membiak anai-anai di pangkal pohon ini.

Tidak salah mencari dahan yang kukuh untuk berpaut atau ranting yang rendang untuk berteduh setelah pokok ara keramat itu tumbang....






Sunday, May 13, 2018

TUMBANGNYA POKOK ARA


Setelah bertahun lama, akhirnya pokok ara yang teguh itu telah tumbang akhirnya. Apakah yang menyebabkan pokok ara ini tumbang? Ia tidak menjadi persoalan lagi. Mungkinkah ia tumbang kerana semulajadi atas faktor usianya. Adakah ribut kencang kelmarin menyebabkan ara nan sebatang telah tumbang. Ada yang mengatakan ia telah ditebang oleh seorang yang hebat dan tidak gerun pada penunggu di pokok ara tersebut. Mungkinkah juga anai-anai memakan akarnya hingga reput lantas ianya tumbang. Apapun sebab musababnya ara nan besar itu telah tumbang,

Ara nan rencang tetapi tidak menjadi teduhan itu telah tumbang. Kini telah terpancar cahaya yang selama ini terlindung dari naungan ara yang rendang. Pandangan mata lapang kini, hembusan bayu dingin kini terasa. Namun melihat pada ruang lompong tumbangnya pokok ara itu. Kesan lubangnya amat dalam meresahkan hati. Anak-anak berlari lepas bebas jika tidak terkawal terjerumus dalam lubang nan dalam. Mungkin perlu dipagari. Namun ruang lompong itu  perlu diisi segera.

Tumbangnya ara nan rendang menjadi perkhabaran seluruh kampung. Perkhabaran cepat tersebar sepantas angin yang bertiup. Persoalan difikiran bertalu-talu. Ke manakah pindahnya penunggu ara nan rendang, mati bersama pokokbya tumbang atau lari ke pokok lain. Tak mengapa..... asalkan tidak berpindah ke rumah tuan tanah cukuplah. Nanti anak cucu terganggu lagi. Tanah lapang itu perlu ditanam semula sebelum lalang meneroka. Sesuaikah Musang King mengambil alih. Biarpun harganya mahal buahnya enak namun risiko diabetes jika terlebih memakannya ataupun harganya yang mahal menjadi sumber ekonomi namun anak cucu tidak merasainya kerana ia dieksport ke luar negara.

Berfikirlah seisi rumah untuk mengisi kelompongan tumbangnya ara nan rendang.

Monday, May 7, 2018

DILEMA MELAYU : MITOS POKOK ARA


Masyarakat Melayu nusantara tidak dapat dipisahkan dari mitos pokok ara. Sejenis pokok yang besar teguh, didiami oleh tumbuhan epifit dan tidak juga kurang tumpuan unggas mendapatkan rezeki. Mungkin juga menjadi tempat berteduh semasa kepanasan.

Namun ara nan rendang ini tidak dapat menjadi tempat berteduh atau bergayut anak-anak bermain. Dari generasi ke generasi, kita diingatkan agar tidak mendekatinya mahupun hujan lebat atau panas terik. Seringkali dikaitkan dengan penunggu dan keteguran. Mungkin benar adanya mungkin juga tidak ..... itulah pesanan dari zaman nenek moyang lagi. Ia kekal jadi taboo atau pantang larang. Ingin tidak percaya..... memang ada yang terkena..... ingin percaya takut dianggap khurafat. Mungkin penunggu ada di situ......atau mungkin diletakkan di situ.... mungkin juga tiada tapi jiwa kita yang rapuh. Bagi yang pernah mengalami telah merasai susah senangnya. Bagi yang tidak merasai mungkin "cakap bolehlah..."

Apa yang utama...memilih jalan terbaik. Wajarkah ara nan rendang itu ditebang? Biarpun rendang kita tidak dapat berteduh. Jika ditebang mungkin luas pandangan selepas itu atau diganti dengan durian musang king.  Jika ditebang nanti keteguran .... ke mana perubatan kita.... mencari dukun atau perubatan Islam.

Akhirnya kita tidak mampu ke mana-mana. Mitos pokok ara telah sebati dengan kita. Ara nan rendang tidak menjadi teduhan masa hujan mahupun panas. Ingin mendekati .... pesanan nenek moyang masih teguh jadi adat yang bukannya hukum. Menunggu ara nan rendang tumbang menghempap rumah ketika itu baru sedar jika halau penunggunya dulu lebih mudah untuk menebangnya atau indahnya jika buat pondok rehat di atasnya

Thursday, April 12, 2018

SMK KINARUT : Permata di Gerbang Selatan


SMK KINARUT :
Permata di Gerbang Selatan

Ungkapan keramat itu tercetus semasa hari aku janji pelajar SPM dan STPM, suatu majlis yang beraura dengan niat dan harapan kecemerlangan. Kecemerlangan umpama mendapat anugerah permata yang berkilau lagi berharga amat diidamkan oleh semua.

Cetusan idea unggul itu terpercik lantaran ucap utama En. Zamharir Hj. Ahmad, Pengetua SMK Kinarut dalam ucap utama perhimpunan sulong beliau. Gagasan warga SMK Kinarut agar menonjolkan kecemerlangan dan mengatasi kelemahan kerana lokaliti SMK Kinarut di permulaan masuk ke zon selatan Sabah melalui Papar. Menjadi pintu gerbang kemasukan ke daerah Papar dan selaku sekolah yang mempunyai pelajar teramai pasti baik buruknya menjadi tumpuan masyarakat.

SMK Kinarut