Friday, July 29, 2011

PUASA, PERAYAAN & HARGA BARANG

Ramadhan menjelang tiba tidak lama lagi. Syukurlah pada-Nya kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Media rancak promosi jualan aidilfitri biarpun ramadhan belum bermula. Saban hari ada dinyatakan bekalan mencukupi dan kita dapat membendung kenaikan harga barangan sempena ramadhan dan perayaan. Itulah fenomena yang biasa setiap kali menjelang ramadhan dan musim perayaan.  Sesuatu yang menjadi kewajipan saban tahun ialah kenaikan harga barangan.  Sejak dulu sehingga kini fenomena kenaikan harga barangan musim ramadhan dan perayaan masih bergema hingga kini. Mengapakah tiada solusi atau sekadar menyatakan permintaan bertambah dan bekalan terhad? Mungkin Dasar Makanan Negara perlu dibentuk atau dilahirkan. Fikirkan bersama..

1. Perniagaan musim ramadhan memberi rezeki segera kepada peniaga. Semoga peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan alasan permintaan meningkat.  Keuntungan perlu dicapai tetapi bukannya keuntungan yang berlipat ganda. Mungkin sebahagian keuntungan berganda ditukar kepada sedekah ramadhan akan dapat menurunkan sedikit barangan. Mungkin ikhtibar ramadhan tahun lalu dengan kejadian ribut di banyak tempat pasar ramadhan telah memberi peringatan kepada kita bahawa disamping keuntungan unsur sedekah perlu dimurnikan.

2. Kenaikan harga barangan dengan alasan bekalan berkurangan dan terpaksa mengimport bekalan makanan dari luar akan menjana kenaikan harga. Ini pasti ditambah lagi dengan kenaikan bahan api, elektrik dan sebagainya yang turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna. Kini kita perlu mengambil langkah agar dasar bekalan makanan negara yang tidak bergantung kepada sumber luar perlu dipergiatkan.

3. Peranan agensi penguatkuasa dan pelbagai pihak perlu disepadukan dalam isu kenaikan harga barangan. Jika barangan di Kedai 1 Malaysia yang dikatakan berkualiti sama dapat dijual dengan harga yang rendah, mengapakah penurunan harga barangan lain tidak dilaksanakan dengan pemuafakatan semua pihak.

Friday, July 15, 2011

JIWA PATRIOTIK : HARIMAU MALAYA lawan LIVERPOOL

Renungan perlawanan antara Harimau Malaya melawan Liverpool nanti beberapa perkara yang boleh difikirkan :

1. Mengapa ribuan penonton penyokong Livepool memenuhi stadium dengan penuh semangat dengan pakaian merah walaupun sesi latihan menunjukkan betapa minatnya rakyat Malaysia terhadap bola sepak. Mungkin pakaian pasukan Liverpool lebih mudah diperolehi ( sama ada ori atau tidak ) berbanding dengan jersi kuning Harimau Malaya. Di sinilah medan untuk menzahirkan jiwa merdeka dan patriot dengan memberi sokongan penuh kepada pasukan kebangsaan.

2. Dalam keadaan pertembungan antara pasukan negara Harimau Malaya dengan Liverpool, sokongan kuat kepada Liverpool menunjukkan jiwa patriotik masih lemah kalangan rakyat. Sepatutnya sokongan padu kepada pasukan negara perlu diberikan walaupun dalam proses pembinaan untuk peningkatkan. Sokongan berlebihan terhadap Liverpool  menunjukkan jiwa masih di belenggu penjajah kerana dalam konteks pertandingan di medan sendiri penyokong lebih mengutamakan pasukan lawan dari segi sokongan. Memang tidak salah menyokong Liverpool sepenuhnya andainya perlawanan itu antara Liverpool dan Arsenal tetapi kini medan Liverpool dan pasukan Malaysia… berikan sedikit jiwa patriot anda.

3. Semoga pasukan Malaysia berjaya menunjukkan kecemerlangan dan menimba pengalaman berharga untuk meningkatkan kecemerlangan bola sepak negara. Sokongan perlu diberikan walaupun ketika menang atau sebaliknya. Bukannya menang dijulang bila jatuh dibuang. Selaras dengan kenyataan jurulatih negara Rajagopal pertemuan ini adalah medan yang terbaik untuk mengasah dan mempelajari sesuatu dan tidak wajar mengukur kemampuan pertembungan yang pada tahap keupayaan yang berbeda.

Saturday, July 2, 2011

MALAYSIA SYURGA MAKANAN

Kepelbagaian makanan Malaysia diserasikan dengan kepelbagaian kaum menjadikan makanan adalah daya penarik industri perlancongan di negara kita. Maka tidaklah asing jika kita lihat pelancong datang untuk menikmati rasa asli makanan Malaysia. Jika kita melihat di kaca tv , pelbagai rancangan masakan disajikan… asal ada saluran baru pasti ada rancangan masakan sama berbentuk demo atau pertandingan. Memang medan yang baik untuk mempromosi makanan Malaysia. Namum beberapa perkara perlu ditambah baik untuk memenuhi selera pelbagai kaum rakyat Malaysia disamping memeuhi kehendak penjagaan kesihatan.

1. Rancangan masakan hendaklah memberikan panduan pemakaian sihat untuk rakyat Malaysia. Resepi tradisional diberikan nafas baru selaras dengan kehendak tahap kesihatan agar rakyat diberi bimbingan untuk menyediakan makanan yang sihat – kurang kolestrol, garam, gula dan penambah rasa.

2. Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pelbagai cita rasa makanan. Seharusnya ada rancangan masakan yang menyediakan makanan pelbagai kaum yang ada – Melayu, Cina, India dan sebagainya. Asalkan semua menu yang disajikan mematuhi panduan HALAL dan citarasa. Mungkin ada kaum Melayu yang ingin mempelajari masakan  Cina dan India tetapi buku resepi di pasaran selalunya tidak menyediakan menu yang halal untuk dipelajari oleh mereka yang berminat disamping faktor bahasa. Ini dapat meningkatkan toleransi selaras dengan inspiriasi 1Malaysia.