Monday, September 14, 2015

RINTIHAN SI PENUNGGANG KAPCAI

Syukur cuaca panas hari ini setelah hujan berhari- hari. Sekurang-kurangnya dapatlah aku menoreh getah setelah berjalan ke kebun getah sejauh kira-kira 10 km. Syukur walaupun harga getah kini amatlah murah hanya kira-kira RM2.30 sekilo, setelah dibahagi dengan tuan punya kebun dapatlah kira-kira RM1.20 sekilo. Walaupun harga kini merudum...nak beli sekilo garam pun tak lepas. Namun inilah rezeki yang dikurniakanNya. Kalau cuaca baik .... tiada hujan dapatlah kira-kira RM500 hingga RM800 sebulan. Melihat kepada 7 orang anak-anakku, di mana 3 orang bersekolah di SMK Kinarut yang jauhnya kira-kira 15 km terpaksalah menumpang kereta seorang guru di sana atau pickup tauke sawit...adakalanya berjalan kaki pulang ke asrama ..yang 2 lagi bersekolah rendah di kampung sebelah ...hari-hari berjalan kaki ke sekolah. Cuaca panas mahu pun hujan namun demi menimba ilmu mereka gagahi segalanya. Jika cuaca hujan terpaksalah berkaki ayam ke sekolah mengelakkan kasut usang dicemari lumpur. ... tinggal 2 orang lagi di rumah masih kecil.. dapatlah menemani neneknya yang agak uzur...ketika ibunya mencari sayur-sayur dan ikan sawah untuk santapan tengahari.

Hari ini setelah setahun mengumpul.... dapatlah aku menyediakan wang RM500 untuk membayar pendahuluan bagi aku membeli sebuah motorsikal 'second-hand' EX5 dari sebuah kedai di Putatan dengan harga RM2500 , bakinya akan dibayar secara ansuran sebanyak  RM80.00 sebulan selama dua tahun. Kini aku kembali ke rumah dengan penuh senyuman kerana ku rasakan telah ada kemajuan dalam keluarga ku. Aku tidak lagi perlu sentiasa menagih ihsan rakan sekampung untuk membeli barangan dapur di Pekan Kinarut. Tanpa mengira hujan ...panas mahupun berjerebu... aku akan tetap menunggang kapcaiku untuk urusan keluarga ku....walau ke mana jua. Kini... perjalanan ku ke kebun getah agak mudah sedikit... senanglah aku ingin menjual getah skrap  ke tauke di Pekan Kinarut dengan harga RM2.50 sekilo.. perjalanan ku lebih cepat...mudahlah aku bersama keluarga mencari ikan sungai atau ikan sawah....pucuk sayur kampung....kekadang ulam petai untuk dijadikan barang jualan di Tamu Kinarut setiap minggu hari Sabtu. Sedikit sebanyak dapatlah menambah pendapatan sampingan terutama musim hujan ketika tak dapat menoreh getah.

Dua anak ku yang bersekolah di kampung tidak lagi perlu berjalan kaki...setiap hari sebelum pergi menoreh getah, aku dapat menghantarnya ke sekolah rendah di Mandalipau. Bila pulang tengahari tidak lagi anak-anak kecil ku kepanasan berjalan kaki pulang ke rumah. Dapatlah juga aku setiap hujung minggujntuk melawat anak-anak yang tinggal di Asrama SMK Kinarut, tidaklah mereka rasa terpencil lagi kerana sukarnya mereka bertemu ibu bapa kecuali sebulan sekali masa pulang. Aku juga rasa gembira sekurang-kurangnya nenek mereka yang uzur dapat ku bawa ke Klinik Kesihatan Kinarut untuk mendapat rawatan dalam usianya yang seringkali kurang sihat mungkin kerana darah tinggi atau kencing manis kata seorang HA - pembantu perubatan di situ. Kini dapatlah aku pergi ke Kedai Buku Putatan untuk mencari buku rujukan UPSR dan SPM bagi anak yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka dapatlah aku membawanya ke Kota Kinabalu semasa umur mereka 13 tahun untuk membuat IC...yang mungkin  itulah kali pertama dalam hidup mereka ke KK setelah 13 tahun.... paling gembira bila jualan ku di Tamu Kinarut sentiasa laris ..dapatlah menampung belanja dapur..kalau mengharapkan BR1M manalah cukup dahlah dibayar ansuran...sudahlah permohonan untuk mendapat rumah PPRT asyik senarai menunggu jawapannya setiap kali musim pilihanraya.

Itulah kehidupan ku dengan motorsikal kapcai secondhand itu...amat ku syukuri kerana ianya menjadikan kehidupan kami sekeluarga bertambah baik. Namun apabila membaca di surat khabar atau melihat berita di TV1 yang itulah sahaja aku ada, kerana nak melanggan ASTRO manalah termampu.... berita kemalangan jalanraya melibatkan motorsikal sesekali menakutkan diri ku setiap kali menunggang kapcai kebanggaanku... Ya...Aku memahami kami penunggang kapcai ini ibarat buah timun dengan durian.... mengilis sakit digilis menderita.... namun itulah rezeki ku... memang sesekali rasa marah juga apabila terpalit dek rakan muda rempit yang menunggang kapcai yang menganggu pengguna jalanraya lain secara berbahaya. Ibarat kata orang dek nila setitik rosak susu sebelanga. Tapi kepada siapalah aku hendak mengadu ..apatah lagi meminta ..aku insan kerdil ini manalah orang atasan mendengar rayuanku.

Menunggang di tengah jalan amat berisiko tinggi...tersilap terhimpit atau tergesel kenderaan lain...berada di sisi tepi jalan juga berbahaya kerana bahu jalan amat tinggi tersilap terus jatuh ke tepi.... mesti dikata pemandu lain...laju lah tu...rempitlah tu...terbabas baru rasa.... Namun untuk meminta dilebarkan jalan untuk dibuat lorong motorsikal ...siapalah dengan rayuan si kapcai ini....dengar kata anak ku guru di sekolah pun berkali-kali meminta pihak berkenaan membuat kemudahan melintas untuk pelajar sehingga kini masih belum nampak hasilnya.... walaupun begitu aku amat bangga dengan kapcai ku ini....walau ada ketikanya disiram lopak lumpur bila berselisih dengan lori besar... ada ketikanya berpeluh menyorong bila tayarnya pancit...tapi bakti kapcai ku amat tidak ternilai. Dengannya aku mencari rezeki....menghantar anak ke sekolah...sesekali berbakti kalau ada orang kampung yang sakit ingin ke klinik, asalkan sudi membonceng kapcai secondhand ini....

Mengingatkan kemalangan jalanraya memang menakutkan....penunggang kapcai seperti ku.. melanggar sakit dilanggar lagi derita. Apatah pula jika terlanggar kenderaan yang mahal lagi jenama import.. jika diminta aku membayar gantirugi pastilah aku tak mampu....hendak mengganti signal yang pecah pun jika hujung bulan tambahan musim hujan ....tak dapat menoreh berfikir empat lima kali juga....mungkin kosnya cuma RM20 hingga RM50 sahaja...samalah harga sekampit beras untuk makan sekeluarga sebulan..... sebab itulah aku sentiasa berhati-hati semasa menunggang kapcai ku....tambahan pula jika kapcai ku tersadai ....bagaimana pula nak menghantar anak-anak ke sekolah, menoreh getah atau membawa sayuran dan ikan ke Tamu Kinarut... Itulah satu-satunya kenderaan ku yang ada........kalau begitu tak berasaplah dapur ku seminggu.. Atas nama keselamatan diri aku seperti penunggang kapcai lain dinasihatkan agar lebih berhati-hati demi keselamatan diri namun aku memohon sedikit simpati berilah ruang untuk ku berkongsi sejalur jalanraya walaupun kami menyedari kami hanya membayar RM2.00 untuk roadtax JPJ.

Namun kini masa berlalu....telah berubah segalanya... kapcai ku masih teguh berkhidmat ke kebun itu...tapi kini kebun ku sendiri.....dapatlah hasilnya untuk menghantar belanja anak ku masuk U hujung September ini...sekurang-kurangnya aku berharap mereka dapatlah menaik 'belon' untuk ke KL melihat menara KLCC yang semua orang Malaysia megah dengannya. Setiap kali aku melihat orang kampung menunggang kapcai...hatiku jadi sayu dan bersyukur kerana rahmatNya.

Nota : Kisah ini hanya rekaan semata-mata tidak melibatkan sesiapa juga...Lokasi tempat hanyalah untuk memberi penghayatan jauh jarak sesuatu tempat dan gambaran kehidupan suasana kampung...ia tidak berkaitan dengan apa jua hanya kebetulan semata-mata.