Sunday, May 13, 2018

TUMBANGNYA POKOK ARA


Setelah bertahun lama, akhirnya pokok ara yang teguh itu telah tumbang akhirnya. Apakah yang menyebabkan pokok ara ini tumbang? Ia tidak menjadi persoalan lagi. Mungkinkah ia tumbang kerana semulajadi atas faktor usianya. Adakah ribut kencang kelmarin menyebabkan ara nan sebatang telah tumbang. Ada yang mengatakan ia telah ditebang oleh seorang yang hebat dan tidak gerun pada penunggu di pokok ara tersebut. Mungkinkah juga anai-anai memakan akarnya hingga reput lantas ianya tumbang. Apapun sebab musababnya ara nan besar itu telah tumbang,

Ara nan rencang tetapi tidak menjadi teduhan itu telah tumbang. Kini telah terpancar cahaya yang selama ini terlindung dari naungan ara yang rendang. Pandangan mata lapang kini, hembusan bayu dingin kini terasa. Namun melihat pada ruang lompong tumbangnya pokok ara itu. Kesan lubangnya amat dalam meresahkan hati. Anak-anak berlari lepas bebas jika tidak terkawal terjerumus dalam lubang nan dalam. Mungkin perlu dipagari. Namun ruang lompong itu  perlu diisi segera.

Tumbangnya ara nan rendang menjadi perkhabaran seluruh kampung. Perkhabaran cepat tersebar sepantas angin yang bertiup. Persoalan difikiran bertalu-talu. Ke manakah pindahnya penunggu ara nan rendang, mati bersama pokokbya tumbang atau lari ke pokok lain. Tak mengapa..... asalkan tidak berpindah ke rumah tuan tanah cukuplah. Nanti anak cucu terganggu lagi. Tanah lapang itu perlu ditanam semula sebelum lalang meneroka. Sesuaikah Musang King mengambil alih. Biarpun harganya mahal buahnya enak namun risiko diabetes jika terlebih memakannya ataupun harganya yang mahal menjadi sumber ekonomi namun anak cucu tidak merasainya kerana ia dieksport ke luar negara.

Berfikirlah seisi rumah untuk mengisi kelompongan tumbangnya ara nan rendang.

Monday, May 7, 2018

DILEMA MELAYU : MITOS POKOK ARA


Masyarakat Melayu nusantara tidak dapat dipisahkan dari mitos pokok ara. Sejenis pokok yang besar teguh, didiami oleh tumbuhan epifit dan tidak juga kurang tumpuan unggas mendapatkan rezeki. Mungkin juga menjadi tempat berteduh semasa kepanasan.

Namun ara nan rendang ini tidak dapat menjadi tempat berteduh atau bergayut anak-anak bermain. Dari generasi ke generasi, kita diingatkan agar tidak mendekatinya mahupun hujan lebat atau panas terik. Seringkali dikaitkan dengan penunggu dan keteguran. Mungkin benar adanya mungkin juga tidak ..... itulah pesanan dari zaman nenek moyang lagi. Ia kekal jadi taboo atau pantang larang. Ingin tidak percaya..... memang ada yang terkena..... ingin percaya takut dianggap khurafat. Mungkin penunggu ada di situ......atau mungkin diletakkan di situ.... mungkin juga tiada tapi jiwa kita yang rapuh. Bagi yang pernah mengalami telah merasai susah senangnya. Bagi yang tidak merasai mungkin "cakap bolehlah..."

Apa yang utama...memilih jalan terbaik. Wajarkah ara nan rendang itu ditebang? Biarpun rendang kita tidak dapat berteduh. Jika ditebang mungkin luas pandangan selepas itu atau diganti dengan durian musang king.  Jika ditebang nanti keteguran .... ke mana perubatan kita.... mencari dukun atau perubatan Islam.

Akhirnya kita tidak mampu ke mana-mana. Mitos pokok ara telah sebati dengan kita. Ara nan rendang tidak menjadi teduhan masa hujan mahupun panas. Ingin mendekati .... pesanan nenek moyang masih teguh jadi adat yang bukannya hukum. Menunggu ara nan rendang tumbang menghempap rumah ketika itu baru sedar jika halau penunggunya dulu lebih mudah untuk menebangnya atau indahnya jika buat pondok rehat di atasnya