Friday, December 7, 2018

MENCARI RANTING UNTUK BERTEDUH....

Setelah 12 purnama tumbangnya pokok ara barulah terasa kepanasan. Dulunya pokok ara rendang yang dikatakan berpenunggu ini sering menjadi teduhan.  Kini pohon baharu yang ditanam dahannya masih kecil , rantingnya masih muda dan daunnya belum rendang untuk menjadi teduhan. Apatah lagi untuk berpaut menjadi buaian. Sementara itu kita berharap pohon baharu ini akan teguh subur dan disiram air serta baja yang terbaik. Usahlah ada yang menyiram racun atau membiak anai-anai di pangkal pohon ini.

Tidak salah mencari dahan yang kukuh untuk berpaut atau ranting yang rendang untuk berteduh setelah pokok ara keramat itu tumbang....






Sunday, May 13, 2018

TUMBANGNYA POKOK ARA


Setelah bertahun lama, akhirnya pokok ara yang teguh itu telah tumbang akhirnya. Apakah yang menyebabkan pokok ara ini tumbang? Ia tidak menjadi persoalan lagi. Mungkinkah ia tumbang kerana semulajadi atas faktor usianya. Adakah ribut kencang kelmarin menyebabkan ara nan sebatang telah tumbang. Ada yang mengatakan ia telah ditebang oleh seorang yang hebat dan tidak gerun pada penunggu di pokok ara tersebut. Mungkinkah juga anai-anai memakan akarnya hingga reput lantas ianya tumbang. Apapun sebab musababnya ara nan besar itu telah tumbang,

Ara nan rencang tetapi tidak menjadi teduhan itu telah tumbang. Kini telah terpancar cahaya yang selama ini terlindung dari naungan ara yang rendang. Pandangan mata lapang kini, hembusan bayu dingin kini terasa. Namun melihat pada ruang lompong tumbangnya pokok ara itu. Kesan lubangnya amat dalam meresahkan hati. Anak-anak berlari lepas bebas jika tidak terkawal terjerumus dalam lubang nan dalam. Mungkin perlu dipagari. Namun ruang lompong itu  perlu diisi segera.

Tumbangnya ara nan rendang menjadi perkhabaran seluruh kampung. Perkhabaran cepat tersebar sepantas angin yang bertiup. Persoalan difikiran bertalu-talu. Ke manakah pindahnya penunggu ara nan rendang, mati bersama pokokbya tumbang atau lari ke pokok lain. Tak mengapa..... asalkan tidak berpindah ke rumah tuan tanah cukuplah. Nanti anak cucu terganggu lagi. Tanah lapang itu perlu ditanam semula sebelum lalang meneroka. Sesuaikah Musang King mengambil alih. Biarpun harganya mahal buahnya enak namun risiko diabetes jika terlebih memakannya ataupun harganya yang mahal menjadi sumber ekonomi namun anak cucu tidak merasainya kerana ia dieksport ke luar negara.

Berfikirlah seisi rumah untuk mengisi kelompongan tumbangnya ara nan rendang.

Monday, May 7, 2018

DILEMA MELAYU : MITOS POKOK ARA


Masyarakat Melayu nusantara tidak dapat dipisahkan dari mitos pokok ara. Sejenis pokok yang besar teguh, didiami oleh tumbuhan epifit dan tidak juga kurang tumpuan unggas mendapatkan rezeki. Mungkin juga menjadi tempat berteduh semasa kepanasan.

Namun ara nan rendang ini tidak dapat menjadi tempat berteduh atau bergayut anak-anak bermain. Dari generasi ke generasi, kita diingatkan agar tidak mendekatinya mahupun hujan lebat atau panas terik. Seringkali dikaitkan dengan penunggu dan keteguran. Mungkin benar adanya mungkin juga tidak ..... itulah pesanan dari zaman nenek moyang lagi. Ia kekal jadi taboo atau pantang larang. Ingin tidak percaya..... memang ada yang terkena..... ingin percaya takut dianggap khurafat. Mungkin penunggu ada di situ......atau mungkin diletakkan di situ.... mungkin juga tiada tapi jiwa kita yang rapuh. Bagi yang pernah mengalami telah merasai susah senangnya. Bagi yang tidak merasai mungkin "cakap bolehlah..."

Apa yang utama...memilih jalan terbaik. Wajarkah ara nan rendang itu ditebang? Biarpun rendang kita tidak dapat berteduh. Jika ditebang mungkin luas pandangan selepas itu atau diganti dengan durian musang king.  Jika ditebang nanti keteguran .... ke mana perubatan kita.... mencari dukun atau perubatan Islam.

Akhirnya kita tidak mampu ke mana-mana. Mitos pokok ara telah sebati dengan kita. Ara nan rendang tidak menjadi teduhan masa hujan mahupun panas. Ingin mendekati .... pesanan nenek moyang masih teguh jadi adat yang bukannya hukum. Menunggu ara nan rendang tumbang menghempap rumah ketika itu baru sedar jika halau penunggunya dulu lebih mudah untuk menebangnya atau indahnya jika buat pondok rehat di atasnya

Thursday, April 12, 2018

SMK KINARUT : Permata di Gerbang Selatan


SMK KINARUT :
Permata di Gerbang Selatan

Ungkapan keramat itu tercetus semasa hari aku janji pelajar SPM dan STPM, suatu majlis yang beraura dengan niat dan harapan kecemerlangan. Kecemerlangan umpama mendapat anugerah permata yang berkilau lagi berharga amat diidamkan oleh semua.

Cetusan idea unggul itu terpercik lantaran ucap utama En. Zamharir Hj. Ahmad, Pengetua SMK Kinarut dalam ucap utama perhimpunan sulong beliau. Gagasan warga SMK Kinarut agar menonjolkan kecemerlangan dan mengatasi kelemahan kerana lokaliti SMK Kinarut di permulaan masuk ke zon selatan Sabah melalui Papar. Menjadi pintu gerbang kemasukan ke daerah Papar dan selaku sekolah yang mempunyai pelajar teramai pasti baik buruknya menjadi tumpuan masyarakat.

SMK Kinarut

Wednesday, February 14, 2018

BASIKAL : REZEKI dan ILMU

Suatu ketika dahulu memiliki basikal merupakan rezeki yang tidak ternilai. Hingga  penyanyi tersohor melagukan “Basikal Tua” yang mengamit nostalgia. Dengan memiliki basikal memberi kemudahan mencari rezeki, dengan basikal itu juga memudahkan mencari ilmu di sekolah yang jauh. Hinggakan kejayaan penjajahan Jepun di Tanah Melayu dikaitkan dengan kemaraan pasukan tenterĂ   berbasikal. 

Pemimpin terdahulu menyalurkan bantuan basikal untuk pelajar sekolah. Kini basikal tidak lagi menjadi pilihan pelajar sekolah.... 
Namun anak kecil girang hatinya menerina sebuah basikal...


Thursday, January 11, 2018

DI SEBALIK CERITA.....

2018 membuka lembaran baru dalam perjalanan tugas seorang pendidik. Langkah tahun ini dimulai dengan dugaan besar tentang hubungan keramat cikgu - anak didik. Digembarkan dengan cerita cikgu Azizan Osman dan diikuti kisah cikgu Idzhari yang menuntut perubahan dalam mencari manafaat bersama dalam hubungan guru - murid - penjaga. Kupasan dan cadangan dikemukakan dalam mencari ramuan terbaik, tidak kurang juga yang mengeruhkan air yang sedia keruh. Terperangkap antara tatacara , emosi dan keinginan yang terbaik untuk semua. Kita perlu menoleh ke belakang, merungkai sejarah.

Jika kita mengkaji bertapa kukuhnya ikatan keramat raja - rakyat yang dikatakan dilakar oleh Demang Lebar Daun. Konsep taat ( wa'ala ) antara murid - guru perlu disuburkan, dipupuk, diajar kepada genarasi baru. Berpegang dengan prinsip itu , kita pasti kasih-sayang guru terhadap murid akan menjadikan ilmu yang dicurahkan diberkati dan murid dikasihi. Tidak mengharapkan prinsip lama - ajarlah asalkan jangan patah dan buta tetapi kita tidak mahu juga cerita anakku Sazali berulang kembali...

Biarpun angin kemajuan melanda, usah biarkan adab yang murni hilang bersama. Akrab hubungan guru - murid - ibu bapa akan menghasilkan kilauan berharga untuk generasi akan datang.

II
Kental tanpa putus asa. Namun masih ramai lagi yang masih meletakkan harapan tinggi pada insan guru. Awal permulaan tahun persekolahan saban tahun , atas dasar memandang masa hadapan , memberi peluang pendidikan dan melaksanakan dasar pendidikan. Masih ada yang bangga bila bercerita "..... disebabkan guru A pukul dia...guru B kejar dia ponteng..... guru C ajar bagi peluang dia main hoki..... akhirnya dia dah graduate..." dengan bangga tunjukkan gambar anaknya berjubah.

III
Itulah GURU. Apa jua kita sentiasa di kaca mata semua. Biarpun kita tidak sempurna bagi insan mengharapkan kesempurnaan. Kita berusaha sebaiknya kerana tugas kita bergelumang dengan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek ( JERI ) selaras Falsafah Pendidikan Negara. Mungkin perlu dihayati kenapa  disusun JERI bukan IJER iaitu :

No. 1 : J  - jasmani - bentuk jasmani sihat , usah cederakan jasmani pelajar
No. 2 : E - emosi - persefahaman emosi pelajar - guru - ibu bapa menjadikan tugas mendidik dan hasrat ingin dididik lebih mudah.
No. 3 : R - rohani - keteguhan rohani mematuhi kehendakNya adalah kunci segalanya.
No. 4 : I -  intelek - kebijaksanaan akan terserah setelah semua di atas dipenuhi.

Bukannya no. 1 - intelek yang diterjemahkan dalam gred, KPI, band dan seumpanya.

FIKIR..... hayati JERI.......

Friday, January 5, 2018

MEMARTABATKAN KRAF NEGARA

Tersentuh hati semasa menghadiri Program Kembali Ke Sekolah ( sengaja tidak rela menggunakan istilah Program Back To School - demi memartabatkan Bahasa Melayu ) apabila inisiatif P175 Papar dengan PLUS menyumbang peralatan persekolahan untuk pelajar di daerah Papar. Walaupun bukan daerah pembayar tol namun barulah kita terasa nikmat kemajuan itu sebenarnaya hasil kolektif semua pihak - kerajaan , swasta dan rakyat.

Apa yang lebih membanggakan cenderahati tikar mengkuang buatan anak watan Papar dijadikan memartabatkan kraf anak watan di persana rasmi negara. Alangkah baik jika ia menjadi ikutan semua pihak pada masa akan datang.